"Pindah ke mana Abah?" soal Fariha yang keliru apabila tadi dirinya tiba-tiba dipanggil ke pejabat sekolah untuk dibawa pulang oleh ibu bapanya. Segala barang sudah dimasukkan di dalam bonet kereta, hanya dirinya sahaja yang perlu ada bersama mereka.
"Kita kena pindah ke kampung. Atuk kamu sudah singkat masanya, dan kita sudah dipanggil untuk menghadap," balas Encik Haiz lalu mula menekan pedal minyak kereta. Beliau melihat ke kiri dan kanan sebelum memasuki jalan besar.
Fariha mengerutkan dahinya tanda berfikir. Pindah ke kampung? Sepanjang hidupnya, tidak pernah ibu bapanya menyebut tentang kampung. Apa yang dia tahu, mereka tinggal di sini dan hanya menziarahi saudara-mara terdekat ketika beraya. Jika ditanya tentang kampung, pasti ibu bapanya enggan menjawab dengan alasan demi keselamatan.
"Kampung ...?" gumam Fariha sendirian. Wajah ibu bapanya yang serius itu hanya dipandang dari tempat penumpang belakang. Biarlah tindakan yang menunjukkan kebenaran, dia akan menurut sahaja ibu bapanya walau ke manapun dia akan pergi.
Perjalanan hari itu mengambil masa yang agak lama buat Fariha. Sejak meninggalkan sekolah sebentar tadi, dia hanya menghadap buku yang sempat diambilnya sahaja. 'Peperiksaan sudah mahu dekat, aku perlu score lagi,' bisik hatinya. Sambil itu, dia sempat memerhati keadaan sekeliling yang semakin lama semakin suram.
Hairan, pohon-pohon berakar besar dan berbatang gelap sepanjang jalan yang dilalui nampak layu. Daun-daun yang gugur berwarna hijau tua. Langit yang tadinya cerah kini seperti semakin gelap. "Umi, kenapa langit macam itu? Fariha tahu ini bukan sebab mahu hujan," tutur Fariha apabila rasa tidak sedap hatinya tidak dapat dibendung lagi.
Puan Qibti menoleh ke tempat penumpang belakang, melihat wajah anaknya dengan riak yang sukar ditafsir. Selepas merenung anaknya itu beberapa saat, dia mengukirkan senyuman kelat. "Tidak ada apa-apalah Fariha, jangan risau. Banyak awan barangkali."
Fariha mengangguk meskipun masih terasa tidak sedap hati. Tidak mengapa, biarlah takdir menentukan apa yang bakal dilihatnya sebentar lagi.
Sepi menghiasi suasana di dalam kereta. Tiada seorang pun yang bersuara dan Fariha sendiri tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Ke mana mereka pergi, di mana mereka sekarang ini pun dia tidak tahu. Namun, dia pasti jika ada apa-apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang dapat membantu mereka ketika ini.
Tatkala Fariha sedang melayan perasaan, dia sedar bahawa kereta keluarganya kini sedang memasuki pekarangan sebuah kawasan penempatan.Sebuah pintu gerbang batu tua yang buruk rupanya dapat dilihat sedang berdiri teguh di hadapan mereka. Namun begitu, hanya kegelapan sahaja yang memenuhi kawasan di sebalik pintu gerbang tersebut.
"Umi, abah, kita mahu pergi mana ini?" Fariha mula bersuara tatkala resah mula menguasai diri.Sudahlah tidak nampak apa-apa di hadapan sana, kini ibu dan bapanya ingin melalui pintu gerbang tersebut pula?
"Kita pulang, Fariha. Emelda akan kembali, Xyphea sudah mula mencari." Encik Haiz menjawab sebelum menekan pedal minyak dan perlahan-lahan memandu melepasi pintu gerbang tersebut.
Kegelapan kini menelan kereta mereka daripada penglihatan manusia di luar sana.
Fariha menutup mata, tidak sanggup untukmelihat apa yang bakal berlaku. Beberapa saat berlalusebelum dia dapat melihat cahaya yang samar-samardi sebalik kelopak mata, membuatkan dia kembalimembuka mata.
Maka terserlahlah sebuah perkampungan yang hijau rumputnya tetapi malap langit dan mataharinya. Keadaan seperti mendung, tetapi tidak mengundang hujan. Fariha yakin pasti ada misteri di sebaliknya.
"Emelda?" soal Fariha, tidak mengerti. Nama yang disebut ibunya itu tidak pernah didengar, malah tidak pernah disebut selama ini. Apakah itu Emelda?
YOU ARE READING
Miss Prodigy : Pahlawan Emelda (Terbit ✅️)
Fantasy"Pewaris Zailyrosam akan muncul bersama penjaganya. Fariha, awak harus sentiasa bersedia." Seorang gadis yang lemah-lembut dan bersopan-santun. Itulah Fariha, gadis bijak yang disenangi ramai dan digemari para guru di sekolah. Sehinggalah satu hari...