Aku melihat jam yang melilit kemas di pergelangan tangan. Aku melilaukan pandangan ke serata kawasan taman itu. Keluhan halus terkeluar apabila kelibat Shahril masih belum nampak.
"Mamat ni, dia juga yang janji nak joging pukul 7.00 pagi. Ni dah pukul 7.30 pagi, tak sampai-sampai lagi." Omel aku perlahan.
Memandangkan hari ini merupakan hari minggu, Shahril mengajak aku untuk berjoging di taman yang biasa kami kunjungi itu. Aku yang kebetulan masih tidak merancang apa-apa aktiviti, hanya bersetuju memandangkan aku tidak betah untuk berlama-lama di rumah. Sepanjang tempoh perkahwinan ini, masa aku di rumah begitu terhad kerana aku lebih gemar melakukan kerja di pejabat ataupun melepak bersama rakan-rakan yang lain.
Bosan menunggu, aku membuat keputusan untuk memanaskan badan terlebih dahulu. Mata aku menangkap jelas pemandangan indah sepasang suami isteri. Si suami sedang mengikat tali kasut si isteri yang sedang sarat mengandung. Mungkin kandungan wanita itu sudah berusia 7 bulan. Bibirku mengoyak senyum nipis.
Fikiranku membayangkan aku dan Ila yang berada di situasi seperti itu. Rasa bahagia mula datang menyapa namun semua itu hanya sebentar sahaja apabila wajah Ain mula muncul menggantikan wajah Ila, gadis idamanku.
Aku berdecit kasar. Mengapa harus wajah perempuan itu yang merosakkan anganku? Sakit kepala aku apabila wajah yang paling aku benci sering kali mengacau emosiku.
"Wei, sorry bro! Aku terlewat sikit sebab aku buatkan breakfast untuk wife aku." Sapa Shahril.
Mendengar alasannya itu membuatkan aku tidak jadi untuk memarahinya. Aku tahu Shahril sangat sayang pada isterinya malah dia sanggup lakukan apa sahaja demi kebahagiaan isterinya. Lagi-lagi dalam keadaan isterinya yang sedang hamil anak pertama mereka.
Aku kemudian pantas memulakan larianku.
"Wei... tunggulah!"
Telinga turut aku sumbatkan dengan earphone. Baru beberapa minit, larianku terhenti. Shahril yang mengekoriku dari belakang turut melakukan hal yang sama.
"Kenapa berhenti?"
Aku tidak menjawab pertanyaan itu malah mata aku masih melekat ke arah dua figura yang kelihatan mesra itu. Automatik rahangku mengeras. Wajah yang baru sahaja dibasahi peluh juga terasa semakin panas. Dengan rasa marah yang membara aku mengatur langkah ke arah pasangan itu.
"Bro!"
Panggilan Shahril aku abaikan. Perkara yang bermain di fikiranku pada masa ini adalah penjelasan.
"Happy nampak?" Sinis aku menegur pasangan itu.
Dapat aku lihat Ila yang jelas kelihatan tersentak itu. Wajahnya juga ketara berubah. Lelaki yang bersamanya juga turut melemparkan pandangan tidak senang ke arahku.
"You nak apa ni?"
"Patutlah susah sangat nak jawab call and message I. Rupanya dah ada pengganti. Cepat betul you berpaling arah. I ni macam orang bodoh pula you buat."
"You merepek apa ni? Siapa yang bodohkan siapa? Setahu I, you sendiri yang bodohkan diri you dengan pura-pura lupa tentang status you sekarang."
"You jangan nak kurang ajar ya!"
Ila tertawa perlahan seolah-olah perkara yang aku kata tadi sekadar lelucon yang menggeletek hatinya.
"Dahlah, I malas nak layan orang macam you ni."
Ila memandang sekilas ke arah lelaki di sebelahnya. Pandangan kedua-duanya membuatkan hati aku semakin hangat dibakar rasa cemburu.
"Kenalkan tunang I, Aidan."
YOU ARE READING
Sesalan Dari Dia (Terbit)
RomansaBLURB SESALAN DARI DIA Perkahwinan yang dibina atas paksaan ibu bapanya membuatkan Harris Shah memberontak dalam diam. Akibatnya Ainnur Sofea yang menjadi mangsa keadaan. Segala kebencian disalurkan kepada si gadis. Baginya, semua yang terjadi akiba...