Telefon dipegang dengan erat dan gelisah. Kakinya dari tadi berjalan ke kiri dan kanan. KANAN KIRI KANAN KIRI! PUTAR PUTAR JARI! Jangan lebih-lebih sangat.
Pinggang dicekak sambil menatap skrin telefon yang sudah terdail nombor seseorang. Aih gelisah semacam je. Rileks Nuha, jangan gelabah sangat. Tenang. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali. Punat panggilan di tekan lalu telefon dilekapkan pada telinga.
Tut... Tut... Tut...
"Assalamualaikum along." Nuha memberi salam apabila orang di sana mengangkat panggilan darinya. Kawal suara Nuha. Jangan bunyi takut sangat. Sabar.
"Waalaikumussalam, kenapa adik call along?" soal Noah, abang sulong kepada Nuha yang duduk menetap jauh dari kampung.
"Erm, adik ada benda penting nak bagitahu along."
"Bagitahu apa? Cepat lah dik, along ada kerja nak buat lepas ni." Suara along yang kedengaran malas mahu melayannya membuatkan dia terasa hati. Sudah lama dia ditinggalkan oleh along sejak kematian arwah ibu bapa mereka sejak beberapa tahun lepas. Hubungan mereka tidak lagi seerat dahulu.
Nuha senyap seketika, masih ragu-ragu. Perlukah dia memberitahu tentang perkara yang berlaku padanya nanti kepada along. Tapi kalau bukan sekarang, bila lagi?
"Kalau adik senyap, lebih baik along..."
"Nanti ada orang nak masuk meminang adik..." cepat sahaja Nuha melontarkan kata-kata sebelum along benar-benar memutuskan panggilan. Bukan dia tak tahu perangai abangnya macam mana.
"Hah apa dia?! Adik, kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Kau nak kahwin? Dengan SPM pun tak lepas lagi. Ada hati nak kahwin. Siapa nak dekat kau?" Suara along yang menyindir lagi membuatkan dia terasa kecil dan takut mahu meneruskan bicara.
Teruskan kata-kata kau Nuha! Jangan takut sangat dengan Along.
"Dik, kalau kau call aku setakat nak main-main macam ni, buang masa aku je lah." Jelas ditelinga abangnya merengus kasar, tidak suka dimainkan dengan adik sendiri.
"Along, adik tak main-main. Lagi dua minggu orang tu nak masuk meminang adik. Dia..."
Belum sempat Nuha ingin berbicara, ayatnya cepat ditangkas oleh along.
"Ke kau dah bunting?"
Terkedu Nuha dengan sebaris kata-kata yang lebih tajam dilontarkan oleh abangnya. Sungguh menghancurkan sekeping hatinya. Seorang abang sanggup menuduh dia buat perkara terkutuk kerana dia bakal berkahwin di usia masih mentah. Adik mana yang tak terasa bila keluarga sendiri berkata begitu.
"Betul kan kau dah terlanjur?" Soal alongnya inginkan kepastian. Gadis itu hanya diam menyepi tanpa ingin membela diri. Mulutnya bagaikan terkunci rapat.
"Huh! Sia-sia je aku tanggung sekolah kau tapi kau pergi melacur dekat jantan tak guna!"
"Along! Adik tak buat semua benda tu! Jangan disebabkan kita jauh, along boleh tuduh adik jual maruah diri! Adik tak semurah tu lah along!" Suara Nuha naik seoktaf sama dengan abangnya yang tidak habis-habis menuduhnya. Dia tak boleh sewenang-wenangnya memberi along teruskan menuduh dia melacur. Kalau tidak makin sakit hati dia dengar bicara along yang seterusnya.
"Apa aku cakap semua tu betulkan? Yang kau nak nafikan lagi kenapa? Kalau tak, jantan tu takkan terima kau." Noah tersenyum sinis disebalik telefon. Dia sudah agak adiknya memang gadis yang sangat liar. Nampak saja baik di luar tapi entah-entah dah berapa kali tidur dengan jantan. Mentang-mentang dia sudah lama tidak menjenguk kampung, adiknya boleh pula buat perangai tak senonoh. Dasar budak bawa malang!
"Along memang melampau!" Kedua belah matanya terkatup rapat menahan setitik air mata yang menuruni pada wajahnya. Tangan kiri digenggam erat. Bibir pula diketap erat bagi menghalang bunyi esakan yang bakal keluar.
"Heh Maksu sendiri cakap yang kau pergi sekolah dengan jantan keparak mana yang kau jumpa!"
Alongnya semakin melampau. Maksu juga. Nuha tak pelik kalau Maksu mengadu domba pasalnya kepada along tetapi sanggup Maksu reka cerita pasal dia keluar dengan lelaki padahal kawan lelaki pun dia tak pernah ada. Dia benar-benar kecewa dengan along. Sangat kecewa. Alongnya lebih mempercayai Maksu berbanding adik sendiri. Tak sangka selepas beberapa tahun mereka tidak bersua muka, kepercayaan Noah terhadapnya semakin tipis sehingga fitnah yang dibuat oleh Maksunya sendiri langsung tak diragui.
"Adik call along cuma nak minta restu dan along jadi wali adik tapi along..." Dahinya diketuk perlahan dengan tangan bagi menghilangkan air mata yang semakin berjuraian. Sumpah dia tak tahan dengan perangai along sekarang. Kenapa along berubah mendadak?
"Kau nak sangat kahwin kan? Okay, aku boleh jadi wali kau tapi ingat, aku takkan restu hubungan kau sampai bila-bila." Panggilan terus ditamatkan.
Badan Nuha terduduk jatuh ke atas lantai. Lutut dipeluk dengan seeratnya. Bergetar bibir Nuha menahan daripada suara terkeluar. Tangisan tanpa suara sangat menyakitkan. Lebih sakit dari meluahkan segala yang terpendam kepada orang yang dipercayai. Dia tidak mahu nampak lemah hanya kerana along berperangai begitu.
Dadanya diusap bagi menghilangkan pedih di hati. Kenapa abangnya semakin jauh dengannya? Adakah along masih tidak boleh terima dengan kenyataan yang berlaku suatu ketika dahulu?
Tapi apa yang diperkatakan oleh abangnya sungguh menjentik tangkal hati. Dia masih boleh terima dengan fitnah yang ditabur tapi... takkan restu perkahwinan ni sampai bila-bila?
"Ya Allah, apa salah aku sampaikan aku diuji?" Air mata yang membasahi pipinya tadi semakin mengering. Matanya dikerdipkan beberapa kali bagi menghilangkan rasa pedih. Nuha, jangan pernah bersangka buruk dengan tuhan.
"Umi, abi, adik rindu umi dengan abi. Kenapa umi dan abi tinggalkan adik." Empangan air matanya sekali lagi pecah. Setiap kenangan bersama umi dan abi ketika dia masih kecil bermain di fikiran. Masih dia ingat betapa bahagia keluarganya dahulu walaupun mereka dibuang keluarga belah ayahnya sendiri.
Arwah abi anak tunggal dan perlu patuh dengan semua arahan arwah datuknya tetapi kerana cinta, segala arahan diingkari sehinggalah abi dan umi mempunyai keluarga sendiri.
Bunyi ketukan pada pintu menyentakkan lamunan Nuha yang telah jauh ke alam berbeza. Dia pantas berdiri dan menguakkan daun pintu sehingga tersembul wajah Maksu.
Seperti dia jangkakan.
"Aku dengar kau nak kahwin. Dengan siapa?" Wajah garang Maksu dipamerkan serta tidak lupa senyuman sinis yang sentiasa melekat pada bibirnya.
Nuha tidak menayangkan sebarang riak wajah, hanya menunduk. Dia terlalu letih dengan cemuhan yang bakal keluar dari mulut jahat itu.
Dan seperti yang disangka, cepat saja berita itu sampai ke pengetahuan Maksu. Siapa lagi kalau bukan Along yang bagitahu.
"Untung kau ni. Muda-muda dah ada orang berkenaan buat isteri. Entah-entah dalam tu ada isi." Bibir tebal itu menjuih ke arah perut Nuha yang dilindungi oleh baju yang dipakai.
Gadis itu tidak memandang ke arah Maksu walaupun dicemuh begitu. Sebab dia tahu, kalau dia pertahankan diri, salah tetap pada dia.
"Cepat betul along bagitahu Maksu." Kali ini giliran Nuha bertanya sinis. Lengannya disilangkan ke dada, melawan tatapan mata wanita yang berumur awal 40-an itu. Huh dia langsung tak takut dengan Maksu. Maksu ibarat halimunan saja di matanya.
"Heh semua benda yang jadi dalam rumah ni, aku kena tahu walaupun datang dari kau sekalipun. Nak tunggu kau buka mulut, agak-agak sampai kau nikah dekat Siam pun aku tak tahu." Terbit lorekan menyenget di hujung bibir wanita itu lagi. Puas dia melihat wajah anak saudaranya yang menahan amarah.
"Cukup lah Maksu, Nuha dah penat nak dengar Maksu membebel. Sekarang Maksu dah tahu kan? Jadi tak perlu Nuha ulang benda sama." Dia menghempas pintu dengan kuat lalu dikunci, geram dengan perangai orang dalam rumah ni. Maksu yang berada tepat pada muka pintu di luar bilik tidak dihiraukan. Suara pekikan Maksu dibiarkan saja. Malam ini saja dah cukup penat baginya mahu melayan karenah Maksu yang kadang-kadang tak betul.
Lampu bilik ditutup lalu badannya direbahkan ke atas katil. Badan diselimutkan sehingga ke paras leher. Tidur lebih baik daripada hadap hidup yang entah bila akan tenang. Nuha sendiri pun tak pasti bila keluarganya mahu jadi seperti dulu, tiada perbalahan besar sehingga bertekak sesama sendiri. Dah lama dia pendam, tapi dia sedar dia masih kanak-kanak yang tak boleh masuk campur hal orang dewasa.
YOU ARE READING
TheeHan
Teen FictionKahwin kerana permintaan orang tua. Klise? Ya memang klise dan cringe. 28/03/2022