Prolog

454 56 0
                                    

Hariz memandang keluar tingkap. Hanya helaan nafas lemah kedengaran dari bibirnya yang merekah pucat. Burung-burung merpati yang singgah pada tanah berdekatan tingkap biliknya itu dia pandang lama.

Alangkah indahnya menjadi burung. Terbang bebas tanpa masalah. Hanya memikirkan soal makan dan minum sahaja. Andai bosan, boleh sahaja ia berterbangan di ruang angkasa biru. Apabila penat, hinggap sahaja atas dahan-dahan pohon yang berdekatan.

Tiada aturan, tiada arahan malah tiada sekatan dalam hidupnya.

"Patut ke aku mati dan bertukar jadi burung sahaja?"

"Encik Hariz" sapa satu suara lunak dari sisi Hariz. Lantas kepala menoleh arah.

Jasmine, perawat yang bekerja di tempat ini tersenyum manis memandang Hariz. Lembut sekali layanannya. Bermata bundar, bibir kecil serta rambut yang lurus separas bahu. Tidak pernah gadis itu berkasar dengan pesakit pesakit yang berada di sini. Mungkin sudah menjadi tanggungjawab dia. Atau mungkin itu adalah sifat aslinya.

Entah dia juga tidak pasti.

"Encik Hariz ada perjumpaan dengan doktor kan kejap lagi?"

Sepi.

Jasmine pandang Hariz tak berkelip, sabar menanti jawapan daripada lelaki itu.

Hariz angguk kepala sahaja sebagai jawapan ringkas. Semenjak dia menjejak kaki ke tempat ini, memang susah untuk dia bersuara. Hariz lebih banyak diam dan termenung kosong.

"Okay saya pergi dulu tau, doktor ada dekat bilik pesakit nombor 1" sebaik berkata, dia terus mengorak langkah. Bayang Jasmine hilang di sebalik pintu bilik. Mungkin mahu menyambung tugas hariannya dan memeriksa pesakit yang lain. Hariz tidak peduli. Pada dia, mereka semua hanya baik dengannya hanya kerana sudah dibayar. Lebih lebih lagi untuk menjaga pesakit gila mental sepertinya.

Malas berlenggah masa, Hariz terus bangkit dari birai katil besinya. Berjalan perlahan menuju ke arah bilik yang dimaksudkan oleh Jasmine sebentar tadi. Sampai sahaja di hadapan pintu, kaki berhenti melangkah.

Diambil beberapa waktu senggang sebelum tangan naik mengetuk papan pintu.

"Masuk" seru satu suara dari dalam bilik. Pintu diseret ke tepi. Hariz melangkah masuk.

Lihat sahaja wajah Hariz, doktor itu terus tersenyum lebar. Lantas dia melangkah mendekati Hariz sebelum membawa lelaki itu duduk atas kerusi yang berada betul-betul di hadapan meja kerjanya. Hariz masih lagi dengan wajah datar. Jelas tidak menunjukkan minat.

"Gembira dapat berjumpa dengan awak. Macam mana harini? Sihat?" Doktor itu memulakan perbualan ringkas antara mereka. Sengaja ingin mengambil mood.

"Macam biasa" jawab Hariz datar.

"Macam biasa tu macam mana? Sihat sangat? Sihat biasa-biasa? Atau sihat sederhana?"

Hariz hela nafas berat. "Macam biasa" jawapan yang sama.

"Glad to hear that" doktor itu masih tersenyum manis. File atas mejanya dibuka. Helaian kertas diselak satu persatu, itu adalah rekod kesihatan milik Hariz Naufal.

"Suhu bilik ni okay? Atau terlalu sejuk untuk awak?"

Hariz geleng kepala.

"Awak lapar? Saya boleh ambikkan beberapa snek kalau awak belum alas perut lagi"

Hariz geleng kepala lagi.

Doktor itu angguk-angguk kepala sedikit. File ditutup kembali. Perhatiannya diberi penuh kepada Hariz. "Sebelum kita mulakan sesi kita pada harini, saya nak minta izin sesuatu dekat awak boleh Hariz?"

Hariz memberikan pandangan datar.

"Saya nak rakam sesi kita kalini untuk tujuan penyimpanan rekod" ujarnya semula.

"Terserah" balas Hariz sepatah.

"Terima kasih" masih dengan senyuman manis.

Bertentang mata untuk beberapa saat, Hariz pantas memalingkan wajah ke arah lain. Masih tidak biasa bertentang mata empat mata dengan gadis muda di hadapannya itu. Walaupun sering kali mereka bersua muka, masih ada rasa janggal dalam hatinya. Mungkin juga rasa-

Serba salah.

Doktor itu bangun sebelum kaki mengorak langkah ke arah kamera yang sudah siap sedia dipasang awal tadi. Butang on ditekan sebelum dia kembali duduk semula di tempatnya.

"Hari ini saya nak awak bercerita tentang kisah lama awak boleh?" Ujar doktor itu datar. Senyuman manis terloret pada bibir.

"Kisah lama saya?" Hariz mengangkat wajah. Kembali berpandangan. Raut wajahnya sedikit berubah kelat. Seakan tahu apa yang dipinta oleh gadis itu. Dan dia tahu memori silam yang kian hari memakan jiwa raganya itu akan kembali tertayang pada mindanya lagi.

"Iya saya nak awak ceritakan dekat saya kisah gadis yang bernama Maya"

Jeda.

Sunyi.

Untuk beberapa waktu, hanya bunyi pendingin hawa memenuhi ruangan bilik empat segi itu.

Berkabur mata hazelnya. Hariz memandang wajah doktor itu dengan pandangan sayu. Seolah-olah ada seribu satu rahsia dia simpan tentang gadis yang bernama Maya.

Tangan sendiri diramas. Berlaga antara jari jemari. Sesekali nafas panjang ditarik agar empangan air mata yang sudah penuh itu tidak berderai dengan mudah.

Maya, satu nama yang dia sudah simpan jauh ke dalam sudut hatinya. Nama yang membawa seribu satu memori duka dan suka dalam hidupnya. Andai kata bisa memilih, dia tak mahu mengulang lagi memori lama itu. Memori tentang Maya. Memori tentang hidupnya.

"Dia... orang yang aku paling sayang dalam dunia ni..." ujar Hariz perlahan.

BOOK 12| Hariz Naufal [IN PROGRESS] Where stories live. Discover now