09 | kewujudan dunia berbeza

130 21 23
                                    

Suasana Kota Cahaya, ibu negara Merizia, riuh. Berita yang baru dikeluarkan Tentera Kerajaan itu cukup menarik perhatian penduduk untuk berkumpul beramai-ramai di hadapan sinaran hologram tengah kota. Jika dipandang dari jauh, tidak ubah seperti kumbang mengelilingi lampu malam.

Manusia yang lalu-lalang juga tidak lepas dari mengintai. Semua ingin melihat khabar mengenai penjenayah baru itu.

Situasinya tidak tumpah seperti di Bandar.

"Eh? Bukankah ini budak yang cuba menyebarkan risalah di tengah Bandar tempoh hari?"

"Aku ingat dia gila, tak sangka pula dia sebenarnya penjenayah."

"Ish, takutnya!"

"Inilah yang kita panggil tak takut mati."

Suara-suara penduduk Bandar bersilih-ganti menyimpulkan situasi. Wajah Ayman bersama tulisan 'wanted' besar berwarna merah yang menjadi paparan, benar-benar menjadi buah mulut orang.

Tidak jauh dari kelompok manusia itu, berdiri seorang gadis memakai hud biru cair beserta skirt pendek merah jambu dan dipadankan pula dengan legging hitam bagi menutupi bahagian kaki. Wajah gadis itu terlindung oleh hudnya. Apabila telefon pintarnya dipasang, cahaya yang terpantul dari skrin terukir pada wajah.

Artikel yang baru diterbitkan itu dibaca.

DIKEHENDAKI
Ayman Mikael, hidup atau mati
Ganjaran: $1,000,000

***

Buku di dalam rak itu dibelek-belek. Setiap tulang buku tersebut dipegang, lalu ditarik keluar dari tempatnya sebelum dimasukkan kembali ke kedudukan yang lain. Begitu juga yang dilakukan pada buku-buku yang seterusnya; diakibatkan terlalu bersepah dan tidak teratur, terpaksalah Ayman menyusun kesemuanya kembali.

Seperti tangannya yang asyik bekerja, begitu juga dengan sang minda yang sedang sibuk memutarkan kembali mimpi yang dialaminya semalam.

Matanya terkebil-kebil melihat binaan di hadapannya kini. Hitam legam seluruhnya, langsung tidak terlihat warna asalnya. Sebahagiannya telah roboh, manakala sebahagian lagi sudah tinggal rangka. Tidak dapat dibayang dek akal betapa besarnya api yang telah menjilat binaan berkubah ini.

Ayman berjalan mendekati masjid yang rentung itu. Pagarnya yang sudah berkarat ditolak perlahan, sebelum tercabut lantas menyembah bumi. Ayman melangkah masuk. Keadaan sekeliling diperhati, kalau-kalau punca kebakaran masih ada.

Setelah memastikan tiada lagi api yang menyala, langkahan diperbesarkan lalu remaja itu berjalan mendekati pintu utama. Ayman melangkah masuk. Tepat sekali tekaannya. Rupa dalaman masjid sudah tidak kelihatan seperti masjid lagi.

Melihatkan kesan terbakar yang teruk ini, yakinlah Ayman bahawa punca kebakaran adalah dari dalam. Tetapi, apa?

Mimbar yang ada di kedudukan paling hadapan didekati secara perlahan-lahan. Kakinya yang sudah hitam dibalut abu api dibiarkan. Dalam banyak-banyak objek yang berada di situ, mimbar inilah yang terlihatnya paling teruk dimamah api. Boleh dikatakan, hampir kesemuanya terbakar dan menjadi abu.

Satu kilauaan cahaya hadir, membuatkan Ayman terpaksa melindungi matanya. Seketika kemudian cahaya itu hilang. Ayman melihat ke hadapan, memandang tepat ke arah pintu gelangsar tidak jauh darinya. Pada permukaan kaca itu tertulis sesuatu berwarna merah.

Seolah ditarik oleh rasa ingin tahu, Ayman pantas melangkah mendekatinya. Semakin melangkah, semakin dekat. Semakin maju, semakin jelas tulisan merah itu. Sehinggalah jarak antara dia dan pintu gelangsar tinggal beberapa inci sahaja.

KOMA (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now