Kepekatan malam mewarnagelapkan semua. Angin malam bertiup dengan lembut menyapa wajahku yang penuh dengan air mata. Aku melihat ke arah bulan yang cuba untuk memberi cahaya pada malam hari. Melihatnya mampu untuk mengurangkan kekecewaan yang sedang membalutiku. Aku percaya bahawa bintang yang menghiasi langit dapat membahagiakan serta menyaksikan segala kesedihan dan hanya bulan yang mampu merasakan pilu yang sedang aku rasakan.Terkadang, mencurahkan isi hati kepada bulan itu amat menyenangkan. Kita boleh mempercayainya dalam menyimpan rahsia. Rasa pilu yang tersimpan di dalam hati sering disebabkan oleh perbuatan manusia. Tidak semua perkara boleh diceritakan kepada mereka, dan bukan semua manusia juga akan mengerti. Kejujuran, satu perkataan yang mudah untuk disebut oleh ramai orang tetapi bolehkah semua orang memiliki sifat itu? Belum tentu. Dengan itu, akan timbul permasalahan di kemudian hari.
Kata-katanya masih lagi terngiang-ngiang dengan jelas di telingaku. Ucapan-ucapannya, janji-janjinya masih ku letakkan di sudut hati yang terdalam. Namun haruskah lagi aku mengingati semua itu setelah dia mengingkarinya? Pada akhirnya, semua akan pergi dan hanya kenangan indah yang tersisa.Hari itu ialah hari yang tidak pernah aku sangka akan wujud. Hari pertemuan kami ialah hari yang tidak dapat diramalkan oleh aku dan juga dia. Tanpa ku sangka, Tuhan akan memberikan kami peluang untuk mengenal satu sama lain.
Kami mula berkomunikasi. Lama kelamaan, hubungan kami menjadi erat. Sejak detik itu, dia telah menjadi sumber kebahagiaanku. Aku amat menyayanginya dengan sepenuh hatiku. Dialah segalanya bagiku. Aku memperjuangkan dia lebih
daripada batas yang aku sanggup, tidak peduli apapun risikonya.Dia telah berkata bahawa akulah yang pertama, tiada yang lain. Betapa bodohnya aku? Aku mempercayai kata-kata dustanya. Dia pernah berjanji tidak akan meninggalkanku. Namun, semua itu palsu.
Aku sedang berjalan pulang dari tempat kerjaku sewaktu aku melihatnya sedang berduaan dengan wanita lain. Pada waktu itu, aku jalan dengan perasaan marah yang semakin membakar lalu menampar pipinya dengan air mata di kelopak mataku. Wanita itu menolakku dengan kuat sehingga aku terjatuh lalu bertanya mengapa aku menampar suaminya. Alangkah terkejutnya aku ketika dia memanggil lelaki kejam itu sebagai suami. Aku bangun dengan pantas lalu mengatakan bahawa aku telah menjalin hubungan mesra dengan suaminya. Perasaan terkejut dan marah dapat dilihat dari raut wajah wanita itu. Tangannya menampar wajah lelaki itu dengan cukup kuat untuk mewarnakan wajah lelaki itu warna merah. Aku membuka langkahku lalu meninggalkan tempat itu dengan hati yang terluka. Bukannya satu hati sahaja yang dilukai namun dua dan itu hanya kerana tidak
berkata benar. Kebohongan. Kepalsuan.Hubungan mesra yang dijalin selama lima tahun itu telah hancur hanya dalam lima minit. Sekarang, hanya kenangan yang tersisa. Jikalau dia bosan dengan seorang wanita sekalipun, bukan itu caranya untuk menghilangkan rasa bosan itu. Tuhan menciptakan rasa bosan hanya untuk menguji sejauh mana kesetiaan, bukan untuk menjadikan itu sebab mengapa adanya kecurangan. Sudah berkali-kali dia mengecewakanku namun aku tetap mempercayainya dan memberikannya peluang untuk berubah. Kesabaranku makin menipis. Kesetiaanku juga semakin dicabar. Nampaknya tiada nokta pada kecurangannya lantas aku
mengambil keputusan untuk melangkah pergi kerana hatiku sudah cukup disakiti olehnya. Sekali cinta, sukar untuk berpaling pada yang lain. Baik atau buruk lelaki tercinta, tetap dipandang sebelah mata demi ingin berada di sisi lelaki itu. Ada yang berani, pasti melangkah pergi. Yang takut untuk melepaskan, terus statik walau diri
dilayan seperti kain buruk. Tiada baris kata yang dapat ku lafazkan untuk
menggambarkan erti pengorbananku. Aku yang telah hanyut dibuai rasa cintaku sehingga aku sanggup mengorbankan kebahagiaanku sendiri demi orang yang dicintai. Hilanglah sudah madah-madah cinta yang terindah. Apa gunanya bermadah jika ada kebohongan yang diselitkan? Apa gunanya sedekat kemarin jika
akhirnya akan seasing ini? Jangan pernah mencintai seseorang dengan terlalu dalam kecuali kamu tahu bahawa dia mencintai kamu dengan sama dalamnya kerana jika tidak, kedalaman cintamu itu hanya akan bertukar menjadi kedalaman lukamu nanti.Kini bersamamu hanyalah menjadi sebuah angan, kerana diriku telah merasakan kehilangan. Menjalani hari tanpa arah kerana telah kehilangan sosok yang selalu menenangkan amarah. Tuhan memang adil, dia telah memberikan kesempatan seseorang untuk hadir namun tidak menjadikannya takdir.
Berkatalah benar supaya tiada konflik yang akan timbul. Jika tidak, kebohongan itu hanya akan merugikanmu pada kemudian hari. Engkau mungkin sanggup untuk berkata palsu tapi sanggupkah engkau menghadapi risiko itu? Satu ayat dapat menimbulkan banyak masalah jika ada kebohongan disebaliknya.
KAMU SEDANG MEMBACA
KEBOHONGANMU
ContoTuhan menciptakan rasa bosan hanya untuk menguji sejauh mana kesetiaan, bukan untuk menjadikan itu sebab mengapa adanya kecurangan. Sudah berkali-kali dia mengecewakanku namun aku tetap mempercayainya dan memberikannya peluang untuk berubah.Kesabar...