Suasana jeram yang sunyi dan damai itu kini riuh dengan kehadiran polis dan pasukan penyelamat. Beberapa penduduk dari kampung berhampiran turut memeriahkan pencarian budak hilang bernama Damia.
Mustafa dan Laila duduk di kerusi malas dengan rasa resah gelisah. Rasa risau memikirkan nasib Damia menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
"Encik Mustafa, boleh saya nak ambil keterangan?" tanya seorang lelaki sederhana tinggi dengan seragam biru.
"Boleh," jawab Mustafa.
"Bila encik sedar anak encik dah hilang?" tanya lelaki itu.
"Waktu pagi. Lebih kurang pukul lapan setengah pagi." Jawab Mustafa dengan rasa kosong. Kosong selepas kehilangan Damia.
"Ada apa-apa perkara pelik berlaku sebelum tu?"
Mustafa berfikir sejenak. "Ada. Ada satu lelaki tua beri amaran kepada kami. Kemudian saya nampak kelibat perempuan tua juga kat dalam hutan. Sekejap dia dah hilang."
Beberapa penduduk kampung mencuri dengar perbualan mereka berdua.
Setelah menulis di dalam buku catatan, lelaki itu bertanya lagi. "Ada apa-apa perkara lain?"
"Ada. Kami jumpa patung ni dekat kawasan ni." Kata Laila.
Penduduk kampung itu saling berpandangan sesama mereka.
Selesai urusan bersama anggota polis itu, mereka menghampiri Mustafa dan Laila.
"Maafkan kami sebab mengganggu. Kami terdengar tentang patung tadi." Kata lelaki bersongkok. Gigi hadapannya agak tersembul ke depan.
Mustafa terpinga-pinga. Kemudian dia dan Laila saling berpandangan dalam kebuntuan.
"Maafkan saya. Terlupa nak perkenalkan diri. Saya Wak Darus. Ini Awang dan yang itu Hadi." Katanya sambil menunjuk ke arah lelaki berambut putih dengan bahagian dahi yang licin. Kemudian kepada lelaki dalam lingkungan dua puluhan dan berkulit agak gelap.
Mustafa dan Laila hanya mendengar tanpa berkata apa-apa.
"Sebenarnya kami bukanlah nak menyibuk hal orang. Apa lagi hal berkaitan dengan polis ni. Tapi kes orang hilang dengan jumpa patung ni bukan kali pertama. Dah berpuluh rasanya sejak beberapa tahun yang lepas." Wak Darus menyambung bicara.
"Apa puncanya?" tanya Mustafa.
"Tak ada bukti yang kukuh. Tapi semuanya hilang dalam hutan ni." Kata Wak Darus.
"Ada yang kata, ada puaka dalam hutan ni yang menculik semua orang yang hilang tu." Awang mencelah.
"Dapat jumpa tak orang yang hilang tu?" Mustafa semakin cemas.
Laila di sebelahnya mula keresahan.
"Tak. Semua hilang macam tu aje." Jawab Wak Darus.
"Angkara siapa sebenarnya? Manusia atau makhluk halus?" Mustafa bertanya lagi.
"Entahlah. Ada yang kata manusia yang mengamal ilmu hitam. Patung tu sebagai ganti mereka yang hilang. Rupanya sama macam masa orang tu hilang."
"Jadi apa nasib anak saya sekarang ni?" Mustafa mula hilang sabar.
"Saya harap encik bertenang. Ada yang kata roh anak encik ada dalam patung tu." Kata Awang.
"Itu pendapat sesetengah orang. Ada yang kata orang hilang tu masih boleh diselamatkan lagi." Kata Hadi.
"Tapi kenapa tak ada yang dapat diselamatkan sampai sekarang?" Suara Mustafa mula meninggi.
"Sebab tak ada yang berani masuk hutan tu. Takut terima nasib sama macam orang yang hilang." Kata Awang.
"Beginilah. Kalau encik nak pertolongan, boleh cuba hubungi bomoh Wak Seman. Dia memang selalu datang ke sini dan cuba halang orang masuk dalam hutan." Kata Wak Darus.
"Lelaki tu namanya Wak Seman?" Mustafa seperti tidak puas hati.
"Encik kenal dia?"
"Dia tegur saya dulu sebelum anak saya hilang. Err... tak ada orang lain ke yang boleh tolong saya?" Mustafa terasa payah untuk berdepan dengan lelaki itu sekali lagi.
"Dia lebih tahu hal macam ni. Tapi jangan salahkan saya kalau dia tak nak tolong. Encik bukan orang pertama yang minta tolong dengan dia." Kata Wak Darus sebelum menghantar nombor Wak Seman ke telefon pintar Mustafa.
"Satu pesanan kami. Tinggalkan patung tu kat hutan ni. Ada yang kata benda tu bawa sial." Kata Wak Darus lagi.
"Tapi inilah saja yang dapat mengingatkan kami pada Damia." Kata Mustafa.
"Banyak yang encik tak tahu tentang patung tu dan hutan ni. Lebih baik elakkan daripada benda yang boleh bawa masalah. Percayalah cakap kami." Kata Wak Darus sebelum meninggalkan Mustafa dan Laila.
Mustafa masih belum bersetuju dengan lelaki itu. Patung itu adalah satu-satunya yang dapat mengingatkan dia tentang Damia. Menyimpan patung itu juga dianggap satu ikhtiar yang ada hubungan dengan kehilangan Damia.
Sejurus selepas lelaki bertiga beredar, seorang anggota polis menghampiri mereka berdua. "Encik dan puan baliklah dulu, berehat."
"Mana boleh saya berehat. Ini anak saya yang hilang." Urat leher Mustafa mula tersembul.
"Saya faham. Kami akan maklumkan perkembangan usaha mencari anak encik."
Laila mengusap bahu Mustafa. "Kita tunggu aje berita tentang Damia dari rumah."
Meskipun tidak puas hati, Mustafa akur dengan cadangan isterinya.
MUSTAFA bersandar di kepala katil. Apa yang berlaku menyebabkan dia dalam keadaan serba-serbi tidak kena. Waktu makan dan tidurnya jadi tidak menentu.
Melihat keadaan Mustafa, Laila turut bersandar di sebelahnya.
"Abang fikir tentang Damia?" Laila memecah kesunyian mereka berdua.
"Abang risau keadaan dia sekarang. Entah dia makan atau tidak. Abang risau apa yang dibuat penculik tu pada dia. Itu pun kalau penculik. Kalau macam kata orang kampung tu tentang roh Damia dalam patung tu, macam mana pulak? Apa ikhtiar kita untuk selamatkan anak kita." Celoteh Mustafa.
"Kita serahkan pada Allah. Segala ni adalah ujian untuk kita, bang." Pujuk Laila.
"Masalahnya sekarang, apa ikhtiar kita? Takkan nak tunggu berita dari polis aje. Kita tak buat apa-apa." Balas Mustafa.
"Doa dan solat hajat pun ikhtiar kita juga bang."
Mustafa tidak dapat membendung perasaan ketika ini.
"Kita kena buat sesuatu sayang. Sama ada kita ke hutan untuk cari Damia atau duduk sini dan terima hakikat Damia dah hilang. Kalau perlu kita cuba hubungi bomoh tu. Mustafa sedar dia terpaksa buat pilihan ketika itu." Mustafa beremosi.
"Jadi abang nak buat apa sekarang?" tanya Laila.
Mustafa berfikir sejenak.
Jika Mustafa terima hakikat Damia sudah tiada dan patung itu jadi pengganti, baca BAB 3.1
Jika Mustafa ingin ke hutan untuk mencari Damia, baca BAB 4.1
Jika Mustafa ingin hubungi Wak Seman, baca BAB 5.1
-------------------------------------------------------
Nota:
Kisah ini bersambung di dalam ebook Patung oleh Salleh Kausari di Google Play Books.Boleh dapatkan di sana.

YOU ARE READING
Patung
HorrorSemasa berkhemah bersama keluarganya di sebuah jeram, Mustafa diberi amaran oleh seorang tua misteri tentang bahaya di tempat itu. Namun dia tidak mengendahkan amaran itu dan anaknya Damia hilang pada keesokan harinya. Apa terjadi pada Damia? Siapa...