Bab 1

51 5 0
                                    

01

KEPALA DITUNDUK bersama lafaz kesyukuran yang beralun berkali-kali di bibir lesu seorang jejaka ketika hakim mahkamah membebaskan dia daripada tuduhan membunuh seorang wanita sepuluh tahun lalu. Setelah pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadapnya. Sepuluh tahun terkurung di gerigi besi. Hari ini, kemenangan berpihak padanya. Senyum dalam kegembiraan hinggap di setiap bibir tua yang ada di bilik bicara mahkamah. Si ibu dan si ayah saling berpandangan dengan riak hiba namun turut terselit seraut riak wajah yang gembira.

"Syukur bang... Am dah bebas. Anak kita dah terlepas dari hukuman penjara seumur hidup." Tangan tua berkedut seribu meraup ke wajah tuanya sendiri. Si ayah hanya mengganguk melafazkan kalimah kesyukuran tiada henti.

"Alhamdulillah... Alhamdulillah." Kalimah pujian itu setia beralun dari bibir tua si ibu. Air mata kegembiraan. Kesyukuran mengalir deras di pipi keduanya.

Pandangan kasih yang menggunung, si ibu pakukan pada anak yang ditatang sepenuh kasih dan cinta, di dalam kandang berpagar kayu itu. Anak yang sedang bersujud syukur di lantai ditatapi dengan seluruh perasaan hiba. Rasa sempit di dada selama sepuluh tahun ini hilang seperti dibawa angin.

"Allah tu Maha Baik, Som... Nanti kita buat majlis kesyukuran ya? Sambut kepulangan Am."

Senyuman mekar di bibir tiba-tiba menguncup. Si isteri mengalih pandangan ke wajah si suami dengan wajah keruh.

"Orang kampung tak kan sudi datang majlis tu nanti. Siapa boleh terima bekas banduan..." Kepala si isteri terpunduk ke bawah. Si suami pula sudah kehilangan kata-kata. Lupa seketika bahawa anaknya kini telah bergelar banduan. Tiada lagi panggilan hormat kepada anaknya. Pangkat yang disandang dua belas tahun lalu kini hancur lebur kerana satu tragedi.

Air mata kegembiraan tadi perlahan-lahan bertukar rasa sayu. Bahu si isteri dipaut berserta usapan lembut diberi. Memujuk sekeping hati yang dipalu rawan.

"Sekalipun Am terbuang di mata masyarakat. Dia tetap pengarang jantung kita. Dia tetap anak kita. Raja di hati kita." Pujuk sang suami. Sedar akan kegugahan hati seorang ibu. Si isteri hanya mengangguk membalas kata pujukan itu. Sesak di dalam dada kembali terasa seperti sepuluh tahun lepas. Sesak dan sempit meratai ruang sanubari.

*

UDARA segar yang sekian lama tidak dihirup. Disedut sedalam-dalamnya. Seperti mendapat semula nyawa dan semangatnya. Amru menatapi langit biru cerah yang diselaputi awan putih nan bersih. Tangan kiri yang menjinjit beg kecil dipegang erat. Mengumpul semula kekuatan untuk mengorak langkah. Bebas bukan bererti dia diterima. Cemuhan orang kampung pasti menjadi makanan saban hari. Langkah mula diatur ke jalan besar. Tidak menunggu lama sebuah teksi berhenti. Urusannya dipermudahkan.

"Kemana encik?"

"Hantar ke hentian Puduraya."

Pemandu teksi separuh abad mengangguk akur.

Dari hentian Puduraya. Amru mengambil bas ke Kelantan. Kampung halamannya. Tanah tumpah darahnya yang ditinggalkan sepuluh tahun lalu. Rasa rindu mencengkam dada.

Lapan jam perjalanan. Dia selamat tiba di stesen bas Kota Bharu dengan menaiki pengangkutan awam. Bas Sani Express. Hiruk pikuk kenderaan yang bertali arus dipandang bersama senyuman kecil. Sepuluh tahun tidak mendengar hiruk pikuk kesibukan bandar Kota Bharu. Terasa canggung. Nafas tenang suasana kampung ditarik masuk ke rongga pernafasan sambil mata terpejam.

"Nak kemana bang? Pak Salim boleh hantarkan." Ramah lelaki lingkungan awal 60-an itu menyapa. Lantas Amru mencelik mata lalu menoleh ke pemilik suara.

"Pasir Puteh. Saya baru sampai dari KL dah sepuluh tahun tak balik sini."

Masihkah Ada Kemaafan Where stories live. Discover now