Bab 1

12 0 0
                                    

DATIN MISFUAH menjekilkan matanya. Hati mulai panas bila melihat ada selerakan tanah dan serpihan pasu bunga yang pecah berada di atas lantai. Pantas dia menoleh ke arah Insyirah yang berdiri bersebelahan Khamal dengan rotan yang tergenggam di tangan sebelah kanan.

“Kau yang buat ni kan?” Jari telunjuknya terus mengarah ke arah Insyirah.

Kanak-kanak itu menggeleng dengan muka yang pucat. Bibir dikemamkan dengan mata yang sayu minta simpati.

“Aku tanya tu, jawablah!”

Sambil menjerkah, tidak teragak-agak Datin Misfuah menunjal-nunjal kasar dahi Insyirah dengan tangan kirinya. Geram hatinya tidak dapat ditahan lagi. Rahang sudah bergerak-gerak menahan amarahnya yang belum tercetus kuat.

“Insyi tak buat mama.” Suaranya tertahan-tahan, Insyirah sudah mula menggigil kecil. Bimbang dia dikasari lagi seperti semalam.

Mata Datin Misfuah terjekil lebih besar lagi. “Dah pandai menjawab ya sekarang? Siapa ajar? Mama kau?” Makin kuat pula ditunjal dahi Insyirah. Ikutkan hati kepala kecil itu mahu ditenyehnya ke lantai yang penuh dengan tanah dan kaca.

“Kau buat, kan?” Datin Misfuah membentak lagi. Dia tidak puas hati kerana Insyirah masih tidak mengaku.

"Betul Insyi tak buat tu, mama..." Insyirah sudah mengogoi menafikannya. Tangan disorokkan ke belakang dengan gigilan badan. Bimbang telapak tangannya menjadi mangsa amarah mamanya. Hati pula berharap mama percayakannya.

"Jangan jawab bodoh! Memang dasar anak haram! Kalau kau tak buat, takkan pasu tu jatuh sendiri!”

Insyirah tergeleng lagi. Makin laju gelengannya. Mahu menjawab, takut dimarahi lagi. Jika dijawab, mamanya akan makin marah. Dia tidak tahu apa lagi yang perlu dia lakukan. Seluruh badan kini makin menggigil kuat.

“Kau kau tak buat, habis tu siapa yang buat? Khamal yang buat? Atau Shahir? Atau si Nelopa?" Rotan yang dipegang menanti masa sahaja mahu dibalunkan ke tubuh kecil itu. Datin Misfuah tak peduli jika ada lagi parut yang bakal menempek di tubuh itu.

"Bukan Khamal yang buat! Tapi Insyi pun tak buat." Tubuh kurus tinggi yang bersebelahan Insyirah mula menyampuk. Dia juga gerun melihat rotan yang dipegang mamanya.

"Khamal jangan membela sangat Insyi. Mari dekat mama. Mama tahu anak mama tak buat tapi Insyi yang buat." Datin Misfuah menarik lengan Khamal supaya menjauhi Insyirah.

"Insyi pun anak mama dan Insyi tak buat." Insyirah mula memberanikan diri membela dirinya.

"Siapa kata kau anak aku? Siapa?" Mata Datin Misfuah mencerlung memandang. Panas hatinya bila anak tidak tahu diuntung itu mengakui diri sebagai anaknya.

"Insyi anak papa. Insyi pun anak mama, kan?" Air mata yang mulai menitis dikesat Insyirah. Gigilan badan kerana takut dipukul sudah mereda tapi hati tertanya perihal 'bukan anak aku' yang keluar dari mulut mamanya.

"Kau bukan anak akulah, bodoh!" Tanpa amaran Datin Misfuah melayangkan sebatan ke tubuh Insyirah seperti selalu.

Hatinya yang geram kerana pasu kesayangannya pecah dek Insyirah makin geram dan bertambah marah dengan pertanyaan berani daripada gadis kecil yang berusia 6 tahun itu.

Kecil-kecil lagi dah pandai kurang ajar! Dengus Datin Misfuah seiring dengan galaknya tangan dia menghayun rotan ke tubuh kecil yang paling dia benci. Makin galak dia memukul bila teringatkan sang suami tiada sekarang kerana keluar dalam urusan kerja.

Dan makin kuat dihayunkan tangan bila memandang wajah kecil di hadapannya itu seiras isteri pertama suaminya yang sudah meninggal setahun yang lalu. Ia seakan dendam yang membara semakin menyala bila ditekan suiznya. Mati lagi bagus!



TERESAK-ESAK Insyirah dalam tidurnya. Sakit-sakit di seluruh tubuh amat memeritkan lebih-lebih lagi tadi semasa dia mandi. Dan Insyirah terpaksa menahan sahaja kesakitan itu tanpa diubati. Sudah nasib dirinya begitu, setiap kali papanya Dato’ Ismail keluar outstation itulah habuan yang akan dia dapat.

Datin Misfuah yang lembut sahaja bila papanya ada, akan menjadi singa yang menakutkan. Insyirah juga sebenarnya dilarang untuk bergaul mesra dan bermain dengan Khamal dan Shahir. Datin Misfuah yang Insyirah panggil mama, mengatakan dia anak celaka, jadi tidak layak untuk bermain dengan Khamal serta Shahir.

“Insyi anak mama… Insyi anak papa.. Insyi bukan anak celaka.. Insyi bukan anak tak guna.” Dalam tidur pun dia masih menangis. Hanya itu yang dia tahu. Hati pula berdoa agar ada orang yang boleh menolongnya melepasi kesakitan dan kelukaannya itu.

_________

Untuk memiliki naskah ini, hubungi kami di link bawah 👇👇
http://www.wasap.my/601162376062/IlusiCintaPublication

Boleh juga dapatkan di Shoppee kami :
http://shopee.com.my/rubynurairis

Penakluk Hati Naufal IsaacWhere stories live. Discover now