HAILA berlari masuk ke dalam bilik sebaik melihat ada tetamu lelaki bertandang ke rumahnya. Tak ada isyarat atau apa, tup tup kawan suaminya itu sudah ada di dalam rumah. Mahu tak kelam-kabut Haila menutup kepala dan berlari ke bilik untuk memakai tudung.
"Eloklah tu. Buka aurat depan lelaki lain."
Tiba-tiba suara encik suami menjengah ke telinga. Haila lihat lelaki itu sedang berdiri di muka pintu dengan wajah bengis. Haila mengerut dahi sambil tangan membetulkan tudung di kepala.
"Ila bukan sengaja, bang. Abang tu yang balik bawa kawan tak beritahu dulu. Tup tup dah ada dalam rumah. Lain kali beritahu awal. Boleh Ila pakai tudung siap-siap."
"Alasan. Tak akan tak dengar kereta abang dekat luar? Sukalah tu nak tayang rambut depan Kaiden?"
Haila mengeluh dengan tuduhan berat yang keluar dari mulut suaminya, Erman. Lelaki itu tidak habis-habis hendak mencari salahnya. Haila menggeleng. Malas mahu berbalah.
"Ila keluar dulu. Nak buatkan air."
"Buat air saja. Jangan nak menggatal pula depan Kaiden. Dahlah tadi dia nampak Ila tak pakai tudung. Lelaki mana-mana pun boleh tergoda."
Erman memberi amaran. Sekali lagi Haila mengeluh.
"Masya-Allah. Apa abang cakap ni? Ila isteri abang. Tak akanlah pula nak goda kawan abang tu. Abang ingat Ila ni apa?"
Sebal. Hatinya benar-benar sakit dengan bicara Erman. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu sehingga sanggup menuduhnya.
"Nanti. Dah kenapa pakai baju macam ni? Tak ada yang lain?"
Belum sempat dia keluar bilik, suara Erman menegur lagi. Haila tunduk meneliti pakaian di tubuh. Seluar palazo labuh warna hitam, t-shirt lengan pendek sebelah dalam ditutup dengan kardigan labuh dan longgar.
"Apa lagi yang tak kena?" soalnya.
"Jangan nak pakai seluar dengan baju macam ni. Pergi salin. Pakai jubah ke. Abang tak suka Ila pakai macam ni depan Kaiden."
"Allah!"
Haila hampir menjerit. Nasib baik dia masih waras memikirkan lelaki itu adalah suaminya. Ada saja yang tak kena. Bukannya dia pakai baju dan seluar ketat.
"Jangan nak melawan. Abang tahulah abang lelaki."
Erman berpesan lagi sebelum dia melangkah keluar dari bilik. Haila meraup tapak tangan ke wajah. Baru setahun perkahwinan mereka. Namun, ada saja yang tidak kena di mata Erman. Itu salah, ini salah.
Dan paling teruk adalah tahap cemburu butanya. Memang tak bertempat! Sudahnya Haila turun ke dapur dengan perasaan berbuku geram. Jubah hitam telah disarung pada tubuh mengikut arahan Erman tadi.
Dia mencapai teko kaca di dalam kabinet bawah dan seuncang teh jenama Lipton dimasukkan ke dalamnya. Haila melangkah ke mesin penapis air Coway untuk mengambil air panas.
"Sorry."
Tiba-tiba ada suara di belakang. Haila berpaling. Dia lihat ada seorang lelaki yang agak tinggi sedang berdiri di pintu dapur. Haila kenal dengan sahabat suaminya ini. Dia pernah berjumpa Kaiden ketika majlis perkahwinannya dulu.
"Awak nak apa-apa ke?" Haila bertanya.
Cawan air panas tadi diletakkan di atas meja. Tidak betah memegangnya terlalu lama kerana takut melecur. Dia lihat Kaiden mendekati meja yang sama.
"Aku cari tandas."
"Oh, dekat sana."
Laju Haila menunjuk ke arah pintu plastik warna biru tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Kaiden mengangguk dan terus ke sana. Haila kembali membancuh minuman dan dibawa ke hadapan.
"Apa lama sangat buat air?"
Itu ayat pertama yang keluar dari mulut Erman. Haila mengerling sekilas sebelum mengeluh. Nasib baik Kaiden belum kembali ke ruang tamu ini. Kalau tidak tentu malu kerana dia ditegur begitu di hadapan tetamu.
"Mana ada lama. Tak sampai 10 minit pun Ila dekat dapur tu."
Jawapannya mengundang jelingan daripada encik suami. Haila buat tidak endah. Dia hendak beredar sebelum mata bertemu pandang dengan Kaiden yang sedang berdiri di belakang. Entah bila lelaki itu muncul di situ.
"Ni orang rumah aku dah buatkan air."
Erman berkata begitu. Kaiden terus duduk di sofa dan mencapai cawan minuman yang dihulur Erman.
"Tak minum sekali?"
Kaiden bertanya sambil matanya tepat memandang kepada Haila. Menunjukkan yang soalan itu dituju kepada wanita itu. Haila perasan sorotan mata daripada Erman. Jenuhlah dia mahu menjawab nanti.
"Err... tak apa. Saya nak sambung masak dekat dapur. Jemputlah minum."
Tanpa menunggu lama Haila pantas kembali ke dapur. Nanti tidak pasal-pasal Erman menuduhnya mahu menggoda Kaiden pula. Cemburu seorang lelaki itu tidak boleh dibuat main. Kalah perempuan. Setahun hidup bersama Erman membuatkan Haila cukup faham dengan perangai lelaki itu.
YOU ARE READING
WANITA MILIK KAIDEN - SUDAH TERBIT
RomanceBagi Haila, perkahwinan itu satu ikatan yang penuh dengan ketelusan. Setahun berkahwin bukan pengukur kepada satu kesetiaan. Suaminya Erman tiba-tiba memberitahu yang lelaki itu mahu berkahwin lain. Dalam sekelip mata semua yang indah bertukar kelam...