A short story for an amazing person.
Kuyucak, tahun 1960.
Pada zaman dahulu, tinggal seorang lelaki separuh abad bersama anak lelakinya dalam perkampungan kecil yang terletak di Isparta, Turki. Rumah kayu yang didiami keluarga kecil itu dikelilingi tanaman gandum bewarna keemasan. Kejiranan di kampung itu boleh dikira dengan jari namun mereka tetap bersatu hati bekerja di bawah terik mentari. Sekam yang diperoleh hasil daripada gandum itu dipisahkan, dihancurkan lalu dijadikan bran. Selain menghasilkan jerami, gandum ditanam untuk tanaman ragut bagi ternakan lembu dan itik yang diternak orang kampung.
Bagi anak kecil itu, tiada apa yang lebih membahagiakan selain ayah yang penyayang, kehangatan matahari dan sekali lagi, air tangan ayahnya walaupun anak kecil itu tidak pernah meluahkan rasa kagumnya menikmati masakan pemilik sepasang mata Hazel yang sering kepenatan namun tidak lelah tersenyum. Dia dibesarkan dengan cara sebegitu, rasa sayang dibuktikan dengan perbuatan.
Tapi anak muda itu tidak khawatir. Kerana dia tahu, ayah tahu.
*
Bijiran gandum yang digunakan untuk menghasilkan tepung sudah menjadi makanan ruji masyarakat di situ. Setiap pagi, ayah akan menguak langsir yang dikait arwah ibu lalu menghidupkan muzik kegemarannya. Bijirin barli yang sudah menjadi tepung dibakar secara terus di atas api tanpa yis, lalu dijadikan roti ketika sarapan.
"Macam roti pita bersaiz kecil." Kata anak lelaki itu membuatkan si ayah tersenyum.
"Sedap?"
Si anak hanya mengangguk sebelum menggigit roti itu perlahan. Gigi susunya terbenam. Menemen yang merupakan telur yang dimasak dengan tomato lalu dicampur dengan pelbagai pilihan daging awet yang terpapar di dada akhbar di atas meja hanya dipandang sepi. Roti dalam pegangannya itu dikunyah lagi, penuh selera.
Setiap petang, anak lelaki itu akan memerhati itik-itik yang berkeliaran di halaman rumahnya sambil menikmati teh hangat. Dia sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan seorang sahabat untuk menemaninya menyaksikan matahari terbenam. Anak kecil itu tertanya-tanya, bagaimana rasanya menikmati gunung yang disirami sirap itu berdua dengan seseorang yang menyenangkan.
Akibat kemarau panjang, tanaman bijian yang diusahakan sekian lama itu mati membuatkan keluarga kecil itu menghadapi krisis kewangan. Kerana ketiadaan bekalan ubat, tahap kesihatan si ayah semakin merosot sehinggalah anak lelaki yang dinamakan Deniz itu ditinggalkan pada satu malam yang hangat, sehangat pelukan terakhir ayah waktu itu.
Kehidupan Deniz berubah tiga ratus enam puluh darjah. Itik yang berkejaran sudah masuk ke dalam ruang tamu hanya dipandang kosong.
"Ayah, Deniz lupa bagitahu ayah. Roti yang ayah buat... sangat sedap." Air matanya jatuh. Deniz terduduk di atas lantai. Sakit menanggung rindu yang dirasakan itu terlalu mencengkam, anak lelaki itu hanya mahu mati.
Di satu malam yang serba dingin ketika pertukaran musim bunga kepada musim sejuk, Deniz teringat akan perbualannya dengan ayah pada malam terakhir dia menatap wajah tenang itu.
"Allah menguji hambaNya yang Dia sayang."
Mengapa terlalu sukar untuk memahami dan menikmati kasih sayang yang sedia ada? Sudahnya Deniz tertidur dengan mata yang basah.
Senja itu, Deniz sekali lagi berjalan dengan malas, menghalau anak-anak itik yang sudah memanjat meja kopi sebelum dia terpandang sebuah rumah campuran batu dan kayu tidak jauh dari rumahnya itu bercahaya, setelah sekian lama.
Rumah itu sebenarnya sudah didirikan sejak tahun 1920-an dan dikelilingi pokok buah-buahan, zaitun, aprikot dan segala nikmat dunia. Deniz terkaku apabila melihat seorang gadis yang memakai gaun merah jambu dari tingkap rumah di seberang sana melambai mesra ke arahnya. Angkara terkejut, tingkap rumahnya segera ditutup. Bunyi riuh yang datang dari rumah bewarna jingga itu membingitkan telinga yang cemburu.
Deniz menghabiskan banyak masanya dengan membaca buku, mengusahakan ladang gandum yang satu masa pernah dielak dari dijejaki serta menjual telur itik di pasar. Ayah sukakan musim panas, lantas menganyam rindu yang membuak. Anak muda itu sedar bahawa dia semakin kuat, lebih dari yang dia sangkakan. Sesekali dia mencuri pandang ke arah rumah kayu-batu di seberang lautan emas.
Dari jauh, kelihatan seorang gadis sedang termenung menghadap gunung yang disiram sirap. Pemandangan jauh lebih cantik dari situ kerana dekat dengan laut biru. Gadis itu berpaling ke arahnya, lantas langsir bewarna biru gelap itu ditarik sehingga tercarik. Deniz mendecit melihat langsir yang sudah koyak.
Dunia ini tidak adil, mereka yang sempurna akan tetap sempurna.