JAY dan beberapa lagi rakan sekelas Sun yang lain menggamit dia supaya ke tengah padang untuk turut serta bermain bola sepak. "Sun, jomlah main!"
"Tak apa. Kau orang main je, aku malaslah." Sun buat isyarat tidak mahu guna tangan. Dia tak ada rasa nak main bola pagi itu.
"Ala Sun, jomlah. Minggu depan dah tak ada PJ." Jay sudah berdiri di depan Sun, masih tidak berputus asa untuk menghasut rakan baiknya itu supaya main bola bersama-sama mereka.
"Alahai... kau orang main je la. Aku malas nak turun padang, nanti berpeluh." Sun masih teguh dengan pendiriannya untuk tidak turut serta bersukan.
Jay dengan mulut yang terkumat-kamit, tundukkan badan lalu dia ambil rumput yang kering atas tanah kemudian bangun. Rumput kering yang ringan itu dia lempar kepada Sun dan berlalu pergi. Geram!
Sun tergelak-gelak melihat gelagat Jay. Apa masalahnya? Sun tak nak main pun jadi isu. Tak reti nak rasa bosan ke dia orang ni kalau setiap minggu waktu PJ je mesti main bola? Tak boleh ke main benda lain?
Setiap minggu, daripada tingkatan satu sampai dah tingkatan lima ni, tanpa jemu kerja sepak bola je. Bosan betul.
Adalah sekali-sekala tukar angin main bola keranjang, tapi boleh dibilang dengan jari berapa kali. Selebihnya aktiviti mereka semua kejar bola.
Bosan kuasa dua.
Baik Sun duduk dekat tepi, tengok sahaja kawan-kawan dia yang lain main. Tak adalah penat sangat nanti masuk kelas.
Dia pandang kawasan tepi padang untuk cari tempat sesuai untuk dia duduk. Sun bersihkan bibir longkang yang penuh dengan rumput kering sebelum melabuhkan punggungnya di situ.
Dia menyandar selesa pada pasu bunga yang gah berdiri teguh di belakang badannya, manakala kakinya yang panjang itu diluruskan melintang di atas longkang. Tangan pula diselukkan ke dalam poket seluar treknya.
Bosan melihat pelajar-pelajar lelaki yang tak sudah-sudah mengejar bola, Sun mula meliarkan pandangan ke seluruh padang hijau nan luas itu.
Pelajar lelaki main bola dan futsal, pelajar perempuan dekat padang bola jaring. Suasana tipikal semasa kelas Pendidikan Jasmani.
Adalah seorang dua yang main badminton dekat hujung padang sana, tapi itu cuma lakonan sahaja. Dalam lima minit lagi, berhentilah tu. Duduk bersembang tepi padang.
Sedang dia asyik memerhatikan orang, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi seperti suara seseorang mengira dengan sangat kuat.
"Seribu lima, seribu enam, seribu tujuh, lima ribu!"
Suara itu seperti kemengahan. Kira apa? Dia tilik belakang, lalu melontarkan pandangan ke arah astaka. Suara itu nampaknya datang daripada atas.
Badannya kini sudah berpusing sepenuhnya. Mahu lihat tapi tetap juga tidak jelas pada penglihatan Sun kerana kedudukan dia yang sedikit rendah daripada bangunan astaka. Sun panjangkan leher untuk mendongak sedikit.
Bibir dia dengan sendirinya mengukir senyum nipis sebaik imej seseorang yang tidak asing lagi singgah di retina matanya.
"Seratus ribu satu, seratus ribu dua, sejuta!"
Senyumnya tadi kini sudah bertukar menjadi tawa kecil. Sun menunduk lalu menggeleng kepala.
Cuba teka siapa yang Sun nampak sampai dia boleh tergelak?
Siapa lagi kalau bukan... Nur!
Junior Sun tu tengah lompat tali dekat atas astaka sana bersendirian membelakangi dia.
"Sejuta lima ratus ribu, sejuta enam ratus ribu, sejuta lapan ratus ribu, dua juta!"
Aduhai...
Pening kepala dia dengar Nur mengira. Sun ingatkan buat latihan matematik aje yang Nur tak reti, tapi mengira pun teruk juga?
Daripada elok duduk, kini Sun sudah berdiri. Dengan tangannya masih di dalam poket seluar, Sun panjat tangga astaka sehingga kaki mereka kini sudah berpijak di lantai yang sama.
Dia berdiri betul-betul setentang dengan Nur, tetapi masih berjarak dalam empat meter. Diam dia tersenyum melihat gadis itu 'mengira' lompatan dia.
Lama dia perhatikan Nur terkinja-kinja sendiri. Khusyuk betul gadis itu nampaknya sampai sedikit pun tak perasan Sun ada di belakang dia.
"Seratus juta! Wohoo! Nur dah skipping seratus juta."
Tali yang digunakan untuk membuat lompatan itu Nur campak ke tepi. Sesaat kemudian dia terus duduk melunjur di atas lantai meluruskan kaki yang terasa lenguh. Penat!
"Mana boleh straight duduk lepas exercise." Sun menegur apabila dia nampak Nur terus duduk tanpa melakukan regangan.
"Aaa!" Nur terjerit kecil kerana terkejut. Dia berpusing ke belakang sepantas kilat sambil memegang dada. Sebaik dia nampak siapa yang menegurnya, mulut dia laju terbuka menghamburkan marahnya.
"Bodohlah main sergah-sergah!"
Sun julingkan matanya ke atas, dia mengundur ke belakang dan menyandar pada tiang astaka.
Tangan bersilang di dada, berpeluk tubuh. Sikit pun tidak terasa hati dengan makian manja daripada Nur.
"Siapa yang sergah kau?"
"Kaulah!" Nur sudah berpaling duduk menghadap Sun, tapi kaki masih terkangkang luas. Sikit pun dia tak rasa nak 'cover ayu' depan Sun.
"Aku cakap yang betul. Kau kan dah skipping seratus juta, mana boleh terus duduk. Sia-sia seratus juta kau tu kalau kau 'jalan' kejap lagi."
"Berapa lama dah kau duduk belakang aku?"
"Lama juga, sempatlah tengok kau kira sampai seratus juta," ujar Sun selamba bersama sengihan nakal.
Nur bengang. Eh eh dia ni!
Kecil besar kecil besar je saiz Sun dekat mata Nur sekarang ni.
"Anyway Nur." Sun berdiri tegak semula. Baju bahagian belakangnya diperiksa terlebih dahulu sejurus dia bangun, mana tahu ada kesan cat terlekat atau tidak.
"Apa?" Garang Nur menyoal.
Sun berdiri tegak semula apabila yakin yang baju dia tak ada sebarang kotoran melekat.
"Aku ingatkan kau tak pandai algebra je, rupanya mengira pun kau weng juga eh? Nanti aku ajar kau mengira, okey? Oh ya, tahniah untuk seratus juta lompatan. Kau layak pegang rekod dunia."
Habis sahaja ayat dia, Sun langsung tak tunggu respon Nur, menonong sahaja dia berjalan turun dari astaka. Dia mula berlari pergi ke tengah-tengah padang, dan ikut bermain bola bersama kawan-kawannya.
Nur genggam tangan dia erat-erat dengan mata dah terjegil luas.
Geram betul dia dengan Sun.
Eee! Sibuk!
Suka hatilah Nur nak lompat sampai trilion sekali pun. Nur yang lompat, dah kenapa Sun yang panas? Huh!
..........
CREDIT PHOTO BY: ATILIA ART
YOU ARE READING
Heliophile [SUDAH TERBIT]
RomanceHeliophile- a person who loves the sun. Beku, itu sifatnya. Nama dia Aarif Ahsan , tapi mereka panggil dia Sun, matahari. Dan satu-satunya yang boleh berada di sisinya adalah cahaya, yang menjadi haba mencairkan hati sedingin ais. The sunshine. She...