CHAPTER 44

10.4K 432 18
                                    

Fizi meletak keretanya betul-betul di hadapan pintu masuk mansion Ray. Selepas enjin kereta dimatikan, tanpa berlengah Fizi masuk ke dalam mansion. Dia tidak mempunyai masalah untuk keluar masuk ke situ kerana mendapat mandat besar daripada Ray.

Pengawal yang sentiasa berkawal di pondok pengawal tidak banyak soal apabila nampak kereta Fizi memasuki perkarangan mansion. Apa yang mereka tahu, mereka tidak perlu menyoal Fizi jika Fizi datang ke situ.

Masuk ke dalam mansion, Fizi nampak Karl, Mike dan Eden sedang berbincang sesuatu. Wajah masing-masing sentiasa tegang sejak kehilangan Dahlia. Sehingga hari ini mereka tidak dapat mencari Dahlia. Mereka sendiri buntu untuk mencari di manakah hilangnya Dahlia kerana mereka tidak tahu siapakah dalangnya yang sebenar setelah Zachary menafikan penglibatannya dalam kes ini.

"Kau orang buat apa di sini? Tak cari Dahlia ke?" pertanyaan Fizi membuatkan ketiga-tiga lelaki itu memandang tajam ke arah Fizi.

"Ewah... ewah... macam kau pula ketua kami. Kami tahulah kerja kami... yang kau pula, tak cari Dahlia? Kata polis, tak kan kau tak ada klu langsung di mana Dahlia? Kawan baik kau kut." Eden menjawab soalan Fizi... dia tahu Karl tak akan jawab soalan orang luar selain daripada Ray.

Mike menyengih, dia pun tahu Karl tidak akan menjawab kata-kata Fizi dengan mulut, silap hari bulan dia jawab guna tangan. Nasib baik Eden yang layan Fizi, dia sendiri malas nak layan.

"Ray mana? Aku ada perkara penting nak bagi tau dia ni?"

Karl, Mike dan Eden saling berpandangan. Apa yang Fizi nak beritahu Ray, nampak macam penting sangat.

"Sebenarnya kami pun cari Ray. Tadi kami sedang berbincang pasal hal ni. Tak tahu ke mana Ray menghilang. Tiba-tiba lesap."

"Tak kan dia tak beritahu orang kanan dia kut? Kau orang jangan buat lawak." Fizi ketawa kecil.

Karl sudah genggam penumbuk. Dah la mereka risau akan keselamatan Dahlia, sekarang Ray pula hilang.

"Kau rasa kami ada masa nak buat lawak? Kami cukup risau pasal Dahlia, sekarang Ray pula hilang. Dua-dua main aci menyorok, teruklah kami." Mike sudah naik angin.

Mereka semua berada dalam keadaan yang tidak tenteram sejak kehilangan Dahlia. Ray juga tidak tidur malam, sentiasa keluar mencari buah hatinya.

"Okey, begini... kalau Ray tak ada, kau boleh handle benda ni." Fizi berpaling kepada Karl.

"Kenapa aku?"

"Aku rasa kalau Ray tak ada, kau yang control anak buah kau kan. Suara kau akan didengar selain daripada Mike dan Eden kan. Jadi aku rasa, apa yang akan aku bagi tau... kau boleh buat."

Mike dan Eden mengangguk laju. Karl adalah orang paling kanan dalam Black Panthers. Ray sentiasa percayakan kreabiliti Karl. Mereka akan sentiasa berada di belakang Karl jika Ray tidak ada.

"Maklumat apa yang kau ada?"

"Aku dapat maklumat di mana Dahlia ditahan."

"Apa?!" Eden menjerit kuat. "Kenapa kau tak bagi tau awal-awal? Panjang sungguh mukadimah kau tadi. Kita bukannya nak buat karangan."

Fizi tersengih. Karl sudah menjegil mata besarnya kepada Fizi. Kenapalah Fizi boleh jadi pegawai polis jika begini caranya untuk menyampaikan maklumat sebegini penting.

"Tapi..." Fizi pandang Karl. "Aku nak tukar ganti sesuatu dengan maklumat aku ni."

"Kau ingat kita buat urusan perniagaan ke? Perkara ini melibatkan nyawa Dahlia." Karl picit dahi. Ingatkan Fizi bukan pegawai polis yang selalu dia dengar tapi nampaknya tidak ada bezanya Fizi dengan polis lain. "Kau nak apa? Duit? Berapa juta kau nak?"

ALEXANDER RAY: UNEXPECTED MAFIA HUSBANDWhere stories live. Discover now