Prolog

879 27 1
                                    


LANGIT cerah di petang hari menceriakan hati kanak-kanak serta remaja untuk melakukan aktiviti di luar rumah masing-masing. Suara kanak-kanak bergema di atmosfera bumi. Ketawa riang bermain di taman permainan bersama keluarga dan rakan-rakan. Dalam kumpulan itu juga, terdapat dua orang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan empat tahun sedang bermain belon buih bersama seorang budak lelaki berusia sembilan tahun.

Dari jauh, mereka bertiga diawasi oleh pasangan suami isteri di atas bangku batu. Pasangan itu turut tersenyum riang melihat mereka bertiga bermain bersama. Di antara mereka ada seorang kanak-kanak lelaki yang berusia enam tahun sibuk menjilat aiskrim.

"Kak!" Si adik meniup cecair sabun ke arah kakaknya lalu menghasilkan buih-buih sabun. Kakaknya segera melarikan diri ke belakang budak lelaki.

"Abang Zapi tolong Ika! Adik nak serang Ika dengan belon," adu si kakak kepada budak lelaki yang dipanggil 'Abang Zapi'.

Abang Zapi terus beraksi menjadi pelindung si kakak.

"Iena, jangan buat macam tu pada kakak. Kesian kakak," larang Abang Zapi. Si adik merengek kerana dia tidak dapat menangkap kakaknya.

"Iena nak main dengan kakak, bukan dengan Abang Zapi." Si adik sedaya upaya menolak tubuh Abang Zapi dari terus melindung si kakak.

"AH!" Si kakak menjerit keriangan kerana si adik dapat menangkapnya. Dia terus keluar dari kepongpong lindungan Abang Zapi. Kaki kecilnya berlari ke arah pasangan suami isteri di bangku itu lalu menyorok di antara mereka. Kanak-kanak lelaki yang sedang menikmati aiskrim mendengus apabila adik kembar datang mengganggu keamanan.

"Ika! Janganlah kacau Zul nak makan aiskrim," rungut kanak-kanak lelaki itu. Si kakak masih lagi galak mahu menyembunyikan diri dari ditangkap oleh si adik. Ditariknya baju pasangan itu untuk menyorok tubuhnya.

Tawa Abang Zapi pecah melihat si adik mencari si kakak. Merata tempat si kecil itu mencari kakaknya, tapi dia tak dapat menjumpainya. Abang Zapi mengerling ke arah pasangan suami isteri di bangku batu itu. Mereka menggeleng tidak mahu dia memberitahu keberadaan si kakak.

Abang Zapi mula berlari menghampiri si adik. Kain baju di bahagian bahu ditarik, lantas si adik menoleh ke arahnya.

"Tak apa, Iena. Nanti kakak datanglah balik. Apa kata kita pergi main kat sana, nak?" Abang Zapi menundingkan jari ke arah taman permainan.

Bersinar mata si adik apabila diajak untuk bermain di sana. Terus ditinggalkan permainan buih begitu saja dan berlari ke arah taman itu. Abang Zapi tergaru kepala apabila melihat alat permainan di tepi kakinya. Tak tahu nak letak di mana.

"Zafi!"

Kepala Abang Zapi terangkat dan memandang ke arah pasangan suami isteri itu. Cepat-cepat dia mengangkat botol cecair sabun di tepi kakinya lalu dibawa mendekati mereka.

"Umi, Iena tinggalkan belon dia kat Zafi. Lepas tu dia terus main kat sana," ujar Abang Zapi sambil menunding jari ke arah taman permainan. Mereka tertawa. Si isteri mengambil botol cecair sabun itu dari tangan Abang Zapi.

"Tak apa, Zafi. Biar umi saja tolong pegangkan mainan Iena. Zafi pergilah main dengan dia sekali di sana."

Abang Zapi mengangguk kecil lalu berlari mendekati taman permainan. Dia mencari kelibat si adik di sana. Namun, taman itu dikerumuni ramai kanak-kanak yang bermain.

"Umi, ayah!" Si kakak mula keluar dari tempat persembunyiannya. Dia melompat dari bangku itu lalu berpusing menghadap mereka. "Ika pergi main dengan adik dan Abang Zapi tau!"

"Yalah, Ika. Elok-elok ya. Jangan seronok sangat main tu, jatuh nanti." Si suami memesan kepada anaknya itu.

Si kakak merapatkan ibu jari dan jari telunjuknya.

"Okey!" Dia terus berlari ke taman itu untuk bermain bersama-sama Abang Zapi dan adiknya. Namun, kelibat mereka tidak kelihatan di situ. Dia mula mencari mereka di tempat lain. Kaki melangkah menjauhi kawasan taman itu dan mencari kelibat Abang Zapi dan adiknya.

Tidak lama kemudian, dia ternampak adiknya sedang berlari ke suatu arah untuk mengejar sesuatu. Si kakak tersenyum lebar setelah melihat wajah si adik, lantas dia berlari menghampirinya. Namun, pada waktu itu juga dia terdengar suara Abang Zapi memanggilnya di belakang. Dia terus berpaling.

"Ika! Ika nak pergi mana tu?" Soal Abang Zapi sambil berlari ke arahnya.

Si kakak kembali berpaling ke arah adiknya. Dari tempat dia berdiri, dia ternampak sebuah kereta sedang melungsur laju di atas jalan menghampiri tempat si adik berada. Si kakak kaget. Tanpa mengendahkan Abang Zapi, dia terus berlari untuk mendapatkan adiknya. Namun, segalanya terlambat.

"Adik!"

Jeritannya begtiu kuat sehingga menarik perhatian pengunjung taman rekreasi itu. Mereka terus berlari ke arah kereta yang berhenti untuk melihat situasi yang sedang berlaku. Abang Zapi pula terpaku apabila ternampak si kakak memangku tubuh si adik yang berlumuran darah.

Cinta Hati Zulaikha [𝚃𝙴𝚁𝙱𝙸𝚃𝙰𝙽 𝟸𝟶𝟸𝟷]Where stories live. Discover now