Bacaan Percuma- Bab 6

2.1K 178 19
                                    

"ABANG!" Mak Lang Da tarik kerusi di meja makan. Betul-betul depan Fitri yang sedang mengunyah nasi di dalam mulut.

"Ya mak, kenapa?" Apabila habis semua nasi ditelan barulah dia menyahut. Suapan seterusnya dia tangguh, semata mahu mendengar apa yang ibunya mahu katakan. Kalut semacam aje rupa dia.

"Mak nak tanya ni, kau tak ada ke kawan perempuan yang kau berkenan?" Terus terang, langsung tidak bertapis-tapis Mak Lang Da bertanya.

Tangan Fitri statik mencekup nasi di dalam pinggan. Muka ibunya ditenung dengan raut yang pelik. "Berkenan? Untuk?"

"Manalah tahu, kau dah ada buah hati senyap-senyap yang mak tak tahu." Mak Lang Da cubit ikan goreng dalam pinggan Fitri lalu dia suapkan ke mulutnya.

"Isy, mana ada. Mengarutlah mak ni. Tak adalah. Kenapa mak tiba-tiba je tanya soalan pelik ni?" Fitri sambung makan selepas beberapa ketika suapannya tertangguh.

"Betul ni abang single lagi? Tak ada kawan, tak ada buah hati diam-diam?"

"Lailahaillallah... mak ni dah kenapa?" Soalan berbalas dengan soalan. Tersenyum Fitri sambil mengunyah nasi. Terhibur sungguh dia jadinya.

Mak Lang Da tersengih-sengih sendiri. Tenang dia menyandar di kerusinya. "Macam ni... pagi tadi Pak Long ada datang masa abang dekat sekolah."

Kening Fitri terjongket sedikit. "Habis tu apa yang peliknya? Pak Long kan memang selalu datang sini. Hantar baju, beli pisang, bagi ikan." Beritahu Fitri akan sebab musabab yang selalu buat lelaki tua itu datang menyinggah.

"Bukan... 'pagi tadi dia datang sebab lain," kata Mak Lang Da dengan senyuman yang Fitri tak tahu nak tafsirkan bagaimana. Penuh makna.

"Kejap eh mak, abang nak hantar pinggan dulu. Lepas abang basuh tangan kita sambung berborak." Fitri cepat-cepat bangun, laju dia hantar pinggan ke dapur kemudian basuh tangan. Segala lauk yang terdedah tadi dia tutup dengan tudung saji.

Selesai buat apa yang patut, Fitri duduk depan Mak Lang Da semula. Air dalam cawan yang masih berbaki dia teguk sehingga cawan yang tadi separuh terisi kini jadi kosong. "Okey, sambung semula cerita mak. Pak Long datang rumah kita sebab lain? Sebab apa?"

Makin panjang bibir Mak Lang Da tersenyum dengan pertanyaan Fitri. "Dia tanya fasal abanglah, single lagi ke? Ke dah ada orang punya?"

Hampir sahaja kening dia bercantum. Pulak... "Motif Pak Long nak tanya abang single ke tak?"

Mak Lang Da tidak segera menjawab pertanyaan Fitri sebaliknya dia pulangkan soalan anaknya dengan soalan yang baru pula. "Abang pernah jumpa anak dia, kan? Yang perempuan bongsu tu?"

Fitri seolah tahu ke mana perbualan itu akan menghala, buatkan kening yang awalnya sudah bercantum kini sudah kendur ke bentuk asalnya. "Yang hantar lauk dulu tu ke?" Dalam kepala Fitri ketika itu, dia sudah terbayangkan wajah Amalina, cantik berkaca mata. Pernah dia tatap beberapa minggu sudah.

"Haah, Amal tu. Pak Long nak risik abang untuk anak dia kalau abang belum ada siapa-siapa lagi. Itu sebab Pak Long tanya dulu siap-siap, nak confirmkan."

Lidah Fitri jadi kelu. Terasa tekak yang baru sahaja dibasahkan dengan air tadi jadi sekesat pasir. "Risik?"

"Ya, dia nak carikan jodoh untuk anak dia. Namanya Amalina, tapi orang panggil dia Amal. Rasanya masa kenduri dulu, abang pernah jumpa Amal tu. Dia pakai cermin mata." Selamba sahaja Mak Lang Da berkata-kata seperti topik yang dibicarakan itu topik yang langsung tak berkaitan dengan mereka anak-beranak.

Lambat-lambat Fitri telan air liurnya. "Habis tu mak kata apa dekat Pak Long?"

"Mak katalah yang setakat mak tahu, abang tak ada buah hati lagi. Tapi mak dah cakap, apa-apa pun, nanti mak tanya abang dulu. Itu yang mak nak tanya abang ni. Nak tak kalau kenal-kenal dulu dengan anak Pak Long?"

Love,Yours | SUDAH TERBIT |Where stories live. Discover now