Tap... tap... tap...
Keadaan di koridor itu sunyi. Hanya bunyi tapak kasutnya yang bergesel pada lantai bergema. Dia berjalan pada kadar sederhana kelajuannya. Tidak mahu tergesa-gesa walaupun Tuan Presiden jelas kedengaran bengang ketika megarahkannya hadir.
Pintu berkembar yang gah dan besar mula kelihatan. Tiba sahaja di hadapannya, bunyi tapak kasut pun berhenti. Dia menarik nafas seketika, lalu pintu besar itu dibuka.
"Tuan." Sapanya lantas menunduk hormat. Jauh beberapa meter di hadapannya kini terlihat satu susuk tubuh lelaki sedang memandang ke luar dinding kaca. Melihat keindahan malam bandar metropolitan ini.
"Ah, Flynn. Sampai juga kau akhirnya." Dia berbunyi tenang, cuba menyembunyikan getaran geram dalam nadanya. Paip tembakau di tangan disua ke mulut. Asap yang terkumpul dihembus ke udara.
"Jadi, bagaimana dengan perkembangan budak dakwah tu?"
Jeda. Flynn tidak segera menjawab. Dia tahu, jawapan yang bakal menyusul keluar dari mulutnya adalah jawapan yang paling dibenci lelaki ini. Dia berfikir sejenak, teragak-agak mahu menjawab.
"Masih dalam pencarian, tuan."
Paip tembakau disua kembali. Sedut... hembus. Wajah yang tadinya dibuat tenang tidak mampu dikawal lagi. Lantas dia berpaling sebelum melempar paip di tangan ke arah kapten Tentera Kerajaan itu. Flynn sudah dapat mengagak tindakan ini. Disebabkan oleh refleksnya yang pantas, paip yang disasar ke wajah itu sempat ditahan menggunakan tangan.
"Apa maksud kau masih dalam pencarian? Engkau sendiri tahu betapa bahayanya budak tu! Dan kau biarkan dia terlepas?" Presiden meninggikan suara. Matanya menjegil.
"Kami telah kerahkan semua anggota dalam pencarian ini. Lambat-laun, dia akan tertangkap juga nanti, tuan."
""Lambat-laun"? "Lambat-laun"! Bagaimana kalau lambat-laun itu cukup lama untuk dia mencari sekutu? Kau tak fikirkah apa akan jadi seandainya dia berjaya bina empayar dakwah sendiri? Islam akan bangkit! Agama yang kita mahu hapuskan akan bangkit sebelum sempat ia musnah sepenuhnya! Adakah kau mahu itu berlaku?" Suara Presiden makin meninggi. Dadanya turun naik mengawal amarah. Urat hijau di dahinya zahir. Mukanya merah. Betapa marahnya dia ketika itu, hanya Tuhan yang tahu.
"Andai itu yang tuan takuti, mengapa tidak bunuh saja semua umat Islam ketika Perang Mujahidin dahulu?" Flynn melontarkan soalan berani mati. Telah lama dia memendam soalan ini sebenarnya. Entah bagaimana, dia meroleh kekuatan itu hari ini.
"Kau gilakah? Populasi muslim di negara ini hampir mencecah 80%. Bayangkan andai kita bunuh kesemua mereka? Agaknya nanti aku nak memerintah siapa? Binatang?"
Flynn diam. Tidak berkata apa.
Presiden menarik nafas dalam. Matanya dipejam rapat. Perlahan-lahan, dia cuba meraih kembali kewarasannya.
"Flynn, aku lantik kau sebagai kapten bukan saja-saja. Andai kau tak jalankan tugas dengan betul, aku boleh hapuskan kau dalam sekelip mata."
Jeda. Flynn masih berdiri tegak, langsung tidak terusik.
"Kau keluar dari pejabat aku sekarang, cari budak tak guna tu sampai dapat. Sebaik sahaja jumpa, bunuh dia. Jangan beri dia walau sekelumit peluang untuk lari. Faham?"
YOU ARE READING
KOMA (Bakal Terbit)
Fantasi⚠️AMARAN⚠️: cerita ini mengandungi pengkhianatan, kematian, pengorbanan, penderitaan dan kesengsaraan karakter mahupun pembaca. 🚫Read at your own risk🚫 ----- "Apa kau buat ni, Alya?" "Itu patut jadi soalan aku, Ayman. Aku perhati sejak kau sedar d...