SALAM hanya dijawab di dalam hati apabila terdengar suara memberi salam dari luar rumah. Sedikit pun dia tidak bergerak dari tempat duduknya di hadapan tv.
"Kak." tegur Awra sebaik wajah Athirah muncul di muka pintu. Dia menghadiahkan senyuman manis sebelum bingkas untuk bersalaman.
"Semua orang mana?" soal Athirah sambil memanjangkan leher mencari wajah ibu bapa mentua serta dua lagi adik-beradik suaminya.
"Si kembar tu ada tuisyen katanya dekat sekolah. Lepas hantar budak-budak tu, abah dengan mak nak pergi layat." jawab Awra sebelum kembali duduk di sofa. Matanya pula terhala ke skrin tv yang terpasang.
"Layat?" soal Athirah kembali dengan kerutan. Kurang faham dengan perkataan yang disebut oleh adik iparnya itu.
"Ziarah orang meninggal." celah Firdaus yang baru melangkah masuk.
"Oh.." Sahut Athirah dengan senyuman di bibir. Keluarga suaminya itu memang berketurunan jawa. Namun, tiada seorang pun adik-beradik suaminya yang fasih berbahasa jawa.
Awra yang perasan akan kelibat abangnya, mengerling sekilas. Tiada niat mahu menegur atau pun menambah. Dia masih lagi terasa hati dengan Firdaus kerana hal dua minggu lalu.
Athirah pula terus turun ke dapur membawa barang-barang dapur yang sempat dibeli di pekan tadi.
"Dik, kau mesti dah takda kerja lain kan? Bukan ke Tinker Bell ni kau dah tengok banyak kali. Siap kau beli DVD lagi. Berapa banyak kali lagi kau nak khatam?" tegur Firdaus seraya melabuhkan duduk di sisi Awra. Tinker Bell and the Lost Treasure menjadi pilihan adiknya itu.
Awra mencebik. Memang itu sahajalah modal abangnya mahu mengganggu jika melihat dia menonton siaran kegemarannya. Memang sejak dulu lagi dia amat minat akan cerita animasi alam fantasi itu.
"Tengoklah cerita lain. Bosanlah.." rungut Firdaus sambil mencapai alat kawalan jauh di atas meja kopi.
Awra merengus kasar sambil menjeling tajam ke wajah abangnya yang sedikit pun tidak terasa bersalah dengan menukar siaran lain tanpa menghiraukannya di situ. "Suka hati kau aje bang nak tukar-tukar.." sindirnya dengan wajah yang tegang.
"Alah.., kau boleh tengok DVD. Tak payah tengok tv pun takpa." balas Firdaus selamba walaupun perasan ketegangan di wajah adiknya itu. Namun, sengaja dia buat tidak endah.
Awra yang sedang menahan geram terus bingkas. Malas lagi mahu melayan kerana tahu yang dia akan sentiasa berada di pihak yang kalah.
"Alah.., sikit-sikit nak sentap. Sejak bila pulak kau dah jadi kaki sentap ni?" giat Firdaus lagi.
"Aku sentap pun, ada susahkan kau ke bang.." jawab Awra sinis sebelum meneruskan langkah untuk turun ke dapur melihat kakak iparnya tadi.
Firdaus melepaskan tawa. Faham yang Awra masih merajuk dengannya kerana hal minggu lalu.
"Macam manalah akak boleh tahan duduk dengan abang tu? Ee.., geram betul Fir dengan dia. Mulut macam apa entah! Gila takda insurans!" rungut Awra yang sudah duduk di meja makan sambil memerhatikan Athirah menyusun barang makanan di dalam peti sejuk.
Athirah menarik senyum. Oleh kerana mulut Firdaus jugalah hatinya tertambat. Lelaki yang dikenali ketika di kampus dahulu memang seorang yang bermulut lepas dan berterus-terang. Sikap yang berterus-terang itulah yang berjaya menambat hatinya selain sikap bertanggungjawab kepada keluarga membuatkannya bertambah senang hati.
"Mulut dia memang macam tu Awra. Awra lagi kenal dia dari akak kan? Mulut takda insurans, tapi hati dia baik dah cukup bagi akak Awra."
Awra menjuihkan bibir. 'Ni kalau abang dengar ni, alamat kembanglah bunga di taman Rasyidah utama dia tu. Haish!' hatinya mengumpat. "Kak, jangan cakap dengan Fir yang hari ni akak nak masak tempoyak ikan patin.." ujarnya apabila perasan akan salah satu isi kandungan beg plastik yang masih terletak di atas meja. Ikan patin yang siap berpotong. Dan dialah orang yang paling lemah jika ternampak ikan air tawar itu. Dia paling tidak suka jika ikan itu menjadi menu utama. Alamat dia makan telur goreng dengan kicap ajelah tengah hari itu nanti.
YOU ARE READING
Awra
RandomCerita sini habis sini. Diharap pembaca boleh hormat karya saya ni seadanya. Jangan copy, jangan cetak. Saya bagi free je baca. Kalau buat juga kerja-kerja tak berfaedah tu, see u in masyar court. Cerita saya tulis pada tahun 2014. Makanya, silal...