Eleeza masih terbongkang tidur atas katil. Sudah seminggu dia cuti sakit, berehat di kampung. Dia selesa duduk memerap di rumah saja. Waktu rehat beginilah dipergunakan sebaik mungkin.
"Eza ooo Eza," laung Mak Dara kuat.
Sudu yang mengacau air teh dalam teko dicampaknya terus dalam sink. Pantang sungguh, anak dara bangun tidur lambat. Orang dah siap masak tengahari, dia masih atas katil lagi.
"Ena, kejutkan adik kamu tu. Matahari dah kat kepala, dia membongkang lagi." Mak Dara membebel tak sudah.
Eleena yang sedang menyuap nasi goreng terkedu. Dia baru nak bersarapan. Baru saja lepas habis kemas rumah yang bersepak sejak subuh tadi. Speaker Mak Dara ni kalau dapat meleter, sampai rumah Tok Ketua Haji Mat kat hujung simpang jalan sana tu, pun boleh dengar.
"Malam tadi Ena tengok Eza marathon citer Turki kat Netflix tu. Subuh tadi lepas solat baru dia tidur."
"Elok sangat lah tu. Orang tidur dia berjaga. Orang ke hulu hilir buat kerja, dia membuta. Turun lah ke dapur time cuti ni. Campur orang sikit. Ni tak, memerap je dalam bilik."
"Biarlah mak. Bukan selalu pun dia dapat cuti panjang macam ni. Kalau tak sebabkan kaki tu cedera, mak ingat dia dapat balik. Memang tak la."
Mak Dara terdiam. Cerita Eleena, ada betulnya. Eleeza sibuk dengan tugas hakikinya sebagai doktor gigi di Hospital Tentera kat KL tu. Itu belum disentuh tentang latihan intensifnya sebagai atlit memanah kebangsaan. Jadual latihan berpusatnya pun sama naik sibuknya.
"Mak ni bukan apa, Ena. Mak ni ada tiga orang anak dara. Tapi orang kampung kenal dua orang je. Kamu dengan Eda. Itu pun, tak lama lagi dah nak jadi bini orang. Mak teringinlah juga nak jalan bawah pedang time adik kamu tu kahwin." Kias Mak Dara.
Eleena dah garu dahi yang tak gatal. Memang patutlah, Eleeza tidur waktu siang. Ni mesti akal dia nak mengelak daripada terus menerus disogok isu kahwin.
"Mak tak usahlah mengharap sangat. Eza tu tak macam Ena dan Eda. Dia berpelajaran. Pangkat besar. Tak pandangnya budak kampong ni semua. Baik dia pilih abang askar sado kat kem tu. Sepadan sikit."
Mak Dara terus menurunkan lipatan lengan baju yang dilipat masa membasuh pinggan tadi. Bibir dah tersenyum-senyum. Duduk di sebelah Eleena yang sedang bersarapan.
"Eza dah ada kawan ke, Na?"
"Makkkk."
Rimas Eleena nak menjawab bagi pihak si adik. Disuapnya nasi goreng penuh ke dalam mulut. Tak senang betul nak nikmati sarapan dengan penuh kusyuk.
Mak Dara menepuk lengan Eleena, teruja sangat hatinya nak tahu rahsia si anak dara bongsunya itu.
Desak Mak Dara, "Cakaplah. Eza tu dah ada boyfriend ke belum?"
Muncung bibir Eleena. Termati seleranya. Ditolak terus pinggan makannya menjauh.
"Ikut suka mak lah. Setahu Ena, Eza tu ramai je kawan lelaki. Tapi yang melepasi penilaian hatinya tak jumpa lagi. Okey mak?"
Mak Dara diam. Hela bimbang dilepaskan. Hati orang tua mana yang tak risau, bila anak daranya dah meningkat umur tapi tak ada tanda-tanda nak kahwin.
Aku perlu buat sesuatu. Tekad Mak Dara.
YOU ARE READING
MAT KOYAK
RomancePertemuan Inspektor Nazim dengan Kapten Dr Eleeza di rumah Mak Leha yang sangat melucukan telah buatkan hati Nazim tekad nak mendapatkan hati Eleeza yang telah ternoda pandangannya kerana kecuaiannya sendiri. Godaan kreatif Nazim sering buatkan Ele...