Lelaki tua itu berdiri di atas perancah, seperti penceramah yang sedang menyampaikan laungan motivasinya kepada pelajar-pelajar sekolah. Yang membezaan hanya kerut amarah yang terpampang jelas pada wajah lelaki tua itu. Dan juga Intan yang terikat di belakang.
Pada mulanya aku tak dapat mendengar apa yang dituturkan lelaki itu. Telinga aku seperti ditutupi hijab. Aku menyedari ada teriakan di kiri dan kananku. Ada sambutan sorakan. Tapi aku tak dapat mendengar lansung apa yang mereka sorakkan. Aku berjalan lagi ke depan. Mengharapkan apa yang sedang laungkan itu mampu mencecah telingaku. Kerana sejujurnya debar di jantungku sudahpun kencang. Bak pelari pecut yang bakal memenangi pingat olimpik.
Tapi sebaik sahaja aku sampai di depan perancah, lain pula jadinya. Intan yang dari tadi tak lepas dipandang mataku, yang dari tadi meronta-ronta ingin melepaskan diri, kini sudahpun berubah wajah. Aku terpaku, kerana di depanku bukan lagi Intan. Hanya seorang gadis Melayu, dengan tahi lalat di atas bibirnya, meronta minta dilepaskan.
"Kita tak boleh biarkan!!!"
Aku hampir tersungkur ke belakang. Suara yang kuat tiba-tiba sahaja menjengah telingaku. Aku menoleh pula pada lelaki tua itu yang kini berdiri tinggi betul-betul di depanku.
"Kampung kita bukannya kampung yang boleh sewenang-wenangnya dipijak! Maruah yang kita ada ni tak sepatunya dihenyak-henyak oleh sesiapa, apatah lagi oleh pendatang dari luar. Pendatang orang putih yang tak pernah nak ambil tahu pasal adat kita. Apatah lagi nak hormat budaya kita! Dan perempuan inilah dalangnya!"
Teriakan yang kuat bergema di kiri dan kananku. Aku lihat mereka yang masing-masing memegang obor penuh dengan amarah di wajah. Dan amarah mereka nampak jelas ditujukan pada perempuan yang sedang diikat.
"Perempuan ni. Yang datang dari kalangan kita. Yang kita besarkan dengan budaya kita. Dalam masyarakat kita. Kita tak pernah ambil remeh kebajikannya. Kita jaga setiap dari kalangan kita, pastikan setiap dari kalangan kita tak berlapar di waktu malam. Tak menangis kerana kesusahan. Kerana kita tahu, itu tanggungjawab. Itu fardhu kifayah kita untuk menjaga kebajikan jiran. Kalau ada yang susah kita hulurkan bantuan. Yang mana yang senang tak berat nak memberi."
"Betul! Betul!"
Orang-orang di kiri dan kananku mula mengangguk. Bak ayam yang sedang mematuk tanah.
"Tapi perempuan ni berani, membawa masuk orang luar dalam masyarakat kita. Orang yang tak tahu cara kita. Tak hormat dengan budaya kita. Perempuan ni tanpa malu menyerahkan maruah dia pada lelaki orang putih itu. Tanpa dia sedari, pada masa sama dia telah menghenyak maruah kita semua!"
Laungan persetujuan bergema di kiri dan kananku. Membawa api amarah semakin marak menyala. Aku dapat merasakan amarah yang sama mula berjangkit padaku. Meningkatkan debar di jantung, dan membaw d***h yang panas ke seluruh badan. Aku memerhatikan perempuan itu yang kini sudahpun berpeluh meronta untuk melepaskan. Ketika itu difikiranku hanya satu perkataan, terpampang merah menyala.
"ZINA!! Perempuan ni sanggup melakukan perkata terkutuk ketika kita semua sedang beribadah! Ketika kita sedang membanting tulang untuk hidup mengikut aturan Tuhan. Tapi perempuan binasa ini sanggup melakukan dosa pada Tuhan!"
"Bukan!! Kami dah kahwin!"
Suara perempuan itu lemah, perlahan. Tapi ia mampu menghentikan orang tua itu. Seluruh kerumunan yang sedang berkumpul di kiri dan kananku kaget. Ada yang sudahpun menurunkan parang dan cangkul yang dari tadi mereka julang setinggi-tingginya.
"Kami dah kahwin. Dan dah dapat restu dari...."
"Murtad!" jerit salah seorang dari kananku. Orang tua yang dari tadi terdiam, dengan mulut yang ternganga kini tersenyum. Seolah-olah alasan yang dicari tadi kini sudahpun dicampakkan ke arahnya.
YOU ARE READING
Kampung Seribu Kubur
HorreurKisah perjalanan ke sebuah perkampungan yang penuh misteri.