Bab 2 : Keluarga Baharu?

49 4 0
                                    

Keadaan di rumah utama Pahlawan Emelda itu agak huru-hara. Kelihatan beberapa keluarga pahlawan keluar dengan wajah ketat.

Allana dan ahli kumpulannya pelik melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mereka itu. Hairan,mengapa begitu sekali kelakuan mereka? Seperti laju sahaja meninggalkan rumah itu. Ada pergaduhankah yang berlaku di dalam?

Mengelak daripada dirempuh, Allana menyelit antara manusia-manusia yang berwajah ketat itu. Dia segera memberi salam setelah berjaya mendaki tangga dan melangkah masuk ke dalam.

Kelihatan Fariha sekeluarga sedang duduk di samping Tok Mali. Wajah mereka nampak sedih manakala Fariha pula berwajah naif seperti tidak tahu apa-apa.

Tok Mali menjawab salam dengan senyuman. "Duduk, duduk. Ada sebab tok panggil kalian semua ini," tuturnya. Matanya merenung lima orang gadis itu dengan penuh harapan.

Mereka berlima duduk sederet di atas lantai, menghadap keluarga tersebut dengan penuh sopan. Ramieza dan Syirah sedikit tertunduk-tunduk, manakala Nani dan Adriana seperti kagum melihat isi rumah tersebut. Allana sahaja yang tegak bersimpuh di hadapan ketua kampung mereka itu.

"Ya Tok Mali, kumpulan pahlawan kami sedia berkhidmat. Ada apa ya?" tanya Allana sambil memandang wajah Fariha dengan penuh rasa ingin tahu. Mereka tidak akan hadir ke sini tanpa sebab yang melibatkan hal-hal kepahlawanan. Gadis kecil itu tidak dikenalinya tetapi dia terasa seperti sesuatu yang besarakan berlaku. Jangan-jangan ...?

"Berkenaan pahlawan khas buat pemegangpena Zailyrosam, tok rasa Fariha sahaja yang sesuai memegang posisi itu sebab dia seorang sahaja cucu perempuan tok. Jadi tok harap, kamu berlima dapat membentuk dia untuk menjadi seorang pahlawan yang mahir," pinta Tok Mali begitu sahaja.

Allana dan sahabat-sahabatnya memandang satu sama lain.

"Kenapa kami?" soal Ramieza.

Keluhan kecil Encik Haiz terluah sebelum dia menjawab, "Sebab kalian sahaja kumpulan pahlawan remaja perempuan aktif yang boleh dipercayai. Adik-beradik saya tidak mahu meluangkan masa mereka untuk mengajar Fariha, manakala saya dan isteri pula perlu menyelesaikan banyak perkara di luar sana."

"Kamu, Allana. Tok mengharapkan kamu dapat menjadi mentor yang baik buat Fariha. Kamu yang lain pun sama, jangan lepas tangan dan bersama-samalah melaksanakan arahan ini. Boleh?" Tok Mali mengakhiri kata-katanya dalam nada serius. Dia memandang gadis-gadis itu seorang demi seorang.

Dengan wajah yang yakin, Allana mengangguk laju. "Boleh, Tok Mali. InsyaAllah, kami akan bantu Fariha dengan bersungguh-sungguh."

⚔️⚔️⚔️

"Fariha, saya Allana atau Lana, ketua kumpulan ekspedisi kami. Selamat berkenalan," tutur Allana sebaik sahaja dia berjaya membawa Fariha ke gelanggang pahlawan. Tok Mali telah membenarkan mereka untuk membawa Fariha bersiar-siar dan mengenali kampung ini sementara Encik Haiz bersama Puan Qibti menyelesaikan urusan mereka.

"Sa- Saya Fariha," tutur Fariha, sedikit segan. Kemudian, dia diperkenalkan kepada ahli yang lain iaitu Syirah, Ramieza, Nani dan Adriana. Masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza, membuatkan Fariha sedikit teruja untuk berkawan dengan mereka.

Adriana laju sahaja berada di sisi Fariha lalu memeluk bahu gadis itu. "Hei, jangan risau sangatlah. Awak mesti boleh punya. Apa-apa soalan yang awak mahu tanya tentang Emelda, tanya sahaja pada Lana. Dia itu pakar selok-belok kampung ni," terangnya dengan senyuman apabila dia melihat Fariha seperti resah sahaja.

"By the way, Fariha, awak mahir dengan senjata apa? Pedang? Memanah? Keris? Atau bertempur tanpa senjata?" Syirah sibuk bertanya dengan sengihan yang tersungging. Mereka yang lain sudah menoleh ke arah Fariha dengan wajah teruja.

Miss Prodigy : Pahlawan Emelda (Terbit ✅️)Where stories live. Discover now