Ammar melihat resit bayaran yang diberikan pelayan restoran. Lama dia pandang resit itu untuk mengira berapa jumlah harga makanan yang perlu dibayarnya. Selepas itu dia angkat kepala lalu memandang Azalea di hadapan.
"Kau punya makanan rm30.20," kata lelaki itu. Siap hulur tangan seakan meminta duit.
Tanpa banyak soal, Azalea keluarkan dompet di dalam beg tangannya. Mujur ada sekeping rm50 terselit di sana. Terus dihulur kepingan duit itu kepada Ammar.
Laju sahaja lelaki itu menyambar duit itu. Kad kredit miliknya dikeluarkan dari dalam dompet dan diletak atas resit.
"Baki duit kau nanti aku pulangkan semula. Aku tak ada duit cash," kata Ammar sejurus selepas pelayan restoran beredar.
Azalea hanya memandang encik suami dengan pandangan kosong. Dia sudah boleh mengagak semua ini pasti berlaku. Walaupun dia yang diajak makan di restoran tapi jangan haraplah Ammar akan belanja dia. Lelaki itu terlalu berkira.
Mula-mula memanglah dia agak terkejut kerana disuruh bayar menggunakan duit sendiri. Lama-kelamaan dia sudah masak sangat dengan perangai Ammar.
Nak buat macam mana. Dia bukannya perempuan yang dicintai Ammar walaupun berstatus isteri kepada lelaki itu.