PUNGGUNG dilabuhkan duduk di salah satu sofa yang berada diruang tamu rumah mereka. Mata mengerling seketika ke arah Natrah yang sedang leka menonton drama di kaca televisyen sebelum pandangan mata dibawa lurus ke arah umi dan abahnya.
Selepas sahaja makan malam bersama keluarga, abah dah awal-awal lagi berikan arahan supaya mereka sekeluarga berkumpul. Kata abah ada perkara yang mahu dibincangkan. Naura dan Natrah hanya akur. Malas mahu membantah kalau tidak nanti boleh bernanah telinganya harus mendengar bebelan dari si abah.
Tengok Encik Kamarul yang sepertinya tiada tanda-tanda mahu memulakan perbualan, Naura mula mengatur bicara. Dia dah tak sabar nak tahu apa sebenarnya tujuan abahnya itu memanggil mereka semua untuk berkumpul.
"Abah cakap tadi ada perkara yang nak dibincangkan. Abah nak bincang fasal hal apa ni?" soal Naura. Wajah tenang Encik Kamarul direnung penuh tanda tanya.
Sedar akan soalan yang diajukan oleh Naura kepadanya, mulut mula memuntahkan bicara sekaligus membalas pertanyaan si anak gadis.
"Macam mana perjumpaan kamu dengan Hafiz tadi?" soal Encik Kamarul. Mata sempat mengerling ke arah Puan Ramlah.
Berlapis halus dahi Naura mendengarkan pertanyaan si abah. "Maksud abah, Pak Cik Hafiz tu ke?"
"Jangan panggil dia tu pak cik, Naura. Tak manis bunyinya tu," tegur Puan Ramlah yang diam sedari tadi.
"Eh apa pulak tak manisnya? Panggilan tu memang sesuaikan untuk dia. Pak cik Hafiz tu kawan abah dan Naura tak rasa salah pun kalau Naura nak gelarkan dia dengan gelaran pak cik. Takkanlah umi nak Naura panggil Pak Cik Hafiz tu abang pulak? Hesy! Gelilah," meliang liuk tubuh kecilnya.
"Memanglah dia tu kawan abah tapi abah rasa ada eloknya kamu jangan panggil dia pak cik. Lepas ni abah nak kamu tukar panggilan. Abah nak kamu biasakan diri dengan panggil dia abang," pesan Encik Kamarul.
Terbuntang bebola mata Naura mendengarkan arahan tidak masuk akal dari si abah. Wajah penuh rasa hairan menghiasi raut wajahnya kini.
"Abah merepek apa ni? Kenapa pulak Naura nak kena panggil Pak Cik Hafiz tu abang? Abah sedar tak umur dia tu dah sebaya abah. Nanti kalau Naura panggil dia abang mesti dia akan fikir yang Naura ni nak menggatal dengan dia. Hesy tak naklah Naura."
Keluhan Encik Kamarul hela kasar. "Takde maknanya Hafiz tu nak fikir yang kamu ni nak menggatal dengan dia, Naura. Abah yakin kalau kamu panggil Hafiz tu abang, dia mesti akan lagi suka. Sudah kamu tak payah nak bagi banyak alasan lagi mulai daripada hari ni kamu kena biasakan diri untuk panggil dia abang."
Rengusan terlepas dari ulas bibir Naura. Tak faham betul dia kenapa si abah ni beria sangat nak suruh Naura panggil pak cik tua tu 'abang'.
"Naura tak faham dengan abah ni. Kenapa abah beria sangat nak Naura panggil pak cik tua tu abang? Apa yang special sangat mamat berjambang tu?" soal Naura tak puas hati.
"Abang, saya rasa ada baiknya abang berterus-terang ajelah dengan Naura tentang perkara yang sebenarnya," Puan Ramlah yang sedari tadi berdiam diri mulai memuntahkan bicara.
Mendengarkan bicara sang umi, Naura semakin dihurung dengan rasa penuh tanda tanya. Ada apa sebenarnya ni? Tak tahu kenapa tapi hati mulai diserang dengan rasa kurang enak. Lagi-lagi bila mata jatuh pada wajah tegang umi dan abahnya.
Nafas Encik Kamarul sedut perlahan sebelum dihela bebas. Wajah Naura yang masih setia menanti bicaranya direnung redup. Encik Kamarul yakin apa yang akan dibicarakan olehnya nanti pasti akan membuat si anak gadis terkejut besar.
"Abah sebenarnya ada perkara nak disampaikan pada Naura. Apapun yang abah nak sampaikan ni, abah harap Naura terimanya dengan hati yang terbuka. Dan percayalah apa yang abah buat ni semuanya adalah demi kebaikan Naura."
YOU ARE READING
Suami Pilihan Abah [E-BOOK]
RomanceKena kahwin dengan kawan baik abah? Eiiuu... Bunyinya pun dah mengerikan. Namun apa pilihan yang Naura Khalisha ada bila si abah kesayangannya dah memujuk agar dia bersetuju untuk dikahwinkan dengan lelaki yang usianya jauh berdekad-dekad lebih tua...