02
TABIR malam semakin gelap. Tadi seusai makan malam. Amru terus ke bilik, sejak bertentang mata dengan Khasyaf Azeem. Mereka tidak bertegur sapa. Aku pandang kau. Kau pandang aku. Itulah reaksi di antara Amru dengan abang sulungnya.
"Mak... Syaf gerak dulu. Semua pakaian Syakir, Syaf dah simpan dalam almari. Susu pun Syaf dah bancuh. Nanti karang dia bangun mak bagi je susu tu kat Syakir." Sayup-sayup suara Khasyaf Azeem menyentuh telinga. Amru bangun dari duduk di tilam. Pintu dibuka sedikit. Belakang badan Khasyaf Azeem yang lengkap dengan seragam biru gelap ditatap. Pakaian itu mengingatkan semula pada kenangan lalu. Seragam biru itu pernah tersarung di tubuhnya. Kerjayanya suatu ketika dahulu pernah menjadi kebanggaan Haji Hazali dan Hajjah Kalsom. Hembusan nafas nipis dilepaskan.
"Ye mak tahu... Hati-hati memandu. Esok pukul berapa Sara habis kerja? Pagi esok mak nak ke rumah Maklong Zainab. Anak bongsunya si Liyana nak bertunang. Mak tinggalkan Syakir dekat Am ya?"
Khasyaf Azeem yang baru sahaja mahu ke pintu utama memberhentikan serta merta langkahnya. Dia menoleh ke arah Hajjah Kalsom dengan riak masam. "Syaf tak suka Syakir rapat dengan Amru. Syaf taknak dia tunjuk teladan tak elok pada anak Syaf. Bekas banduan tiada yang baik! Esok kalau Sara terlewat jemput Syakir. Mak bawak je Syakir pergi dengan mak. Jangan tinggal Syakir dekat dia. Syaf tak suka." Mendatar saja suara Khasyaf Azeem. Dicapai tangan ibunya dan mencium tangan tua itu sebelum bergerak turun ke kereta.
Amru tunduk melepaskan keluhan kecewa. Nampaknya Khasyaf Azeem masih tidak dapat menerima kepulangannya.
"Am... Kenapa tercegat kat pintu tu? Jangan ambik hati ya. Khasyaf tak sengaja." Hajjah Kalsom tolak pintu bilik tidur itu dengan perlahan. Dia tahu Amru dengar setiap bicara kasar Khasyaf Azeem sebentar tadi. Anak sulungnya itu terkenal dengan sikap tegas. Maklum sajalah anggota polis. Beza umur Khasyaf Azeem juga hanya setahun dengan Khalid Amru. Mereka seperti kembar. Sangat rapat sewaktu kecil. Namun segala-galanya berubah selepas tragedi hitam itu. "Am buat-buat tak dengar ya. Nanti Khasyaf boleh terima Am. Bagi dia masa." Hajjah Kalsom lepas keluhan kecil. Tidak tahu bagaimana lagi hendak merapatkan jurang di antara Khasyaf Azeem dengan Amru.
Amru senyum dalam payah. Sedar dirinya tidak diperlukan di sini. Ya, bekas banduan sepertinya tiada siapa yang sudi pandang. Malah hinaan yang dilemparkan.
"Am tak ambik hati mak. Betul cakap Along bekas banduan tiada yang baik. Walaupun dia sudah insaf tetap akan dipandang serong."
"Am... Mak kenal anak mak. Am kena kuat demi mak demi ayah. Biarlah orang nak kata apa saja. Kita tahu siapa diri kita. Kita hidup bukan untuk dipuja ataupun dipuji manusia. Mak tahu Am dah berubah, dah insaf. Jangan pedulikan kata-kata orang ya nak... Kita hidup hanya satu tujuan iaitu mendapat redha Allah." Hajjah Kalsom mengusap bahu Amru dengan wajah sedikit mendung. Dari riak wajah redup Amru dia tahu anaknya ini terasa hati dengan kata-kata Khasyaf Azeem.
"Kita pun tak boleh paksa orang sukakan kita. Am sedar diri mak... Am bekas banduan. Pernah dituduh kerana membunuh. Am terima jika ini balasannya. Kalau dengan ini dapat menghapuskan segala dosa Am... Am redha mak." Setiap ucapan Amru mengundang sebak di hati Hajjah Kalsom. Tergugah juga hati keibuan.
"Biarkan mereka Am... Mak tetap sayang anak mak. Setiap orang pasti pernah melakukan sesuatu kesalahan. Kita bukan nabi yang maksum... Walau bagaimana pun itu tidak bermakna orang itu tidak mempunyai hak untuk diberi peluang kedua. Semua orang yang melakukan kesalahan berhak diberi peluang untuk dia berubah." Bahu Amru diusap lembut. Memberi sedikit rasa nyaman pada anaknya. Pasti jiwa Amru dilanda ribut kekesalan dan dosa masa lalu.
"Mak tahu susah Am nak lupakan tapi mak harap Am boleh lupakan semua peristiwa itu. Kenangan yang meragut bahagia jiwa kita. Tak usah dikenang lagi. Tutup buku lama. Buka buku baru dan teruskan melangkah ke depan. Mak tahu Am boleh lupakan semua tu."

YOU ARE READING
Masihkah Ada Kemaafan
RomanceSinopsis Penjara... Mendengar saja sudah dapat membayangkan peritnya menjadi penghuni gerigi besi itu. Khalid Amru masa silamnya... dia pernah tersilap langkah. Hidup dikelilingi kehormatan kerana pangkat yang disandang. Bertemu dengan wanita seangg...