Percaya tak...
Amratul dan Suhaa sekampung?
DUA tahun berlalu...
"Suhaa tak naklah!" Suhaa menghentak kakinya ke tanah kering berkali-kali sehingga debu naik ke udara. Mimik muka masam habis. Matanya persis mata panah mencari mangsa.
Sudahlah cuaca panas. Matahari terik yang terpacak tinggi pula terus membuat Suhaa berkeringat. Kepala dilentokkan pada sebatang pokok.
"Ambil ni. Ni bahagian Abang Hariz. Bukan Suhaa." Suhaa menghulur sehelai kertas yang dilipat kecil sambil merengus. Namun, Hariz enggan menyambutnya. Itu membuatkan sukmanya semakin berbahang panas.
"Eee, abang lelaki kan? Ke khunsa ni? Ambillah! Ni permainan lelaki." Nampak tak kenapa dia tak nak sertai aktiviti sukaneka Kampung Reban Itik ni? Sudahlah selepas dua tahun baru dapat pulang ke kampung halaman. Belum sempat dua hari menghidup udara desa, dah dipaksa beraktiviti lasak. Aktiviti pula tak boleh pilih, ia ditentukan dengan cara cabut undi.
Sekarang, Suhaa menyesal. Sumpah menyesal sebab tak berkeras untuk tak sertai semua ni.
"Aduh, Suhaa. Tarik tali je pun. Join jelah, budak manja. Abang dah penat join aktiviti masak-masak tadi. Habis jadi maknyah. Bukannya menang pun," cebik Hariz dengan gaya tangan sengaja dilembutkan. Mimik muka lelaki itu benar-benar mencabar keimanan Suhaa. Air mineral diteguk rakus. Hendak tak hendak, dia perlu sertai juga.
"Kalau Suhaa menang, hadiahkan chocolate cadbury." Suhaa menuntut. Tidak tunggu lama, terus saja kaki dihayunkan ke bawah khemah, tempat pasukan tarik talinya berkumpul. Ada lapan orang semuanya. Muka masing-masing diamati. Semuanya sangat asing untuk Suhaa.
Namun, tatkala kornea matanya melihat sekujur susuk yang membelakanginya, Suhaa kejung. Kakinya bagaikan terpasak pada tanah.
"Cucu Nek Tom!" Lamunannya mati apabila seseorang menegurnya. Suhaa mengecilkan mata. Cuba untuk menganalisis adakah dia kenal orang ini. Tapi tak, dia tidak kenal.
"Erm..." Lidahnya kelu. Nak panggil apa?
"Aku Harlina. Panggil Ina. Aku kenal kau daripada cerita nenek kau. Kau dapat tarik tali juga?" Harlina menunjuk pada sehelai kertas dalam genggamannya. Lantas, Suhaa menggangguk. Entah kenapa lidahnya terlalu kemab untuk berkata-kata sedangkan perwatakannya bukan begitu.
"Mana kertas kau?"
"Entah." Mudah saja jawapan Suhaa. Tidak semena-mena bahunya ditepuk oleh Harlina.
"Weh, kau kena ada kertas tu untuk main sebagai bukti. Cari weh cari! Dekat padang kering kontang ni tak ada mesin pencetak."
Benar, tanah di padang ini sungguh kering. Langkah dibuka besar lalu mencari kelibat Hariz.
"Abang! Kertas tarik tali Suhaa mana?"
Dapat saja kertas itu, Suhaa kembali ke bawah khemah. Entahlah, dia sendiri pun tak tahu kenapa beriya-iya sangat dengan kertas tu. Sepatutnya Suhaa bersorak-sorai sebab kertas tu hilang.
"Pasukan kerbau dan pasukan badak... sila ke tanah lapang segera." Pembesar suara bergema ke segenap ruang. Pasukan badak merupakan pasukan Suhaa. Mereka bergerak secara berpasukan dengan langkah berirama. Fuh, sehati sejiwa sungguh.
"Suhaa, kau pernah main tarik tali?" tanya Harlina. Suhaa geleng kepala.
Melihat gelengan Suhaa, Harlina tersengih. "Jadi kita kena reda kalau kalah. Sebab aku pun tak pandai main. Tapi, Amratul reti."
Suhaa kemam bibir. Jadi betullah tekaannya, figura yang membelakanginya tadi Amratul. Kemudian, Suhaa buat mimik muka cemik pula. Amratul yang nerd tu pandai main tarik tali?
YOU ARE READING
KOMPILASI CERPEN NULREES
RandomComplete cerpen : - Istidraj - Lamaran - Teman - Trauma - Dipergunakan - Daging - Dipergunakan 2.0 - Teman 2.0