Setelah selesai menunaikan solat maghrib, iPad yang berada di atas meja solek aku capai. Segera ruangan e-mel aku buka untuk menyemak tugasan para pelajarku. Tidak lupa juga untuk membuka e-mel dari pekerja di galeri lukisanku. Beberapa minit berlalu, akhirnya aku melepaskan keluhan kasar. Badan aku sandarkan pada kepala katil. Entah mengapa aku tidak mampu untuk memberi fokus terhadap kerja yang bertimbun ini. Beberapa minit berfikir, akhirnya aku membuat keputusan.
"Baik aku melukis."
Ipad tadi aku letak kembali di tempat asalnya. Keluar sahaja dari bilik, kaki aku menapak ke ruang bawah menuju ke studio lukisan. Melihat pintu studio yang sedikit terbuka membuatkan aku berasa pelik. Setahu aku, bilik ini sentiasa bertutup rapat. Perlahan- lahan ruangan itu aku masuki. Automatik rahangku mengeras.
"Siapa izinkan kau masuk dalam studio lukisan aku?!" Jerkah aku dengan nada yang gempita.
Terenjut bahu Ain mendengarnya sehingga terlepas sekeping lukisan yang sudah siap dibingkai dari tangannya. Mataku juga semakin membulat melihat lukisan kesayanganku yang sudah mendarat di atas lantai bersama serpihan kaca bingkai yang sudah pecah. Pantas aku menghampirinya lalu berlutut mengutip lukisan itu. Nafas lega aku hela apabila mendapati lukisan itu berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja meskipun bingkainya sudah pecah.
"Kau buat apa ni? Apa hak kau nak sentuh lukisan-lukisan dan barang aku?"
"Ain... Ain minta maaf. Ain tak sengaja."
Aku bangkit dari berlutut. Lukisan tadi aku letakkan di atas meja. Tanpa sebarang amaran, aku rentap rambutnya yang terlindung di sebalik tudung. Jeritan kesakitan yang terpacul dari bibirnya tidak aku hiraukan. Hati aku cukup puas mendengarnya.
"Sakit, abang."
"Kau dengan maaf kau tu boleh pergi mampus. Kau tahu tak antara lukisan tu dengan kau, lukisan tu lebih berharga. Kau sedarlah sikit nilai kau tu di mata aku. Perempuan macam kau ni cuma layak jadi lap kaki aku ajelah."
Setelah melontarkan kata-kata itu, tubuh Ain aku tolak sehingga jatuh menyembah lantai. Wajahnya betul- betul berada di hujung kaki aku. Tanpa belas, wajah itu aku tendang sekuat hati.
"Ya Allah!" Rintihnya sambil memegang wajah.
"Berhambus dari sini! Ini amaran terakhir aku. Jangan sesekali masuk ke ruangan privasi aku dan sentuh barang-barang aku. Aku dah bagi kau tinggal dalam rumah ni pun dah kira beruntung. Kau tahu tak?"
Perlahan-lahan Ain bangkit kemudian tanpa berlengah dia beredar dari situ.
"Bodoh!"
Rambut aku raup ke belakang. Tumpuanku kini beralih semula kepada lukisan tadi. Aku mengambil lukisan tersebut lalu mengusap-usapnya. Lukisan ini memang sudah lama namun masih tetap utuh dalam simpananku. Mungkin bagi orang lain lukisan ini biasa- biasa sahaja tapi tidak bagiku. Lukisan ini memang kelihatan kebudak-budakan kerana sang pelukis dan pemberinya berusia 10 tahun pada masa itu manakala aku pula berusia 25 tahun. Jika dihitung-hitung lukisan ini sudah 15 tahun dalam simpananku.
Kerusi beroda yang berhampiran meja aku tarik lalu duduk di situ.
"Agaknya Faye masih ingat tak dekat abang?" Bisikku perlahan.
Mata aku masih tertumpu pada lukisan tersebut. Tidak semena-mena fikiranku melayang mengingati kenangan lalu.
YOU ARE READING
Sesalan Dari Dia (Terbit)
RomanceBLURB SESALAN DARI DIA Perkahwinan yang dibina atas paksaan ibu bapanya membuatkan Harris Shah memberontak dalam diam. Akibatnya Ainnur Sofea yang menjadi mangsa keadaan. Segala kebencian disalurkan kepada si gadis. Baginya, semua yang terjadi akiba...