Bab 3

136 9 2
                                    


RIYANA melangkah masuk ke dalam rumah. Topi keledarnya masih belum ditanggalkan dari kepalanya. Baru saja kaki mahu melangkah masuk ke dalam rumah, Riyana terkejut apabila Adid muncul di depannya. Riyana mendengus. Sejak memilih untuk bersama ibunya itu, makin kerap Adid muncul di rumah mereka. Riyana tidak sangka, pada mulanya Adid hanya mahu memujuk Norina supaya menerima hubungan mereka. Tapi disebabkan kerap sangat bertemu, akhirnya mereka berdua berpaling tadah daripadanya. Sakit hati, tapi apa yang dia mampu lakukan apabila kedua-dua mereka mengaku telah jatuh cinta. Lagipun hubungannya dengan Adid juga ditentang oleh anak Adid.
Dia sebagai anak dan kekasih tak mampu nak buat apa-apa lagi. Kalau dia mengamuk pun tak mampu nak pisahkan mereka. Adid bagaikan gam yang melekat dengan Norina. Sudahnya dia hanya menyimpan rasa hati. Bodoh? Dia memang bodoh kerana tidak mengamuk. Tapi, Riyana tidak mahu jadi orang tak bertamadun. Berebutkan lelaki dengan ibu sendiri. Lebih baik biarkan saja mereka dengan cara mereka.
“Baru balik?” tanya Adid sambil mengukirkan senyuman kepadanya. Riyana tidak menjawab sebaliknya dia melangkah masuk setelah Adid memberi laluan kepadanya. Riyana tiada kuasa mahu menjawab soalan Adid. Hatinya sudah tawar ketika memandang Adid.
“Kenapa tak jawab soalan I, Riya?” tanya Adid menoleh ke arah Riyana yang sudah melangkah ke tengah ruang tamu.
“Kau nampak aku baru balik buat apa tanya lagi,” kata Riyana kasar. Sudah terang lagi bersuluh , ini memang waktu dia sampai ke rumah dari tempat kerja. Mahu beramah  mesra pula.
“I tanya saja, tapi you tak nak jawab. I dah minta maaf daripada pihak kami berdua. Kami tak dapat nak halang cinta yang hadir. Lagipun baru I perasan memang jarak umur kita terlalu jauh. Macam tak sesuai aje ,kan.” Adid sengih. Riyana menjuih. Baru sekarang nak rasa jarak umur terlalu jauh. Masa bercinta dengannya tak ingat dunia. Rasa diri itu muda. Sekarang dah berjumpa pucuk tua, pandai pula dia cakap pucuk muda tak sesuai. Argh, jantan memang pandai mencari alasan.
“Mana ibu aku?” tanya Riyana.
“Ada kat belakang.” Adid tudingkan jarinya ke belakang.
Riyana melangkah. Tapi, tiba-tiba pergelangan tangannya ditarik. Riyana terkejut besar.
“Kau nak buat apa ni?  Lepaskan aku!” Riyana meronta. Sudah lama dia mengelak daripada bertembung dengan Adid, jika Adid datang ke sini. Dia tidak mahu punca terserempak dengan Adid dia dipukul lagi oleh ibunya. Ibunya bukannya boleh dipujuk jika dia sudah naik hantu. Atas kesalahan kecil pun dia sanggup memukul Riyana. Sejak kecil sehingga besar, ibunya itu kerap naikkan tangan. Riyana sudah kebal dengan sikapnya itu.
“Kenapa sombong sangat sekarang?” tanya Adid sambil sengih nakal. Riyana meronta, tapi Adid masih tidak melepaskan pegangannya. Malah semakin kuat memegangnya.
“Kau nak aku jadi perempuan tak malu. Terhegeh-hegeh walaupun tahu kau tu kekasih ibu aku. Kau jangan jadi setanlah Adid. Ibu dan anak kau nak bolot semua!” Riyana rasa mahu meludah ke muka Adid. Jantan tak sedar diri macam Adid memang tak patut dia kenali. Sungguh dia amat menyesal selama 2 tahun mereka bersama. Riyana rasa dia telah membuang masa selama bersama dengan Adid.
“I masih rindukan you.” Adid meluahkan rasa hati.
Riyana menolak Adid sekuat hatinya. Apabila tubuh Adid sudah menjauh daripadanya, dia segera berlalu ke dalam biliknya. Pintu bilik dihempas dengan kuat. Sakit hatinya dengan sikap Adid. Langsung tidak fikirkan hatinya yang sudah remuk redam kerana ditinggalkan dan sekarang Adid mengatakan rindu kepadanya pula. Baru tadi meminta maaf kerana cinta beralih, tiba-tiba dihujungnya dia cakap rindu pula.
Kalau sudah memilih untuk bersama Norina, buatlah cara dia pilih ibunya itu. Jangan nak buat hal pula. Riyana hempaskan badan ke tilam. Tak pernah dia meminta hidupnya sebegini rupa. Ada ibu tetapi ibu tak sukakannya. Ada kekasih , tetapi kekasih berpaling kepada ibunya pula. Cukup berselirat. Tak pernah dia terjumpa kisah begini. Riyana bingkas dari katil dan dia beralih ke tingkap biliknya. Dia terdengar gelak ketawa yang pastinya daripada Norina dan Adid. Dia melihat pasangan yang sedang dilamun cinta itu. Kedua-duanya sedang berpelukan.
Bagaikan orang muda pula. Padahal mereka berdua sudah separuh abad. Memang sesuai jika dilihat sekarang. Ya, Riyana memang beruntung kerana dia rasa kalau dirinya yang berada dalam pelukan Adid sekarang lain macam pula. Bagaikan anak dan bapa pula. Riyana ikhlaskan hatinya. Biarlah mereka berdua bersama. Lagipun biarlah ibunya itu berbahagia.
Riyana keluar dari bilik dan berjalan ke dapur. Itupun setelah dia melihat Adid pergi. Jika Adid masih di sini, lain pula halnya jika Adid ternampaknya.
“Aku tahu kau perhati Adid kan?” tanya Norina dengan tuduhan. Riyana menggeleng. Buat apa dia mahu memerhati lelaki itu. Dia tidak inginlah. Dia tidak akan terhegeh-hegeh lagi kalau dia bukan pilihan.
“Aku tahulah pandangan kau tu, kalau Adid ada di sini.” Norina menjegil.
“Riya tak pandang dialah, ibu.” Riyana membela dirinya. Sungguh dia tidak ingin memandang pun muka Adid. Adid yang sanggup berpaling arah. Bertemu dengan ibunya itu membuatkan Adid lupakan siapakah kekasih yang sebenarnya.
“Masa bila Riya pandang dia ibu?” tanya Riyana berani. Dia mesti membela dirinya kali ini.
“Hmm, kau memang selalu pandang dia kan? Aku tahulah Adid tu pernah jadi kekasih kau? Tapi, sekarang dia kekasih aku.” Norina tidak beritahu secara terperinci bila dia memandang Adid.
“Ibu ni, masa bila pula Riya pandang dia. Riya selalu balik rumah waktu ni. Lain kali jangan bagi jemput dia datang waktu Riya balik kerja.” Riyana naik muak dengan kata-kata ibunya.
“Tak payah cakap banyak, Riya. Kau kena lupakan Adid sebab Adid sudah tak mahukan kau…” Norina memberi amaran.
Riyana mengeluh kasar. Sejak kecil dia sedar dia memang dilayan bagaikan dia anak pungut. Ibunya itu wanita yang berjaya, yang mempunyai perniagaan kafe di bandar. Walaupun ibunya wanita yang berjaya tetapi, Riyana tidak dilimpahi dengan kemewahan. Dia terpaksa mencari duit sendiri walaupun dia masih bersekolah. Begitulah realitinya dia hidup sebagai anak Norina.
“Ibu jangan nak salahkan Riya saja…” kata Riyana.
“Kau menjawab ya!” Norina naik angin. Dia meluru ke arah Riyana.
Pukulan bertalu-talu di badannya membuatkan Riyana rasa tidak bermaya. Dia menutup mukanya daripada dipukul. Kalau dipukul di muka tentu kesannya itu akan membuatkan orang akan bertanya. Tambahan kalau terjumpa dengan Mirni. Mirni akan berterusan bertanya kepadanya. Selagi dapat menyembunyikannya, Riyana akan sembunyikan. Riyana tidak mahu sesiapapun tahu kisah hidupnya yang terlalu sadis.
Sadiskah? Riyana bersoal jawab dengan dirinya sendiri. Mana mungkin seorang anak gadis yang berusia 26 tahun masih dipukul oleh ibu sendiri. Tak pernah dia dengar atau membacanya di mana-mana lagi. Hanya dia saja yang pernah melaluinya.
“Kau masuk bilik! Kalau Adid ada, kau jangan keluar.” Norina memberi arahan kepada Riyana. Riyana terus berjalan masuk ke dalam biliknya. Niat untuk minum air terus termati. Riyana duduk di birai katil. Memejamkan matanya. Rasa sengal di badan mula terasa.
Riyana membuka bajunya. Dia bangun dan berdiri di depan cermin panjang itu. Melihat badannya. Ada beberapa kesan lebam. Riyana mengeluh. Sejak kecil lagi dia sudah melihat kesan lebam di badannya. Tapi, sejak bersama Adid kerap pula ibunya itu naik angin.
Benci? Jika ditanya berjuta kali pun dia akan cakap dia benci. Benci dengan sikap ibu sendiri yang melayannya bagaikan dia anak pungut. Bagaikan dia tiada perasaan. Entah apa yang membuatkan seorang ibu jadi begitu. Kalau boleh Riyana ingin lari sehinggakan tidak akan bertemu lagi dengan Norina.
Norina bukannya sekadar memukul malah tanpa segan silu merampas kekasihnya. Sekarang melayannya bagaikan dia yang tergila-gilakan Adid. Mujurlah Adid berpaling kasih daripada ketika mereka belum berkahwin. Jika sudah berkahwin, Riyana yakin dia akan lebih terluka.
Jantan  tak guna macam Adid memang tak berhak mendapat kasih sayangnya. Di mata Adid hanya terbayangkan kecantikan saja. Riyana akui Puan Norina memang cantik dan seksi. Bagaikan anak dara.

NORINA menjeling Riyana yang sedang minum air. Riyana sedar dengan pandangan tajam ibunya itu. Tapi, dia tidak bertanya. Dia hanya menanti Norina memulakan bicara. Riyana tidak mahu memulakan bicara kerana nanti dia yang akan dimarahinya. Riyana tidak mahu mendengar suara kasar ibunya itu.  Walaupun sudah lama suara itu berkasar dengannya, tapi Riyana tidak mahu mendengarnya lagi. Dia sudah bosan. Apabila ibunya langsung tak pernah berbicara elok-elok dengannya.
“Aku nak kahwin dengan Adid…” Norina memberitahu Riyana. Riyana terbatuk perlahan. Tidak sangka pula percintaan Norina kali ini akan membawa ke jinjang pelamin. Norina sebenarnya tidak pernah bersungguh dengan lelaki. Boleh dikatakan inilah kali pertama dia mendengar ibunya itu berbicara pasal kahwin. Mujurlah dia berkahwin dengan orang sama usia dengannya. Kalau lelaki muda lagilah Riyana malu nak mengaku bapa tiri. Walaupun kali ini dengan bekas kekasihnya, tapi Riyana rasa memang sesuai.
“Baguslah…” Riyana hanya senyum sedikit. Lebih baik kahwin daripada menambah dosa. Bukannya dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh Adid dan Norina. Dia bukannya budak kecil yang tidak tahu apa-apa.
“Aku nak kau keluar dari rumah ni selepas aku kahwin dengan Adid,” kata Norina.
Terus tersembur air yang ada di dalam mulut Riyana. Riyana cepat-cepat mencapai tisu. Dia mengelapnya perlahan.
“Ibu nak Riya keluar dari sini? Ibu nak Riya tinggal di mana?” tanya Riyana.
Pelik betul seorang ibu berperangai sebegini. Dia nak berkahwin , tapi dihalaunya anak sendiri.
“Mana aku tahu. Kalau kau tinggal di sini , Adid masih boleh berjumpa dengan kau. Nanti tak pasal-pasal hubungan kami bermasalah pula,” ujarnya lagi. Norina tidak ksah di mana Riyana akan tinggal.
“Kat mana Riya nak tinggal ibu. Ibu nak kahwin, kahwinlah. Kenapa sampai nak halau Riya?” tanya Riyana.
“Aku tak suka! Kau tu bekas kekasih Adid. Sekarang Adid dah nak kahwin dengan aku.” Norina menjegil.
“Nama pun bekas kekasih. Adid pun bukannya nakkan Riya lagi. Riya tak mahu keluar dari rumah ni.” Riyana berkeras. Riyana tidak tahu di mana dia akan tinggal selepas ini. Walaupun layanan ibunya tidak baik kepadanya, Riyana tidak terfikir mahu keluar dari rumah ini. Sejahat mana pun Norina, Norina adalah ibunya. 
“Ini rumah aku kan! Bukannya rumah kau. Aku nak kau keluar hujung minggu ni.” Norina berkeras. Dia menjegil Riyana.
Riyana ternganga dengan arahan Norina.
“Ini rumah arwah ayah kan?” balas Riyana.
“Memang betul, tapi aku masih ada. Jadinya aku yang berhak menentukan siapa yang patut tinggal dan siapa yang patut keluar,” kata Norina.
“Ibu…” Riyana memanggil nama Norina perlahan. Riyana tahu keputusan Norina tidak dapat diubah lagi. Norina terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Meninggalkan Riyana termangu-mangu di ruang tamu.
Riyana mengeluh kasar. Riyana tahu betapa kerasnya hati Norina. Dia tidak akan berkompromi. Riyana langsung tidak berbahagia dengan ibunya. Keluarga pincang dan dikurniakan dengan ibu yang langsung tidak menganggapnya sebagai anak. Hanya anggap dia sebagai manusia saja. Jika selayaknya dia akan dilayan sebagai puteri. Tapi, dia dilayan bagaikan dia bukanlah darah daging ibunya.

WANITA KEDUA HARMAINWhere stories live. Discover now