Keadaan kelas 3 Zitaa pada pagi itu amat bising sehingga menyebabkan Haniya yang sedang melukis berasa terganggu. Dia seperti mahu menjerit. Namun apabila difikirkan semula, dia tidak jadi menjerit kerana gelarannya sebagai "pelajar paling diam" akan tercalar.
"Niya, apa yang sedang awak lakukan? Tidak habis-habis lagi dengan novel bercampur komik awak itu?" soal Sofiya, sahabat karib Haniya yang duduk tidak jauh darinya.
Haniya menoleh ke arah sahabatnya itu. Pena yang dipegang, diletakkannya ke atas meja sebelum dia menyandarkan diri ke kepala kerusi sambil berpeluk tubuh. "Biasalah Sofi. Ini sahajalah kerja saya. Lagipun, saya tidak dapat fokus belajar kalau bising macam ini," keluhnya dengan rasa tidak senang hati. Dia mengerling keadaan kelasnya untuk seketika.
"Benar kata Niya itu. Kenapa ya ustazah tidakmasuk hari ini?" Athirah yang kebetulan berjalan di sebelah Haniya tiba-tiba mencelah. Gadis itu kemudiannya melabuhkan punggungnya di atas kerusi di sebelah Sofiya. "Saya sudah tidak sabar hendak belajar bahasa Arab ini," sambungnya lagi.
Wajah bosan jelas ditayangkan oleh ketiga-tiga sahabat itu. Mereka seperti termenung jauh. Melihatkan perkara itu, seorang lagi pelajar perempuan yang merupakan sahabat mereka bertiga juga, mengambil peluang untuk mengenakan gadis-gadis itu.
Aeishah menahan tawa tatkala dia mengusik bahu kiri Haniya beberapa kali. Haniya yang tersentak menoleh ke sebelah kirinya. Aneh, tiada orang pun disitu. Selepas itu, dia menoleh ke arah kanannya pula, ke arah Sofiya.
"Sofi, awak jangan main-main dengan saya. Sayatengah cari idea ini," ujar Haniya geram.
Sofiya yang sedang asyik menilik kukunya berasa marah apabila tiba-tiba dituduh sedemikian. "Maaf ya, saya tidak buat apa-apa pun," balasnya lantang.Akhirnya, perbalahan yang tidak diingini berlaku antara dua orang sahabat itu.
Athirah yang mendengar pertelingkahan itu hanya mampu mengeluh perlahan. 'Apa mahu jadilah dengan sahabat-sahabatku ini?' bisiknya perlahan. Dia lantas menegur mereka, "Kalian tidak perlulah bergaduh. Tiada sesiapa pun yang salah. Kalau mahu tahu dalangnya yang sebenar, semua ini pastilah angkara Aei si tukang prank sejati itu!" Jarinya dituding lurus ke arah Aeishah yang sedang ketawa kecil di sudut dinding kelas.
Bebelan-bebelan kecil mula terbit dari bibir Haniya dan Sofiya. Ugutan demi ugutan dilontarkan kepada Aeishah yang hanya membuat wajah selamba. Begitulah sahabat, kalau tidak mencari gaduh, pasti tidak sah.
"Aeishah, apa awak buat di belakang itu? Duduk di tempat awak sekarang." Kamiliya yang merupakan ketua kelas 3 Zitaa menegur dari jauh. Dia hanya mampu menggeleng sahaja melihat gadis yang seorang itu. Ada sahaja hal yang mahu dibuatnya apabila tiada guru di dalam kelas mereka.
Aeishah mengangguk sekali sebelum kembali ke tempatnya iaitu di belakang Haniya. Sebaik sahaja Aeishah duduk di atas kerusi, Haniya terus berpaling kebelakang lalu menanyakan soalan kepada sahabatnya yang nakal itu. "Aei, memandangkan awak meminati seni seperti saya, awak tahu tak tentang pena Zailyrosam?"
"Bangun!" Suara Kamiliya dilaungkan kuat sebaik sahaja guru mata pelajaran Bahasa Melayu melangkah masuk. Haniya mencebik kecewa kerana tidak sempat mendengar jawapan Aeishah. Salam diberi dan nampaknya kelas mereka dimulakan dengan subjek Bahasa Melayu hari ini.
🍀🍀🍀🍀
Garis-garis pensel dilorek dengan teliti. Haniya tidak memberikan tumpuan kepada guru yang sedang mengajar di hadapan. Fikirannya melayang memikirkan mitos pena yang baru dibacanya dalamsebuah buku yang bertajuk History and Myths of theArts. Sedang dia melayan fikiran, kertas yang berada di hadapannya dirampas oleh seseorang.
"Cikgu, tengok ini, ada orang sibuk melukis didalam kelas." Kertas tadi kini sudah berada di tangan Arisa dan sedang dilayang-layangkannya tinggi. Haniya tersentak daripada lamunannya lalu teruscuba mencapai kertasnya daripada pegangan rakan semejanya itu.
YOU ARE READING
Miss Miracle : Sakti di Mata Pena (Terbit ✅️)
Fantasy"As long as Emelda is here, Xyphea cannot enter or come. As long as you are here, in this box lies Zailyrosam." Pena Zailyrosam, matanya berkuasa sakti. Seseorang yang menggunakan pena tersebut, pasti mampu menghasilkan sesuatu yang hidup melalui lu...