Serius? 1

12 0 0
                                    

"Entahlah kak, saya rasa selesa je berkawan dengan dia. Dia tu orangnya menyenangkan. Bijak dan pandai bawa diri. Bekerja dengan dia pun, saya rasa semua orang suka. Rupa pun ada," aku hentikan kata-kata.

Kak Liza yang memandang muka aku tepat mata ke mata, masih tegak begitu.

"Tapi?" soalannya melantun.

Aku ketap bibir.

"Saya tak jangka secepat ini kak. Maksudnya, memang betul saya tak ada komitmen dengan orang lain. Tak ada halangan daripada mana-mana aspek. Nak cakap tak bersedia pun, macam menipu pulak. Saya pun dah ada pengalaman. Tapi, saya memang tak jangka tempohnya secepat ini,"

Kak Liza angguk kepala.

"Jadi, akak simpulkan Yaya belum bersedia sebab Faris suarakan hasrat tiba-tiba? Macam tu?"

Aku kembali ketap bibir. Cuba menyusun ayat di kepala.

"Akak bukan memaksa. Faris minta tolong akak risikkan Yaya. Dia minta akak tengok masanya dah sesuai ke belum. Akak pulak bukan kenal Yaya baru dua tiga hari. Akak kenal Yaya dah 12 tahun. Dari mula Yaya masuk kerja sampailah harini, akak dah kenal hati budi Yaya. Terus terang akak cakap, akak suka karakter Yaya. Bijak, ada rupa, pandai berdikari, lemah lembut, berbudi bahasa. Bila Faris minta tolong akak, akak terus setuju. Faris pun akak kenal, Yaya pun akak kenal," panjang lebar Kak Liza bersuara sambil tersenyum. 

Kak Liza ni memanglah orangnya pemurah dengan senyuman dan berhati bersih. Betul, memang aku kenal Kak Liza dah dua belas tahun. Faris pun aku kenal juga, dua belas tahun juga. Cuma aku mula kenal sebagai kawan dan rakan sekerja baru beberapa tahun belakangan ini juga.

"Saya hargai usaha akak sebagai orang tengah Faris. Saya pun terkejut kak, sebab saya bukan tak kenal dan tak biasa dengan Faris. Pada saya tindakan Faris ni beradab. Serba salah pulak saya,"

Kak Liza tersenyum.

"Yaya dah ada calon ke?"

Aku terdiam seketika.

"Akak kenal Yaya. Yaya bukan sesenang itu nak ada calon pengganti,"

Kak Liza diam kemudian tersenyum nipis.

"Yaya, akak faham perasaan Yaya. Kita semua memang mengharapkan jodoh kekal hingga ke akhir hayat. Menemani kita dari awal hingga ke akhirat. Tapi Yaya kena ingat, ajal juga ketetapan Allah. Itu qadha dan qadarNya. Yaya muda lagi. Akak tengok Yaya pun dah setahun sendiri. Akak tahu Yaya terpaksa belajar berdikari perlahan-lahan,"

Aku anggukkan kepala. Mata bergenang dengan air.

"Saya ni kak, sebab dah kenal dalam-dalam perangai arwahnya. Saya tak pernah terfikir cinta kasih sayang saya tak kesampaian hingga ke akhir hayat. Saya ingatkan saya sempat merasa dunia persaraan dengan arwah. Saya nak habiskan masa saya untuk arwah sebab arwah banyak bertolak ansur dengan saya sejak arwah izinkan saya bekerja. Tapi, rupanya sampai situ sahaja,"

Kak Liza senyum kemudian mengelus belakang tangan.

"Akak faham Yaya. Akak rasa, Yaya ambil masa. Solat istikharah. Minta petunjuk Allah. Keputusan di tangan Yaya. Akak faham, dan akak yakin Faris pun faham,"

***

Parkir kenderaan yang hening di Blok K, yang tinggal hanya keretaku di kejauhan. Semua staf sudah mula surut pulang. Jam sudah menunjukkan angka 30 minit selepas lima. Aku perlahan mengatur langkah ke sana. Hanya ada dua tiga buah kenderaan sahaja yang tertinggal, sama ada staf keluar kawasan atau staf tunggu sedia.

Aku membuka pintu belakang dan meletakkan beg galas di bawah. Menutup dan membuka pintu pemandu. Kekok juga apabila sudah terbiasa menjadi penumpang sekian lama, tapi tiba-tiba aku harus mahir memandu sendiri.

"Yaya," ada suara yang menyapa dari sisi. Aku menoleh. Faris.

Dia mengatur langkah ke arahku. Aku angkat kening. Macam aku cakap sebelum ni, Faris ni bukan aku tak kenal. Kami pernah bekerja satu jabatan, dan memang akan sentiasa bekerja jika ada program yang berkaitan.

"Yes boss, how can I assist you?" spontan aku tanya begitu. Enjin kereta masih belum aku hidupkan.

Faris sudah berdiri tidak jauh dariku. Sambil tersenyum seperti selalu. Roman wajahnya memang mesra dan menyenangkan.

"Yaya, hari tu saya ada minta tolong Kak Liza," Faris hentikan ayat di situ.

Spontan aku terkebil-kebil. Awkward. Rasa pelik. Faris gunakan kata ganti diri 'saya'. Selalu aku kau je. Kata member.

"Saya memang nak tanya sendiri pada Yaya. Tapi, saya ni hormatkan orang tua. Saya rasa lebih manis dan beradab jika Kak Liza yang jadi orang tengahnya,"

Aku spontan tundukkan kepala. Betul, dah seminggu dari hari Kak Liza merisikku. Tapi aku masih belum beri kata putus. Aku yakin betul kalau Faris datang sendiri hari ini menemuiku untuk mengetahui jawapannya.

"Kalau Yaya ada masa, boleh ke kita duduk berdua bincangkan perkara ni?"

Aku angkat kepala. Pandang lurus ke wajah Faris. Faris yang aku kenal memang tidak pernah segan memandang tepat ke mataku, meskipun aku nampak ada sedikit gugup di situ. Mungkin dia nampak aku tiada jawapan pada soalannya. Mungkin dia tahu peluang itu tiada di situ.

Aku lepaskan nafas perlahan. 

"Kita keluar dinner boleh ke?"

***

Aku berjalan seiringan tapi jaraknya lebih dari dua meter. Macam berjalan dengan orang asing. Walhal aku pernah je ditugaskan berpasangan dengan Faris sebelum ini, dan kami tidaklah se jarak ini.

Meluangkan masa di pusat beli-belah sememangnya bukan kesukaan aku. Tidak pernah menjadi rutin harianku sebelum ini, namun kenangan bersama suami terdahulu terimbas di mata. Arwahnya memang seorang yang berjiwa urban. Gemar meluangkan masa di pusat membeli belah sebagai terapi diri.

"Kita nak naik ke?" Faris tanya kepadaku ketika kami akan menemui eskalator di hujung blok ini.

Aku pandang ke arahnya.

"Kita nak makan terus ke?"

Faris senyum. Macam biasa, aku nampak dia senyum ramah. Manis roman wajahnya.

"Kita cari tempat yang sesuai untuk kita duduk," dan aku mengangguk sama-sama mencecahkan kaki ke eskalator ini naik ke tingkat berikutnya.

"Yaya selalu datang sini?"

Aku senyum dan menoleh ke arahnya.

"Bukan tempat yang suka pergi, jadi tak selalu pergi. Dulu kerap juga. Tengok wayang, jalan-jalan. Kadang hujung minggu, kadang balik kerja. Ya ikut je arwah bawa pergi mana,"

Faris pandang ke arahku semula.

"Yaya belum bersedia lagi ye, untuk mulakan hidup yang baru,"

Entah kenapa aku rasakan dia bertanya kepadaku dengan penuh hati-hati. Macam seorang abang bertanya kepada adiknya.

"Faris, boleh ke kita berbual macam biasa? Macam kita kawan-kawan?" aku jawab dahulu dengan pertanyaan dan wajah meminta izin.

Faris sandarkan belakang badannya ke kerusi. Kepalanya dianggukkan sekali.

Aku senyum.

"Aku tak tahu nak terangkan macam mana. Aku tak terfikir nak cerita apa-apa pada sesiapa sebab ia terlalu peribadi pada aku," aku hentikan kata-kata dan pandang lurus ke wajah Faris.

Faris masih sabar menanti ayat aku seterusnya.

"How serious you are?"

Faris memandangku dengan penuh fokus dan perlahan-lahan badannya digerakkan ke depan semula, tegak menghadapku.

tbc...

Sejauh Hati MerasaWhere stories live. Discover now