Surah Yassin yang dialunkan syahdu di ufuk waktu. Matahari sudah hampir terpejam, umpama mengerti akan kesedihan yang ada. Wajahnya sugul, hanya sendu dalam perlahan berlagu
"Sha, Sha okay dop nim?"
Dia geleng. Entah tidak tahu apa yang perlu dia katakan.
"Jangan bimbang, Mok Aji. Biar Aisha duduk dengan kami. Lagipun saya satu-satunya mak saudara dia."
Hajah Nor jeling lembut. "Aku tanya Aisha, bukan tanya mung."
Jihah cebik-cebik bibir. Aisha satu-satunya anak arwah abangnya yang ada sekarang ini. Dia pula satu-satunya adik-beradik arwah abangnya itu. Rumah ini, rumah arwah bapa mereka, akan jadi milik dia. Dia sudah malas mahu tinggal di rumah sewa yang kecil dan hapak. Mahu harapkan Anwar, baju pakai dia pun jarang yang baharu.
"Sha okay, mok aji." Itu sahaja yang mampu katakan. Okay? Okay yang macam mana pun dia tak pasti. Terbujur kaku tiga insan yang paling dia sayang. Ayah, mak dan abang sudah pergi tinggalkan dia.
"Sha, duit orang mari datang menziarah ni nak bagi pada siapa?"
Dia toleh. Wajah lembut Kak Suryati, anak Hajah Nor buat dia serba salah.
"Serah pada mok hajah, boleh kan mok hajah? Nanti bila Sha nak gunakan atau ada lebih lepas buat tahlil, mok hajah nok serahkan balik pada Sha, Sha ambil balik."
Suryati angguk, setuju dengan cadangan itu.
"Eh, ambe makcik dia, biarlah ambe yang pegang."
Kali ini Hajah Nor jegilkan mata. "Beri ke mung, Jihah? Dop apalah. Anak arwah ni hidup lagi. Lagipun Sha dalam seminggu ni duduk dengan kami dulu. Kalau dia nok duduk dengan kami terus pun tak apa."
Kelat wajah itu bila disanggah. Jihah ketap bibir. Dengan Hajah Nor memang dia tak berani melawan. Geramnya hati hanya Tuhan yang tahu. Dari tadi dia menjeling baldi merah yang berisi duit sedekah orang kampung. Dia telan liur. Kalau dia pegang kan bagus.
"Ni, siap-siap. Lori Pok Samad mari doh, kita ke kubur, biar yang lelaki saja solat jenazah di masjid nanti."
Aisha angguk. Airmatanya berlari lagi. Dikucupnya kepala jenazah ayah, mak dan abang yang sudah dikafan sempurna. Tinggallah ayah, selamat jalan mak dan abang ke alam abadi. Aisha janji, selagi mampu, Aisha akan bacakan Al-Quran untuk ayah dan mak. Dia kesat pipi, istighfar dalam hati.
Rumah itu sunyi. Sudah tiga hari Haji Rahim dan Hajah Nor bertolak ke Mekah. Tiga hari juga dia kembali ke rumah ini setelah hampir sebulan lamanya di rumah pasangan tua yang baik hati itu. Rumah tinggalan arwah ayah ini sudah berbeza, kelam dan sepi. Tiada lagi gelak ketawa, tiada lagi usik nakal dari abang. Tiada juga suara mak yang membebel menyuruhnya mengangkat kain di sidaian. Beg berisi pakaiannya di letak di sebelah kepala katil miliknya. Sedikit berhabuk. Aisha sapu pipi. Airmata datang lagi. Allah, hati ini sebetulnya rindu. Rindu akan bau masakan mak yang mengharum. Rindu usikan abang Amar yang nakal bila balik dari kerja. Juga rindu senyum manis ayah yang kepenatan dari kebun sawit mereka. Allah, dia rindu. Pantas dia bangun, mahu bersihkan diri. Selepas solat maghrib nanti, dia mahu bersihkan rumah sedikit. Ada dia datang sekali sekala, namun sekejap saja. Sewaktu melangkah ke dapur, matanya tertangkap pintu bilik ayah yang terbuka luas. Bergetar jantungnya.
"Ada sape-sape ke dalam rumah ning?" Dia telan liur. Dua hari lepas dia datang ambil pakaian dan dia pasti semua pintu dikatup rapat. Aisha urut dada, istighfar dalam hati. Dicapainya penyapu yang ada tersandar pada dinding. Lantaklah siapa pun, berani masuk rumah ini, dia belasah!
Daun pintu yang terbuka luas itu bagai menggamitnya datang.
Allah...apa sudah jadi?
Bulat matanya melihat bilik itu yang kacau-bilau. Semua laci terbuka, begitu juga dengan timbunan baju yang menggunung. Pantas saja dia menerpa masuk. Apa sudah jadi?
"Mung memang lawo, Sha. Jauh lebih lawo dari bini aku, mokcik mung hok berkarat tu..."
Ya Allah! Automatik dia bagi satu tendangan bila lelaki itu cuba memeluknya. Terpelanting pakciknya itu ke dinding. Mengerang kuat lelaki tak guna itu. Rasakan! Dikatupnya daun pintu bilik itu lalu ditariknya kerusi untuk menghadang.
Tanpa toleh, dia berlari ke bilik dan kunci pintu itu rapat-rapat. Macam lipas kudung dia sarungkan jeans dan tudung, sambar beg pakaian lalu berlari keluar. Apa jadi dengan pakciknya sudah dia tak pedulikan. Air matanya menghambur keluar. Ayah, Sha pergi dulu. Ada rezeki Sha kembali. Dalam lajunya dia berlari, pantas juga airmatanya menyaingi.
YOU ARE READING
Ash dan Aish
RomancePelik. Aneh bagaimana gadis seperti dia ada idea yang diluar jangka seperti itu. Aisha sendiri hilang akal. Macam mana dia boleh jadi isteri kepada mamat lollipop yang selalu dengan earphones dan hoodie kelabu itu dalam masa satu bulan. Ya, dia tahu...