Mata Hezra mengecil melihat pelajar perempuan yang berkumpul di tempat menunggu di hadapan sekolah. Dia cuba mengecam satu persatu wajah sehinggalah dia perasan kelibat Najiha berada dalam kumpulan itu.
Hati Hezra semakin panas bila mana dia melihat bahu Najiha dirempuh oleh seorang pelajar perempuan yang tidak bertudung. Tak bertangguh, dia terus keluar dari kereta dan berura- ura mendekati mereka.
"Najiha!" Nama Najiha dipanggil kuat. Serentak kehadirannya menghentikan perbuatan pelajar itu dari mengasari Najiha lebih teruk. Hezra terus capai lengan Najiha yang berlapik lalu menarik gadis itu berselindung di belakangnya. Dia cuba melindungi Najiha dari diapa- apakan oleh tiga pelajar perempuan yang sedang berhadapan dengannya.
Tiga pelajar perempuan itu melihat Hezra atas bawah. Hezra tersenyum sinis melihat perubahan tiga gadis tersebut. Kesemuanya terus berubah ayu. Semuanya acah- acah hipokrit bila berdepan dengan dia.
"Abang ni... abang Najiha ke?" Gadis pertama menyoal. Gadis yang sama merempuh bahu Najiha sewaktu dia melihat dari dalam kereta.
Hezra angguk. Membuatkan wajah Najiha jelas berubah dengan pengakuan palsu Hezra. Lagi pula, dia masih terkejut dengan kedatangan Hezra ke sini. Tiba- tiba saja lelaki itu muncul buat pertama kali. Siap pakej jadi hero penyelamat dia.
"Kenapa kita orang tak tahu yang Jiha ada abang sekacak ni." Gadis kedua pula menyampuk.
Hujung bibir Hezra naik menyungging. Dia faham sangat! Faham dengan aksi tiga gadis itu yang cuba nak mencuri perhatian dia dan menutup kisah mereka yang cuba membuli Najiha. Bukan dia tak pernah melihat gadis seperti mereka menggeletis bila melihatnya.
Hezra memaniskan wajah. Dia berjalan merapati sedikit gadis yang berada di tengah. Terkulat- kulat gadis itu bila Hezra cuba mendekati dirinya.
"Abang nak minta tolong korang boleh?" Ada senyuman penuh makna menghiasi bibir Hezra.
Laju gadis itu mengangguk kepala. Bersedia saja dengan setiap permintaan Hezra. Bukan selalu dapat bertemu lelaki sekacak Hezra.
Tundukkan sedikit wajah, Hezra berbisik perlahan. Hanya mereka saja bisa mendengar setiap patah katanya.
"Jangan cuba naikkan tangan korang pada Jiha lagi. Kalau aku dapat tangkap, siap kau orang! Dan tak mustahil satu sekolah dan keluarga kau tahu perangai korang ni. Faham?" Berubah lenggok suara Hezra. Yang mulanya lembut bertukar tegas sekelip mata. Berubah wajah mereka. Hezra puas dapat menakutkan mereka.
"Err faham." Mereka serentak mengundur ke belakang.
"Dah blah." Hanya arahan pendek itu, laju mereka meninggalkan kawasan menunggu. Hezra tegakkan tubuh. Kepala menggeleng perlahan. Muda- muda dah jadi pembuli. Gamaknya orang tua mereka tahu perbuatan mereka di sekolah tak ke niaya.
Melihat perginya mereka, Hezra pusing tubuh. Mata melirik dari atas sehingga bawah. Najiha yang melihat pandangan Hezra pada seluruh tubuhnya laju memeluk tubuh seolah- olah melindungi tubuhnya dari pandangan mata Hezra.
YOU ARE READING
PILIHAN HATIKU
RomancePILIHAN HATIKU ©️ 2024 Status: On-going Muhammad Hezra | Najiha Asyikin Kerana patah hati, Najiha buat keputusan untuk bernikah dengan lelaki lain. Hanya kerana dia mahu membuang satu nama yang pernah singgah di hati. Pada awalnya, perkahwinan merek...