Kisah Orang Melayu II

450 7 0
                                    


Hal yang sama berlaku di Hindia Timur Belanda, Siam, Burma, Tanah Melayu dan Indochina. Di mana sahaja orang Eropah menjajah, orang Cina akan datang sebagai orang tengah dan membekalkan tukang-tukang mahir bagi memenuhi keperluan orang Eropah serta penduduk tempatan. Dalam tempoh yang singkat, bilangan orang Cina meningkat dan ini menghalang kemungkinan berlakunya asimilasi dengan masyarakat tempatan. Bahkan perkahwinan campur dengan wanita tempatan terhenti apabila mereka mula membawa bersama-sama wanita mereka. Pekan-pekan Cina mulai menjadi sebahagian daripada ciri di hampir semua kawasan bandar di Asia Tenggara. Bergunanya masyarakat Cina menjamin mereka dilindungi oleh penjajah Eropah dan pemerintah tempatan.

Tingkah laku orang India dan Arab sebaliknya berbeza. Bilangan mereka tidak ramai dan mereka juga tidak menganggu kegiatan peniaga tempatan. Mereka serasi dengan masyarakat tempatan dan mengahwini wanita tempatan apabila berhasrat untuk menetap. Mereka akhirnya melupakan bahasa sendiri dan mengintegrasi diri dengan orang tempatan, tidak kira Melayu, Sumatera, Jawa atau pelbagai suku kaum di bahagian timur kepulauan Melayu. Apabila orang Arab dan India Muslim memperkenalkan ajaran Islam, ia tidak mencetuskan permusuhan kerana tidak ada paksaan. Kebanyakan tugas mendakwah dilakukan oleh mualaf tempatan.

Tingkah laku orang Eropah juga berlainan kerana mereka tiba di rantau ini bukan dengan kapal dagang, tetapi kapal bersenjata. Mereka tidak percaya kepada perdagangan bebas. Seorang Raja Makasar (sekarang Ujung Padang di Indonesia) terpaksa memberitahu orang Belanda bahawa; "Tuhan mencipta bumi dan laut; bumi dibahagikan di kalangan manusia dan laut untuk semua. Tidak pernah kedengaran sesiapa pun ditegah melayari laut. Negara-negara Eropah menuntut monopoli dagangan jadi mereka memulakannya dengan pusat-pusat perdagangan berkubu. Sebagai penyelesaian terakhir, mereka menakluki negara-negara rakan dagangan mereka bagi menjamin bekalan dan hak eksklusif.

Di kalangan orang Eropah, orang Sepanyol dan sedikit sebanyak orang Portugis juga percaya bahawa Tuhan memerintah mereka supaya mengkristiankan penduduk tempatan. Di Sepanyol, selepas Katolik berkuasa semula, orang Islam dan Yahudi yang dipaksa memeluk agama Kristian diwajibkan membukti keihklasan mereka bertukar agama dengan memakan daging babi. Hal yang sama berlaku di Asia Tenggara. Dengan cara itu, penganut baru Kristian di Filipina diasingkan daripada orang Islam. Hanya pada akhir-akhir ini orang Kristian Filipina mula menghormati kejijikan orang Islam terhadap daging babi. Bagaimanapun, permusuhan di antara Kristian dan Islam begitu mendalam sehingga menjadi punca perselisihan dan perperangan sesama orang Filipina. Disebabkan orang Cina lebih bersedia memeluk agama Kristian maka mereka menjadi lebih rapat dengan orang Eropah di tanah-tanah jajahan. Menukar agama tidak memecahbelahkan masyarakat Cina dan mereka juga tidak cergas menyebarkan agama mereka sendiri. Rakyat tempatan, sama ada Islam atau Kristian lebih toleran terhadap orang Cina daripada sesama sendiri.

Begitu jugalah lebih kurang keadaannya di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan jajahan takluk British di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Selain Singapura, Semenanjung Tanah Melayu mempunyai paling ramai pendatang Cina di Asia Tenggara. Kemasukan mereka digalakkan oleh British dan kesan etno-demografinya berterusan hingga ke hari ini.

Apabila British menjajah Tanah Melayu, demografi Semenanjung Tanah Melayu berubah mendadak. Di Negeri-negeri Selat, kaum Cina menjadi dominan dan menjelang suku pertama abad ke-20, Singapura secara de-facto menjadi sebuah negara Cina. Hanya 15 peratus penduduknya adalah Melayu. Seandainya orang Melayu adalah penduduk majoriti, Singapura tetap akan menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu dan Malaysia.

Sebelum kedatangan orang Cina, orang Melayu adalah pedagang di rantau ini. Orang Asia Tenggara, termasuk Melayu, mengumpul rempah ratus dan hasil hutan untuk dihantar ke pelabuhan perdagangan Sri Vijaya di mana ia ditukarkan dengan barangan dari China, India, Semenanjung Arab dan Eropah. Bagaimanapun, semua kegiatan ini akhirnya jatuh ke tangan pedagang Cina yang pada waktu itu telah membuka ladang rempah ratus dan menyingkirkan petani Melayu. Apabila orang Eropah datang, kedudukan orang Cina sudah cukup kukuh untuk menjadi orang tengah. Masa berlalu dan lebih ramai imigran Cina datang ke Asia Tenggara bagi membekalkan semua jenis perkhidmatan yang diperlukan oleh pedagang dan pegawai penjajah Eropah. Hatta orang Melayu juga akhirnya mula bergantung kepada orang Cina untuk barangan dan perkhidmatan.

Itulah keadaan sebelum berkembangnya kuasa Eropah ke rantau ini. Asalnya orang Melayu bukan sahaja penduduk pribumi, tetapi juga kaum terbesar dari segi bilangan. Mereka menentukan bentuk serta rupa peraturan sosial dan politik di mana kegiatan dagang dijalankan. Namun semua itu berubah dengan penguasaan Eropah ke atas rantau ini. Melayu kehilangan kedudukan istimewa mereka dalam kerangka sosiopolitik dan perdagangan.

Orang Melayu mungkin dapat mengelak daripada ditenggelami orang asing jika mereka menunjukkan kecenderungan untuk membuat kerja-kerja baru yang diperlukan oleh industri getah dan timah penjajah. Bagaimanapun, disebabkan mereka bertumpu di kampung-kampung dan bukan lagi di bandar-bandar pelabuhan serta pusat perdagangan maka mereka lebih suka menjadi petani dan nelayan. Akibatnya, British membawa masuk orang India dan menggalakkan orang Cina merebut peluang yang diwujudkan oleh industri-industri baru ini. Sebagai reaksi, orang Melayu berundur semakin jauh daripada kegiatan ekonomi bandar yang pernah mereka sertai. Berikutan penyertaan rakyat pribumi yang semakin kurang dalam perniagaan menyebabkan kecekapan dan kemahiran yang mereka miliki merosot. Seandainya mereka bertahan, orang Melayu mungkin tidak begitu terpinggir selepas orang Eropah menguasai bumi mereka sepenuhnya.

Menjelang mulanya Perang Pasifik, kebanyakan penduduk peribumi Asia Tenggara telah dipinggirkan dan menjadi orang termiskin di negara mereka sendiri. Di kebanyakan wilayah Asia Tenggara yang dijajah Eropah, pengkelasan sosial dan ekonomi agak sama, iaitu orang Eropah paling atas, diikuti oleh keturunan Serani, Cina dan kaum-kaum lain.  Orang Melayu berada di kedudukan paling rendah. Di Tanah Melayu, perbezaan strata ekonomi dan sosial paling buruk wujud di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Orang Melayu bimbang dengan kemungkinan menjadi golongan minoriti termiskin di Semenanjung Tanah Melayu seperti yang berlaku di Singapura.

Kesedaran mengenai sejarah dan pengetahuan mengenai apa yang berlaku di Singapura menyebabkan orang Melayu sangat bimbang dengan kedudukan mereka di dalam dunia yang mana orang lain menguasai ekonomi dan akhirnya, politik. Sesetengah pihak berkata, orang Melayu terlalu pesimis mengenai masa depan mereka di bawah Malayan Union, tetapi sesiapa sahaja yang melihat Singapura hari ini akan menyedari bahawa kesangsian mereka berasas. Walaupun Melayu mewakili 15 peratus penduduk Singapura, mereka hampir-hampir tidak kelihatan dan berupa kaum termiskin yang umumnya menjadi pekerja kolar biru.

Sebagai perbandingan, Malaysia jauh lebih terbuka. Ada orang Cina memegang jawatan tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Walaupun dasar tindakan afirmatif memihak kepada Melayu, masyarakat Cina mendahului dalam bidang perniagaan. Sebanyak 90 peratus jutawan Malaysia adalah kaum Cina dan ada antara mereka yang jutawan. Biarpun Melayu kononnya mendapat keistimewaan, tetapi Cina Malaysia tidaklah terpinggir seperti mana orang Melayu dipinggirkan di Singapura.

Bukan tuntutan orang Melayu sahaja yang mendorong kerajaan untuk merancang dan melaksanakan dasar bagi mengatasi kelemahan ekonomi mereka. Tidak kurang pentingnya adalah pertimbangan perpaduan kebangsaan dan kelangsungan negara. Ia diperlukan untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan status - satu legasi British yang tercetus akibat dasar pembahagian kerja yang dibuat mengikut kaum. Adalah penting bagi kerajaan melaksanakan dasar yang boleh mengurangkan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berupa program afirmatif telah diperkenalkan bagi mengatasi masalah kemunduran orang Melayu serta menjamin masa depan sosioekonomi mereka.

Hujah yang menyebelahi diskriminasi positif adalah wajar. Seluruh dunia sudah menerima hakikat bahawa dalam percukaian, orang kaya mesti membayar kadar yang lebih tinggi daripada orang miskin. Namun, jika hasil cukai hanya dibelanjakan untuk golongan kaya yang membayar lebih banyak cukai maka kumpulan berpendapatan rendah di kampung dan kawasan sesak di bandar akan menjadi orang yang dilupakan. Tidak ada sistem pembetungan, sekolah dan kemudahan perubatan untuk mereka. Bagi golongan kaya pula, disebabkan sumbangan cukai mereka yang besar maka mereka menikmati kehidupan yang selamat, bersih dan selesa manakala orang miskin dibiarkan melarat dan tidak terurus. Justeru itu, kesatuan sekerja dan undang-undang buruh diperkenalkan bagi menghalang yang kaya mengeksploitasi yang miskin. Tanpa undang-undang berbentuk diskriminasi dan cukai ke atas yang kaya bagi melindungi golongan pekerja, kekayaan yang dihasilkan oleh industri dan perniagaan akan dibolot oleh kapitalis dan usahawan besar. Malaysia tidak mungkin aman dan stabil seperti sekarang tanpa dasar pilih kasih ini.

Orang Melayu mestilah menanggung tugas melakar sejarah baru dan masa depan ke dalam tangan mereka sendiri. Mereka mestilah menguasai ilmu, kebijaksanaan dan kefahaman bagi membolehkan mereka mencapai matlamat ini dengan berkesan. Mereka juga mestilah mempelajari bidang kemahiran penting yang akan memperkasa mereka. Namun ini sahaja belum memadai. Orang Melayu mesti menoleh ke belakang dan belajar daripada pengalaman pahit sejarah bagi menjamin tempat mereka di dunia.

Doktor Umum Memoir Tun Dr Mahathir MohamadWhere stories live. Discover now