Pengenalan

57 1 0
                                    

Pagi yang sejuk dan berkabus membuatkan aku benar-benar liat untuk bangun dari katil. Sambil menggeliat perlahan, aku mencari tuala dan melangkah keluar bilik, menuju ke bilik mandi yang terletak di hujung asrama kolej. Suasana masih sunyi, hanya bunyi deru kipas dan titisan air paip yang memecahkan keheningan pagi.

Sudah dua bulan aku bergelar pelajar kolej, jauh dari bandar Kuantan. Kehidupan di sini sangat berbeza berbanding di sekolah. Walaupun sama-sama tinggal di asrama, suasananya tak serupa. Di kolej, tiada lagi jadual harian yang ketat atau peraturan yang sentiasa dipantau guru. Semuanya terpulang kepada diri sendiri, bijak mengurus waktu dan tanggungjawab, kalau mahu berjaya. Sedang aku mengelamun, tiba-tiba satu suara mengejutkanku.

"Hoi, Zul! Kau termenung apa tu? Cepat la, kelas pukul 8.30 nanti," Farid menegur sambil menjenguk dari luar pintu.

"Okay, okay. Kau gerak dulu, aku dah nak siap ni. Tunggu aku dekat kafe, 10 minit lagi aku sampai," balasku sambil tersenyum.

"10 minit je tau, kalau lambat aku tinggal," ugutnya, yang kuanggap sekadar gurauan seorang teman.

Farid Zakuan, rakan sekelas dan juga teman sebilikku, sedang belajar dalam jurusan kejuruteraan elektrik. Seorang yang periang dan jujur, aku menganggapnya seperti seorang abang. Selesai bersiap, aku melangkah keluar dengan lafaz bismillah, bergerak pantas menuju ke kafe yang hanya lima minit jaraknya dari asrama lelaki. Dari jauh, aku sudah nampak Farid melambai sambil duduk di meja makan. Aku melihat jam tangan, masih awal, baru pukul 7.30 pagi—sempat untuk sarapan.

"Ni aku belikan kau roti canai dua keping, kopi O. Nanti kau bayar kat makcik Imah," kata Farid sambil menyuap nasi lemak.

"Iyelah, sahabatku yang baik budi pekerti. Kau dah bayar nasi lemak tu ke belum? Nak aku bayarkan sekali?" balasku bergurau.

"Ha, kau bayar untuk makan tengah hari aku sekali," selorohnya.

Selesai sarapan, kami menuju ke kelas teori elektrik yang diajar oleh En. Kamal, seorang pensyarah yang tegas tetapi sentiasa terbuka untuk perbincangan. Hari itu berlalu dengan penuh cabaran. Kelas amali selama empat jam di bawah bimbingan En. Zarul benar-benar menguji kesabaran, lebih-lebih lagi tugasan memasang wayar tiga fasa yang kompleks.

Sebaik habis kelas, jam menunjukkan 4.30 petang. Aku dan Farid melangkah pulang ke asrama dalam keadaan keletihan.

"Malam ni kita makan kat kafe je ke, atau keluar?" tanyaku.

"Zul, kau lupa ke malam ni ada kuliah maghrib?" Farid mengingatkan aku dengan nada tegas.

"Alamak, terlupa pula. Nasib baik kau ingatkan," kataku sambil menepuk dahi.

Nama Zulkarnain diberi oleh orang tuaku, lahir di Felda kecil di Maran, Pahang. Mereka selalu menasihati supaya jangan melupakan asal usul walaupun merantau menuntut ilmu. "Belajar rajin-rajin, jangan buat malu orang kampung," pesan abah. Ibu pula sentiasa mengingatkan, "Solat jangan tinggal, doa selalu."

Selepas kuliah maghrib dan solat Isyak, aku dan rakan-rakan lepak di kafe hingga jam 10 malam sebelum En. Salim, penjaga kafe, menutup premis. Sepanjang perjalanan pulang ke bilik, kami berbual tentang hal kelas sehinggalah topik-topik yang tak masuk akal. Perbualan malam kadang-kadang seperti debat politik; mengalahkan ahli parlimen.

"Zul, kau nak tidur dah? Awal lagi ni," Yus memanggil.

"Mengantuk la, Yus. Esok kan tak ada kelas," jawabku.

Sulaiman mencelah, "Kalau kau nak tidur, tidur la. Jangan marah kalau kami bising."

Aku merebahkan badan ke katil dan perlahan-lahan terlelap. Namun, tiba-tiba, aku terjaga dalam kegelapan yang pekat. Suasana berubah. Aku berdiri di sebuah padang luas, samar-samar diterangi cahaya bulan. Sebelum aku sempat memikirkan apa-apa, satu suara lantang bergema.

"Zulkarnainnnn!"

Aku berpaling dan terlihat seorang lelaki tegap berpakaian seperti pendekar. Tangan kanannya memegang lembing, bersedia untuk menyerang. Dalam sekelip mata, dia meluru ke arahku dengan lembing terhunus. Terkejut, aku pantas mengelak ke kanan. Namun, lelaki itu terus menukar serangan, memutarkan lembing dengan kedua belah tangan.

Aku cuba menenangkan diri, mengatur nafas sambil memasang kekuda. Jika ini pertarungan yang dia mahukan, aku harus hadap. Serangan demi serangan datang bertubi-tubi, dan aku hanya mampu mengelak serta menangkis semampu yang boleh. Semakin lama, nafasku mula tercungap-cungap dan langkahku semakin goyah.

Lelaki itu tiba-tiba melompat ke belakang sejauh lima meter. Dengan satu pergerakan pantas, dia merejam lembing ke arahku. Aku hanya mampu menahan nafas, melihat lembing itu terbang dengan kelajuan yang menakutkan.

"Ya Allah," bisikku. Saat lembing itu hampir mengenai, sesuatu yang aneh berlaku—luncurannya menjadi perlahan seolah-olah ada kuasa ghaib yang menahan. Melihat peluang itu, aku menundukkan badan dan menepis lembing ke tanah.

"Dumm!" Bunyi dentuman lembing yang tertusuk ke tanah mengejutkanku dari tidur. Aku terjaga dalam keadaan berpeluh-peluh, jantung berdegup laju. Aku pandang sekeliling bilik yang gelap, jam dinding menunjukkan pukul 3.15 pagi. Di luar, hujan turun dengan lebat, menambah kesejukan yang menyelimuti tubuh.

"Mimpi apa tadi? Kenapa terasa begitu nyata?" fikirku sambil beristighfar. Mungkin aku perlu ceritakan kepada Pak Long esok, dia pasti tahu maknanya.

Yang SatuWhere stories live. Discover now