SEJAK kejadian bercanggah pendapat mengenai pembelian kereta tempoh hari, Haila perasan Erman sudah kurang bercakap dengannya. Hujung minggu itu mereka pulang bermalam di rumah keluarga Erman.
"Masam saja muka."
Ayah mentuanya menegur sebaik mereka tiba. Haila sekadar tersenyum pendek. Tidak mahu merisaukan lelaki itu. Plastik barang dapur yang dibawa diletakkan di atas meja.
"Tak ada apa ayah."
"Man mana?"
"Ada dekat luar. Tadi Ila tengok dia tengah bercakap di telefon."
Haila menjawab sambil tangan lincah mengeluarkan segala jenis lauk basah dan makanan kering yang dibeli tadi. Memang itu rutinnya sejak berkahwin dengan Erman memandangkan ibu bapa Haila sudah lama meninggal dunia. Jadi, di sini sajalah dia mampu menabur bakti. Setiap minggu dia akan membawa barang dapur ke rumah mentuanya.
"Kamu bawa apa minggu ni?
Suara wanita mencelah membuatkan Haila mendongak. Dia lantas menghampiri ibu mentuanya lalu tangan itu dicium penuh kasih. Kepada ayah dan ibu mentuanya sahaja tempat dia menumpang kasih.
"Ila bawa ikan siakap dengan udang. Tadi dekat pasar tengok semua ni segar. Itu yang Ila beli."
Ibu mentuanya mengangguk-angguk sambil mata menjeling ke dalam plastik. Tangannya memegang semua barang yang dibawa Haila.
"Ila ada beli beras?"
Terkejut dengan pertanyaan wanita itu, Haila pantas menggeleng. Matanya bertemu pandang dengan mata ibu mentuanya. Haila nampak ada riak kecewa terselit di raut wajah tersebut.
"Ila tak tahu pula beras dah habis. Nanti Ila minta Abang Erman belikan."
"Tak payahlah. Kesian dia penat nak kena pergi kedai."
Haila terdiam. Dalam hati dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak membeli beras tadi. Sangkanya masih ada kerana baru minggu lepas dia membeli beras seberat 10 kilogram. Sejak menjadi menantu keluarga ini setahun lalu, Haila yang sering membeli barang-barang dapur. Bukan ayah mentuanya tidak mampu, tetapi dia sendiri yang sukarela menyediakan segalanya. Ini sebagai tanda kasih kerana mereka menerimanya di dalam keluarga ini.
"Kalau macam tu biar Ila pergi kedai. Lagipun Ila ada benda nak beli juga ni. Tadi tertinggal."
Haila beralasan. Walhal, dia tidak mahu membeli apa-apa pun. Ianya sekadar untuk memujuk hati si ibu. Ibu mentuanya mengangguk.
"Alang-alang nak pergi kedai tu belikan sekali sabun basuh baju dan sabun mandi. Dah nak habis."
"Baik ibu."
Haila menyimpan barang-barang yang dibawa tadi ke tempatnya. Selesai mengemas barulah dia mencapai beg duit yang ditinggalkan di ruang tamu.
"Ila nak pergi kedai sekejap. Beli beras."
Dia memberitahu Erman yang sedang berdiri di luar rumah. Lelaki itu masih bercakap di telefon, entah dengan siapa. Punyalah lama berbual. Erman mengangguk sambil menghulurkan kunci kereta.
Tidak mahu membuang masa Haila terus memandu ke kedai runcit berhampiran rumah keluarga mentuanya. Dia mengambil beras dan barang-barang yang dipesan si ibu mentua lalu terus pulang ke rumah.
ERMAN menutup telefon pintarnya dan melangkah masuk ke dalam rumah. Dia lihat ayah dan ibunya sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu. Kaki menapak mendekati orang tuanya.
"Ibu, ayah..."
Dia tunduk menyalami tangan kedua-duanya. Puan Kamariah pantas menarik Erman untuk duduk di sebelah. Erman mengangkat kening melihat keterujaan yang terpamir di wajah si ibu.
"Lama betul berbual di telefon. Bercakap dengan Katrina ya?"
Si ibu mengusik. Erman ketawa sambil mengangguk. Segan apabila diusik begitu. Erman membetulkan duduk lalu wajah ibunya dipandang lama.
"Man ingat nak beritahu Ila hari ini. Tentang Katrina. Lagipun kita dah pergi jumpa keluarga dia. Tak lama lagi nak langsung majlis nikah."
Perbualan bertukar sedikit serius. Ibu bapanya saling bertukar pandangan seraya mengangguk. Bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Erman itu.
"Bagus juga. Tak elok biarkan perkara ni lama-lama. Ayah rasa baik Man selesaikan dengan Haila secepat mungkin," ujar Encik Madi.
"Ibu tak sabar nak dapat menantu baru. Makin besar keluarga kita."
Erman menyeringai sengih. Dia juga tidak sabar untuk menyambut orang baru dalam keluarga mereka. Bagi Erman kasih sayang itu haruslah dikongsi bersama.
"Assalamualaikum."
Suara Haila memecah tembok perbualan di antara Erman dan ibu bapanya. Erman menelan liur. Dia mendekati Haila yang sedang menjinjit beg plastik di tangan kiri, manakala tangan kanan memeluk plastik beras rapat ke dada.
"Mari abang bawakan."
Plastik beras lima kilogram itu bertukar tangan. Haila mengikut Erman masuk ke dapur untuk meletak barang-barang di atas kabinet. Dari ekor mata Erman mengerling si isteri.
"Ibu cakap pasal siapa tadi? Siapa nak dapat menantu baru? Edlan dah nak kahwin ke?"
Haila bertanya. Edlan itu adik iparnya. Erman dan Edlan dua beradik lelaki. Erman juga mempunyai dua orang adik perempuan di sebelah umi, isteri kedua ayah mentuanya.
"Tak adalah. Bukan dia yang nak kahwin."
Erman menjawab. Sesekali dia mengintai air muka Haila. Dia mahu tahu reaksi isterinya itu. Ternyata ada kerutan muncul di dahi Haila.
"Kalau bukan Edlan, siapa lagi yang nak kahwin? Tak akan adik-adik perempuan abang pula. Dia orang muda lagi."
Sunyi. Erman mampir lalu kedua-dua belah tangannya memegang bahu Haila. Perlahan bibir mengukir senyuman.
"Abang. Abang yang nak kahwin."
Bungkam. Haila merasakan seluruh dunia seakan-akan berhenti berputar. Matanya tepat memandang ke anak mata Erman.
"Abang ni. Tak baik bergurau macam ni. Terkejut Ila dibuatnya."
Haila ketawa. Tangan kanan memukul dada Erman. Dia yakin itu hanyalah satu gurauan. Tak akan Erman mahu berkahwin lain pula.
"Ila..."
Panjang namanya diseru membuatkan hati sekali lagi dijentik gelisah. Haila mematikan tawanya. Entah kenapa nada suara Erman kali ini mengundang debaran yang maha hebat. Mata lelaki itu juga nampak serius.
"Abang jangan main-main. Ila tak suka bergurau pasal benda ni. Kalau perkara lain boleh."
Erman mencapai tangan kanan Haila lalu diusap lembut. Lama mereka berpegangan tangan sebelum Erman kembali bersuara.
"Abang nak kahwin lagi satu. Dengan bos abang, Katrina."
Saat ini Haila yakin topik ini bukanlah sekadar gurauan. Suaminya benar-benar serius mahu berkahwin lain. Perlahan Haila menarik tangannya dari pegangan Erman.
Terkejut, takut dan kecewa. Hatinya ibarat dihiris dan dicincang lumat. Sakit dan perit. Nafasnya turun naik menahan debaran yang terlalu hebat. Haila mengetap bibir. Dia cuba menahan diri dari menangis, namun gagal. Air matanya mengalir jua.
"Ila..." Erman cuba memegang tangannya, tetapi Haila menepis.
Seluruh tubuhnya sedang menggigil dan tangisan semakin sukar dikawal. Haila tidak mengendahkan kehadiran Puan Kamariah dan Encik Madi yang baru masuk ke dapur.
"Bagi dia masa, Man."
Hanya itu yang Haila dengar keluar dari mulut ibu mentuanya. Selebihnya dia tidak dengar apa-apa lagi kerana sudah tenggelam dalam kekecewaan hati. Terlalu sakit untuk diungkap, terlalu pedih untuk ditelan. Semurah itukah kasih sayang Erman sehingga sanggup berkahwin lain sedangkan usia perkahwinan mereka baru setahun?
YOU ARE READING
WANITA MILIK KAIDEN - SUDAH TERBIT
RomanceBagi Haila, perkahwinan itu satu ikatan yang penuh dengan ketelusan. Setahun berkahwin bukan pengukur kepada satu kesetiaan. Suaminya Erman tiba-tiba memberitahu yang lelaki itu mahu berkahwin lain. Dalam sekelip mata semua yang indah bertukar kelam...