XL 05

1.1K 70 0
                                    

Sudah enam bulan mereka bersama. Dari hanya sahabat, kini menjadi pasangan kekasih secara rasmi. Murni membelek cincin yang dihadiahkan oleh Iskandar untuknya. Bukan cincin tunang atau cincin nikah tetapi lebih kepada cincin tanda yang dia kini adalah milik Iskandar seorang.

Puas Iskandar memujuknya untuk menghantar rombongan tetapi Murni masih mahukan sedikit masa. Bukan dia tidak percaya dan yakin kepada Iskandar. Lelaki itu benar-benar cintakannya. Tetapi Murni yang rendah diri, sering-kali membandingkan dirinya dengan Iskandar.

Mereka berdua ibarat langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan bintang. Iskandar dari keluarga berada malahan kerabat raja, manakala dia dari keluarga biasa-biasa saja. Iskandar berjawatan tinggi dan gaji pun tentu sekali besar, manakala dia hanya pekerja biasa saja. Iskandar tampan dan bergaya, sedangkan dia...

Murni membetulkan balus yang dipakainya. Dia mengerling jam di tangan. Silapnya juga kerana terlalu awal. Tetapi mesyuarat yang sepatutnya diadakan, telah ditunda ke tarikh lain. Makanya, dia tercongok di sini menantikan kekasih hati. Terdapat mata-mata memandangnya. Atau itu semua hanya sangkaannya?

"Maaf sayang, abang lambat."

Murni bangun dari kerusi yang didudukinya. "Taklah, saya yang awal."

"Okay, sayang nak makan apa? Popcorn?" tanya Iskandar.

Murni menganggukkan kepala. Dia menurut langkah Iskandar ke kaunter konsesi. Iskandar meraih tangannya, membiarkan jari mereka bersatu, tanpa sedikit pun matanya lekang melihat senarai makan dan minuman. Kali ini Murni yakin mata-mata yang memerhatika mereka bukan lagi khayalannya. Terdapat beberapa gadis bayanya sedang berbisik, mata mereka sesekali menjeling ke arahnya dan Iskandar.

Kalaulah boleh hilang, itulah yang mahu dilakukan oleh Murni. Iskandar yang sepertinya dapat menghidu gelisah di hati Murni, menarik gadis itu lebih dekat lagi dengan tubuhnya. Iskandar menyerahkan makanan dan minuman bersaiz jumbo ke arah Murni. Dengan sebelah tangan, dia mengambil dompet dan membayar harganya. Dia mencapai kembali makanan dan minuman itu dan beriringan, mereka menuju ke bilik yang ditetapkan.

Selesai menonton wayang, mereka berdua duduk di food court. Sekali lagi Murni gelisah. Sikap prihatin Iskandar terhadapnya menambahkan lagi resah di hati. Mahu saja dijeritnya yang dia juga manusia biasa, punya hati dan keinginan untuk sayang dan menyayangi. Tetapi Murni yakin bukan itu yang dibisikkan orang. Mereka mungkin tertanya-tanya kenapa lelaki seperti Iskandar mahu ada kaitan dengan perempuan sepertinya.

"Sayang, dari tadi sayang diam saja. Lepas tu gelisah semacam. Kenapa?" tanya Iskandar lembut.

Murni menunduk, menyedut minuman. Bagaimana mahu diluahkan apa yang terbuku dihatinya ini?

"Saya rasa ada yang memandanglah abang," katanya perlahan.

Iskandar melihat sekeliling. "Abang tengok biasa aje."

Murni turut melihat kiri dan kanannya. Semua orang sibuk dengan hal masing-masing. Mungkin dia sendiri yang terlalu sensitif. Entah bila rasa rendah diri ini akan hilang.

"Saya rasa kekok," kata Murni.

Iskandar menolak minumannya ke tepi. Dia meraih kedua-dua tangan Murni. "Sayang, sekarang ni pandangan mata abang hanya tertumpu pada sayang saja tau. Itu tandanya ada sesuatu pada sayang yang buatkan abang tertarik. Kalau orang lain tak nampak kelebihan sayang tu, mereka memang buta."

Murni tersenyum. Hatinya kembali gembira dengan kata-kata Iskandar. Iskandar memang tahu cara memujuknya. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia yakin dengan kelebihan yang ada pada dirinya.

"Saya nak kurangkan berat badan," kata Murni.

[Cahaya Cinta #4] Cinta Lebih SaizWhere stories live. Discover now