AZAN berkumandang kuat, bergema ke seluruh pelosok kampung. Ibrahim setia duduk berteleku di saf paling akhir. Badan sengaja disandarkan ke dinding, dengan mulut terkumat-kamit menjawab azan.
Dia perhati sahaja jemaah-jemaah lain yang mula memasuki rumah Allah itu. Ada yang uzur, ada juga anak-anak kampung yang turut datang menghidupkan suasana masjid.
Dalam ramai-ramai yang ada di situ, cuma seorang sahaja yang Ibrahim tunggu sedari tadi. Selalu waktu-waktu begini dah nampak kelibat itu berjalan menuju ke saf hadapan. Ada tu, mungkin kejap lagi.
Dalam pada lidahnya basah dengan zikrullah, tiba-tiba bunyi enjin motor yang datang dari luar masjid berjaya menarik perhatian Ibrahim hingga bibirnya dengan sendiri tertarik lebar membentuk senyum.
Ibrahim sengaja pandang pintu, mahu lihat tekaannya benar ataupun tidak. Sambil berzikir sambil hati menghitung detik untuk kelibat itu muncul di muka pintu.
Tak lama kemudian, Ibrahim nampak susuk tubuh seorang lelaki yang ringkas sahaja mengenakan kain pelikat dan kemeja-T, lengkap berkopiah memasuki masjid.
Ya, lelaki yang ditunggu-tunggu sejak tadi tidak lain dan tidak bukan, Fitri. Anak kepada Mak Lang Da.
Masuk-masuk sahaja, lelaki muda itu terus pergi ke saf paling hadapan. Dia tidak terus duduk seperti kebanyakan anak muda lain, sebaliknya tetap berdiri lalu mengangkat takbir untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid.
Perbuatan seringkas itu pun berjaya membuat Ibrahim menarik senyum nipis. Setiap gerak-geri Fitri dia perhatikan dari belakang sehingga lelaki itu selesai solat. Lemah lembut, penuh tertib, langsung tidak gopoh menunaikan solat.
Dia tongkat tangan untuk bangun apabila nampak bilal sudah memegang pembesar suara untuk membaca iqamat. Dia melangkah ke saf paling hadapan perlahan-lahan. "Hari ni Haji Budin tak ada, kan?"
"Haah, dia pergi ke rumah anak dia dekat Kuala Lumpur," jawab salah seorang daripada jemaah yang hadir.
"Kalau macam tu, Fitri jadi imam solat petang ni. Boleh?" Ibrahim tepuk bahu Fitri perlahan.
"Insya–Allah boleh." Tak banyak soal, langsung tidak bertolak-tolak, terus Fitri pergi mengambil tempat di hadapan. Di tempat imam. Langsung tidak kelihatan gugup, sebaliknya sangat tenang dan bersedia.
Sekali lagi bibir Ibrahim menyimpul senyum tanpa dia sedar.
Usai solat fardu Asar dikerjakan, kebiasaannya hampir semua jemaah akan pulang, tapi tidak bagi Fitri dan Ibrahim. Anak muda itu tidak gopoh mengejar pintu seperti yang lain-lain. Dia laju menuju ke rak yang menempatkan al-Quran.
Kitab suci itu dipangku lalu dibawa duduk bersila di satu sudut. Badannya digoyangkan sedikit membaca beberapa zikir ringkas sebelum kepala itu menunduk dan bibir bergerak membaca kalam suci daripada Ilahi.
Sementara Ibrahim pula, hanya duduk sambil berzikir di bahagian belakang dewan solat. Masih matanya melekat ke satu arah, sedikit pun tidak berkalih.
Sungguh Ibrahim kata, dia sangat berkenan dengan perwatakan Fitri. Anak muda itu sungguh istimewa. Tak perlu mulut yang manis atau raut wajah yang kacak, air mukanya sahaja cukup untuk membuat hati siapa-siapa yang memandang terasa sejuk. Betapa bersih dan manis sekali air muka Fitri.
Kalau hendak cerita tentang rupa paras, Fitri tidaklah kacak mana, biasa-biasa sahaja. Kulitnya tidak terlalu cerah tetapi tidak terlalu gelap. Sawo matang. Badannya pula tidak begitu sasa, tapi tidak pula kurus keding. Sederhana? Ya, itu perkataan yang paling sempurna untuk gambarkan perwatakan Fitri.
Sederhana pada rupa, tapi keperibadiannya sangat luar biasa.
Dari dulu lagi, dari pertama kali dia berpindah ke kampung itu selepas bersara, Ibrahim sudah jatuh hati dengan keperibadian anak teruna Mak Lang Da itu. Entah, tidak terbilang agaknya berapa kali dia memuji Fitri secara lisan mahupun tidak.
Dan entah berapa kali juga, dia ada bercakap dengan isterinya tentang betapa seronoknya jika dapat bermenantukan lelaki seperti Fitri.
Tapi, sebagai ibu bapa yang berpegang teguh pada prinsip tidak mahu memaksa anak-anak melakukan apa yang mereka tidak suka, Ibrahim dan Suhailah hanya mampu diamkan sahaja hasrat mereka yang satu itu.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa seronoknya dia semalam apabila Amalina akhirnya memberi lampu hijau untuk Ibrahim carikan bakal imamnya.
Tak ada orang lain yang Ibrahim boleh bayangkan berada di sisi Amalina, selain Fitri. Ya, itu dia pasti. Langsung tidak ada ragunya lagi.
YOU ARE READING
Love,Yours | SUDAH TERBIT |
RomanceDia hanya insan sederhana,jauh dari sempurna. Tapi yang jelas dimata ternyata bukan mengambar segala yang indah di dada . Bahagia,itu bukan dari mata mereka,tapi bahagia itu apa yang kita rasa. Persetankan apa kata dunia , kerana ternyata bagiku yan...