Bab 1

8 0 0
                                    

Suasana di Jeram Batu Putih begitu mendamaikan dengan desiran air terjun dan air sungai yang menghilir. Bau pepohon hutan begitu menyegarkan dengan sayup suara burung dan unggas bersahut-sahutan. Matahari sudah mula tergelincir dengan cahaya jingga mencelah di dedaunan pokok beringin.

Seorang lelaki bertubuh tinggi sedang bersandar di kerusi malas bersama joran yang diikat pada pancang kayu. Telah hampir sejam dia menunggu namun masih belum ada ikan yang memakan umpan.

Bersamanya seorang wanita berkulit putih kemerahan kerana begitu lama terdedah kepada cahaya matahari. Rambut hitamnya beralun umpama ombak ke bawah bahu. Dia duduk di sebelah lelaki tadi sambil mengamati wajah berjambang nipis hingga menutupi tulang pipinya yang agak menonjol. Kemudian dia mencapai tangan lelaki yang tegap dan kasar dengan bulu di lengan.

Pandangan lelaki yang asyik dilemparkan ke seberang sungai beralih kepada wanita itu. Mereka saling berbalas senyuman.

Lelaki bernama Mustafa dengan rambut pendek dan umur dalam lingkungan empat puluhan itu bertanya, "Mana Damia?"

Wanita bernama Laila itu menjawab, "Tu... tengah main air."

Mulutnya memuncung ke arah gigi air di mana seorang budak perempuan berumur sembilan tahun sedang mencangkung dan bermain dengan anak-anak ikan di bahagian air yang terlindung dan agak tenang.

"Damia! Jangan main dekat sungai!" tegur Mustafa dengan kulit yang agak gelap kerana dibakar mentari. Pekerjaan sebagai jurutera menyebabkan dia sering dibakar mentari yang menggigit.

Damia berpaling melihat ke arah mereka berdua. Rambut di bahagian hadapan yang dipotong lurus dengan gaya ala chinese doll bersama rambut yang panjang melepasi bahu.

"Biarlah dia bermain kat tepi tu. Abang ni risau sangatlah." Balas Laila yang sudah faham dengan sikap suaminya yang adakala terlalu melindungi anak tunggal mereka itu.

"Bahaya kalau dia main kat sungai tu. Kalau terjatuh nanti macam mana? Pada masa tu pulak kita tak nampak. Tak ke bahaya namanya tu," omel Mustafa.

Laila mengusap bahu suaminya. "Bang, jangan risau sangat. Tak ada apa-apa yang akan berlaku." Laila cuba menyedapkan hati suaminya.

Mendengar kata-kata Laila, Mustafa menarik nafas. Dia sedar sifat terlalu melindungi anaknya itu juga akan menyebabkan dia terlalu mengongkong Damia. Cuma kerisauan itu tidak dapat dia tepis. Akhirnya dia senyum dan mereka sama-sama memandang Damia bermain dengan anak-anak ikan.

Damia kemudian bangun menampakkan gaun pendek berwarna putih bersama reben biru terikat di bahagian bawah leher. Skaf biru muda terikat di kepalanya.

Hanya mereka bertiga ada di situ dan mereka akan bermalam di kawasan jeram itu. Karavan putih terparkir tidak jauh dari tempat mereka bersantai bersama khemah yang agak besar.

"Macam mana rancangan abang nak mengembara ke seluruh dunia dengan karavan ni? Masih berminat?" tanya Laila.

"Mestilah. Bukan senang kita nak mengembara untuk lihat negara orang. Kita boleh tengok budaya, cara hidup dan pemandangan tempat orang. Bukan terperap di negara sendiri aje." Jawab Mustafa.

"Yalah. Tapi negara sendiri pun kita tak habis jelajah lagi. Dari Pulau Pinang sampai ke Johor. Paling kurang pun kita pergi ke negara Asia yang lain. Indonesia, Singapura, Thailand." Jelas Laila.

"Sayang macam tak suka je. Cuba cerita apa sebenarnya yang bermain di fikiran sayang sekarang ni." Mustafa memandang pipi isterinya yang kemerahan. Meskipun terdedah kepada cahaya mentari, kulitnya masih kelihatan cerah. Mungkin kerana produk kecantikan yang digunakannya.

"Bukan macam tu. Saya risaukan masa depan Damia. Kita habiskan masa menjelajah tempat orang sampai pelajarannya tercicir. Macam mana pula kalau dia ada adik-beradik nanti. Bukan mudah berada di tempat orang ni bang. Persekolahan dia nanti macam mana?" Laila memautkan tangannya di lengan Mustafa.

"Jauh sangat sayang fikir tu. Adalah jalannya nanti. Kita buat perancangan dengan betul-betul." Jawab Mustafa. Senyumannya menyerlahkan lesung pipit di pipi diselaputi jambang nipis.

Angin hangat tiba-tiba menampar pipi Mustafa. Udara dirasakan agak berat dengan degupan jantung yang tidak sekata. Seperti ada alamat tidak baik yang sukar untuk digambarkan.

Laila masih leka merebahkan kepalanya di bahu Mustafa seolah-olah dia tidak merasakan apa yang dirasakan lelaki itu.

Hampir gugur jantung Mustafa apabila kelihatan susuk tubuh seorang lelaki tercegat di belakang mereka.

"Encik ni siapa?" tanya Mustafa.

Laila dan Damia turut menoleh untuk melihat lelaki berumur itu. Mungkin dalam lingkungan lima puluhan. Kulit kusamnya begitu berlawanan dengan rambut, misai dan janggutnya yang hampir putih keseluruhannya.

"Apa kau buat kat tempat ni?" tanya lelaki itu.

"Saya berkhemah dengan keluarga saya. Kami bertiga akan bermalam di tempat ni." Jawab Mustafa.

"Pergi dari sini," kata lelaki misteri itu dengan nada tegas. Wajahnya begitu ketat seperti askar ketika sedang berkawad.

"Kenapa pulak? Kami baru sampai sini. Lagipun tak ada perintah pihak berkuasa supaya tak boleh bermalam kat sini. Encik ni siapa? Polis ke?" Mustafa cuma mengekalkan wajah relaks bersama senyuman.

"Kau pekak atau dah hilang akal? Aku kata pergi dari sini!" Lelaki itu masih bertegas.

"Ini tempat encik ke? Tak ada tulis pada papan tanda pun." Jawab Mustafa.

"Aku tak ada masa nak bertekak dengan kau. Nasib kau, kau dan budak tu dalam bahaya kalau tak pergi dari sini. Cepat! Sebelum terlambat." Mata lelaki itu semakin membulat.

"Sebab apa? Apa yang ada di tempat ni?" Mustafa inginkan penjelasan lanjut.

Malangnya lelaki itu berlalu tanpa berkata apa-apa. Selang beberapa saat kemudian dia hilang dari pandangan.

"Bang, saya rasa tak sedap hatilah. Jom kita pergi dari tempat ni." Pujuk Laila dengan wajah yang terlukis riak kebimbangan.

"Alah... abaikanlah apa yang orang tua tu cakap. Entah-entah orang gila agaknya." Kata Mustafa sambil membetulkan jorannya.

Laila memandang Damia dengan rasa bercampur-baur. Mentari sudah mula berlabuh di celah-celah dedaun hutan.

Meskipun Mustafa cuba menepis apa yang dikatakan oleh orang tua tadi, kata-kata itu masih berlegar di mindanya. Pandangannya dilempar ke seberang sungai.

Dia kaget. Dia pasti terlihat kelibat sesuatu di celah pokok-pokok. Ia seperti susuk tubuh seorang perempuan tua. Rambutnya menggerbang seperti telah lama tidak disisir. Ia kelihatan hanya beberapa saat sebelum hilang entah ke mana.

PAGI itu Mustafa bangun dengan tubuh yang segar. Meskipun dia tidur lewat malam tadi kerana memikirkan tentang kata-kata lelaki tua dan kelibat perempuan yang dilihat senja semalam, dia berjaya melelapkan mata akhirnya.

Mustafa dan Laila tidur di satu bahagian khemah manakala Damia tidur di bahagian terasing yang dihubungkan dengan terowong kecil.

Laila yang berbantalkan lengan Mustafa turut bangun sambil menggosok mata.

Mustafa tersenyum dengan dada yang lapang kerana berjaya melepasi malam tanpa gangguan seperti yang dikatakan orang tua semalam.

Laila pergi ke bahagian sebelah untuk mengejutkan Damia. Namun apa yang dilihat menyebabkan dia tergamam.

"Abang, Damia tak ada." Suara Laila menyebabkan darah Mustafa berderau.

Mereka keluar dari khemah untuk mencari Damia.

"Damia!" jerit Mustafa.

Namun Damia masih tidak kelihatan. Mustafa mencari di bahagian sungai. Dia terfikir kalau-kalau Damia tergelincir dan dibawa arus.

Laila pula mencari di kawasan berdekatan khemah dan karavan. Sedang asyik mencari, dia terlihat sesuatu di tanah berdekatan tempat mereka bersantai.

"Abang! Tengok ni!" jerit Laila.

Mustafa segera mendekatinya.

Kelihatan di tangan Laila ada anak patung yang disumbat kekabu. Ia memiliki rambut daripada benang bulu. Rupanya seperti rambut Damia. Pakaiannya juga persis pakaian Damia.

Mereka berpandangan tanpa kata. Tubuh mereka terasa kaku dengan kejutan yang tidak disangka pagi tu.

PatungWhere stories live. Discover now