Bab 6

370 27 18
                                    

NAFEESA memeriksa telefon di tangan sebelum sekali lagi memandang bas yang berhenti di depannya tika itu. Okey betul. Bas nombor 84 ini akan membawanya ke kampus Along. Langsung sahaja Nafeesa mengimbas kad Compass yang dipinjamkan Along sebelum bergerak ke bahagian belakang bas.

Hari ini kiranya sudah genap dua minggu sejak Nafeesa sampai di sini. Tapi hari ini kali pertama Nafeesa akan ke kampus Along sementelah hari ini hari terakhir Along. Selepas ini, Along ada dua minggu rehat sebelum mulanya peperiksaan hujung semester. Kata Along, kawasan kampusnya menarik. Dah nama pun sekolah seni dan rekaan, kan. Memang wajarlah kawasan kampus itu sangat artistik, ye tak? Jadi Along nak bawa Nafeesa ronda-ronda di sana.

Tak sampai lima belas minit, perkarangan kampus Emily Carr sudah menyapa pandangan. Kata Along, nampak sahaja papan tanda Emily Carr, Nafeesa perlu turun. Lebih daripada separuh penumpang bas semuanya turun di stesen yang sama. Nafeesa sekadar mengekor sahaja langkah mereka masuk ke dalam kawasan kampus. Tangannya diseluk ke dalam kocek untuk mengambil telefon bimbit. Ingin mengirim mesej kepada Najwan untuk memberitahu lelaki itu bahawa dia sudah sampai.

"Naf!"

Belum sempat Nafeesa menekan butang hantar, suara Najwan sudah menerjah gegendang telinga. Nafeesa lantas mengangkat wajah. Sekejapan sahaja, Najwan sudah tiba di hadapannya.

"Jom, makan dulu. Along lapar."

"Okey je. Along nak makan kat mana?"

"Dekat depan tu je. Chai dia sedap. Tapi kedai tu tak ada tempat duduk la. Kita beli shawarma ke naan ke lepas tu makan dekat tasik, nak?"

"Boleh je." Nafeesa sekadar membuntuti langkah Najwan ke gerai Delish yang terletak di hujung jalan. Sementara Najwan membuat pesanan, Nafeesa memandang menu yang terpapar di papan. Memang menarik. Ikutkan nafsu, memang Nafeesa nak beli semua yang ada di situ. Selain apa yang Najwan beritahunya tadi, gerai ini turut menyediakan makanan barat juga. Ada burger. Ada pasta. Terliur Nafeesa dibuatnya.

"Hey man, your girlfriend?" soal lelaki yang memakai tanda nama Matt itu. Sambil menyiapkan pesanan Najwan, dia sempat melirik ke arah Nafeesa yang tercegat di sisi lelaki itu.

"Eh nooo." Laju sahaja Najwan menafikan. "She's my sister."

"Ahh." Lelaki itu mengangguk. "No wonder, never seen her around." Dah tiga tahun Najwan belajar di situ. Memang Najwan salah seorang pengunjung setia gerai Delish mentelah gerai itu satu-satunya gerai yang menawarkan makanan halal di kawasan kampus. Kalau nak makan makanan halal yang lain, perlu menapak jauh sedikitlah atau perlu naik bas ke sana.

"She just came from Singapore." Najwan menerangkan

Nafeesa mengukir senyum manis segaris. "Hi. I'm Nafeesa." Dia mengangkat tangan melambai ke arah Matt, tanda perkenalan.

Matt sekadar mengangguk dan tersenyum kembali. Dia menghulurkan beg kertas kepada Najwan usai membungkus makanan dan minuman mereka. "I've packed potato skins and some light bites for you guys too. Delish's speciality. Enjoy your trip here, Nafeesa!"

"Wow!" Senyuman Nafeesa semakin lebar, hingga ke telinga. "Thank you so much!" Langkah kanan sungguh. Rezeki jangan ditolak, ya tak?

***

BUNGKUSAN naan dibuka. Mujur Nafeesa bawa tisu basah dan cecair pembasmi kuman di dalam beg ke mana sahaja dia pergi. Senang sikit nak makan meskipun tiada tempat untuk cuci tangan. Tak syiok la makan naan cecah ayam mentega guna sudu dan garpu.

Chai yang masih suam berasap dalam cawan styrofoam dicicipnya sedikit. Fuh, nikmat betul!

"Akhirnya dah settle semua submissions." Najwan menghembuskan nafas lega sambil memandang ke langit. Kalau tak, kucar-kacir hidupnya. Nak keluar dengan Nafeesa pun serba-salah sebab banyak lagi kerja tak siap. Tempoh hari waktu ke Escape Room tu pun, pulang sahaja ke rumah Najwan sambung buat tugasan.

Buah Hati NafeesaWhere stories live. Discover now