KAIDEN meminta diri untuk pulang sebaik jarum jam sudah menginjak ke pukul 3.30 petang. Tanpa sedar hampir dua jam dia berada di rumah Erman ini. Berbual punya pasal, tidak perasan masa sudah berlalu terlalu lama.
"Nak balik dah?" Erman bertanya.
"Baliklah Man. Aku kena singgah hotel dulu sekejap. Nak ambil dokumen."
Kaiden menghulur tangan untuk bersalaman dengan Erman. Lelaki itu menyambutnya. Selepas berpamitan Kaiden berjalan ke arah kereta Audi R8 5.2 V10 Plus Coupe warna kuning miliknya yang diletak di luar pagar.
"Lawa kereta kau."
Erman memuji sambil mengikutnya ke kereta. Kaiden menekan kunci lalu pintu bahagian pemandu dibuka lebar. Dia memberi isyarat mata kepada Erman.
"Aku ingat nak jual yang ni."
"Kenapa pula?"
Muka Erman berkerut-kerut. Lelaki itu berpeluk tubuh sambil tangan kanan memegang badan kereta Kaiden.
"Aku tak sempat nak bawa semua kereta. Dari biar tersadai dekat rumah family aku, baik aku jual."
Mudah jawapan Kaiden. Dia memasukkan tangan kiri ke dalam poket seluar sambil mata memerhatikan Erman. Dari cara Erman meneliti keretanya, nampak seperti lelaki itu berminat.
"Berapa kau nak jual?" Erman bertanya.
"Sejuta. Tapi, kalau harga kawan-kawan aku bagi rendah lagi. Janji tuan baru pandai jaga kereta ni."
Kaiden tersenyum pendek. Saat itu matanya ternampak kelibat Haila berdiri di muka pintu. Wanita itu menyarung selipar dan menghampiri mereka.
"Cantik tak?"
Tiba-tiba Erman bertanya kepada isterinya. Kaiden sekadar memerhati riak wajah Haila yang nampak kebingungan. Namun, wanita itu tetap mengangguk.
"Cantik."
"Kalau abang beli okey tak? Kaiden nak jual kereta dia ni."
"Ha?"
Sekali lagi Haila nampak bingung. Kaiden memandang wanita itu dan kebetulan mata mereka bertatapan. Laju Haila mengalih pandangan ke arah lain.
"Kau orang bincanglah. Aku kena gerak dulu. Nanti lambat sampai hotel."
Cepat-cepat Kaiden mencelah. Kalau dibiarkan takut suasana di situ bertukar menjadi kekok. Lebih-lebih lagi dengan reaksi Haila. Terpinga-pinga!
"Yalah. Kalau jadi beli aku roger kau. Jangan jual dekat orang lain pula."
Erman ketawa.
Kaiden mengangguk saja sebelum dia memboloskan diri ke tempat duduk pemandu. Enjin dihidupkan dan dia menekan pedal minyak memecut pergi dari situ.
KERETA kuning milik Kaiden sudah lama hilang dari pandangan. Haila berpaling ke sisi. Dia lihat Erman masih ralit memandang ke arah jalan raya.
"Betul ke abang nak beli kereta tu?"
Sengaja Haila bertanya. Sangkanya Erman sekadar cakap-cakap kosong. Tetapi, melihat kepala lelaki itu mengangguk dia terus membulatkan mata.
"Kaiden nak jual murah-murah saja. Abangkan kawan dia. Sayang kalau lepaskan peluang ni."
"Kenapa dia nak jual?"
Haila bertanya dengan nada musykil. Kereta masih cantik dan elok. Mewah pula tu. Kenapa pula hendak dijual? Satu tanda tanya yang bermain dalam fikirannya.
"Kaiden tu ada banyak kereta. Sebab itu dia nak jual yang Audi ni. Dekat rumah dia entah ada berapa buah lagi kereta mewah lain. Dia tu kaya."
Haila terdiam. Dalam kepala sedang memikirkan apa yang baru Erman katakan.
"Berapa harga dia nak jual?"
"Sejuta."
"Uhuk! Uhuk!"
Haila terus terbatuk. Hampir-hampir dia tercekik air liur sendiri mendengar angka yang disebut itu. Sejuta? Dengar pun dah buat dia kecut perut.
"Sejuta tu abang. Bukannya murah-murah."
"Memanglah harga dia bagi sejuta. Tu belum masuk diskaun kawan-kawan. Entah dia nak bagi abang diskaun 50 peratus ke. Untung-untung dapat beli kereta tu dengan harga 500 ribu."
Beria-ia Erman bercerita. Walhal perkara itu belum pun dibincangkan dengan Kaiden. Haila menggeleng.
"500 ribu pun mahal bang. Bukan sikit-sikit nilainya tu."
"Abang boleh buat pinjaman peribadi. Ila pun boleh. Kalau gabung mesti cukup."
"Gaji Ila tak besar. Dah tolak duit PTPTN, duit bayar sewa rumah, duit kereta Myvi bulan-bulan. Kalau nak tambah pinjaman peribadi pula, mana cukup gaji yang dua ribu setengah tu."
Panjang lebar Haila menerangkan. Kalau ikutkan gaji Erman pun bukannya tinggi mana. Gaji tiga ribu sebulan. Dah tolak pelbagai komitmen bulanan. Tinggal pula di Kuala Lumpur. Mustahil untuk lelaki itu membuat pinjaman sehingga RM 500 ribu.
"Mesti boleh. Kita adjust semula perbelanjaan kita. Abang boleh jual kereta Honda City tu."
Erman tersenyum. Melihat cara lelaki itu bercakap seolah-olah hal duit ini perkara remeh. Haila mengeluh kecil.
"Nak bayar Honda bulan-bulan pun sakit. Ini pula kereta sejuta. Jangan cari pasal bang."
Lembut Haila mengingatkan. Erman memandangnya sebelum lelaki itu bergerak masuk ke dalam rumah. Haila mengikut.
"Kalau tolak tawaran ni kita sendiri yang rugi. Mana nak dapat kereta Audi R8 baru, kemas macam tu dengan harga murah."
Erman masih tidak mengalah. Dia duduk di sofa sambil tangan mencapai telefon pintar. Entah apa yang ditaipnya sebelum telefon itu ditunjuk kepada Haila.
"Tengok ni. Harga asal dia pun dah sejuta lebih. Ini Kaiden nak bagi murah lagi."
Erman ketawa. Dia bersandar pada sofa dengan kepala tergeleng-geleng. Nampak sangat teruja. Haila turut melabuhkan punggung di sisi suaminya.
"Abang... kita ni bukan nak hidup sehari dua saja. Kalau duit dah berhabis bayar kereta tu, duit perbelanjaan lain macam mana? Rumah, bil-bil, duit barang dapur."
Sedaya upaya Haila cuba memujuk. Lengan Erman dipegang sebagai tanda mengharapkan lelaki itu faham dengan situasi mereka. Dalam hidup ini kena ukur baju di badan sendiri.
"Sebab itu abang cakap kita kena adjust semula. Macam ni. Kita jual kereta Myvi dan Honda. Dah kurang dua komitmen. Ila tak payah bayar kereta, jadi gaji Ila semuanya fokus bayar sewa rumah, bil, barang dapur. Gaji abang fokus untuk bayar kereta baru saja. Boleh?"
Dahi Haila berkerut-kerut dengan cadangan tersebut. Percaturan jenis apakah ini? Selama ini duit sewa rumah mereka berkongsi bayar. Nanti semuanya akan jatuh ke bahunya? Bil-bil dan barang dapur juga. Itu belum masuk bayaran lain. Haila terngadah.
"Kejap. Yang kita beria bincang ni, abang yakin ke pinjaman abang boleh lulus?"
Terhembur juga soalan itu dari mulutnya. Erman automatik terdiam. Haila menggeleng lalu dia terus berlalu dari situ. Tidak faham dengan 'idea' mengarut encik suami.
'Ingat beli kereta macam beli ayam di pasar?' Dia mendongkol geram.
YOU ARE READING
WANITA MILIK KAIDEN - SUDAH TERBIT
RomanceBagi Haila, perkahwinan itu satu ikatan yang penuh dengan ketelusan. Setahun berkahwin bukan pengukur kepada satu kesetiaan. Suaminya Erman tiba-tiba memberitahu yang lelaki itu mahu berkahwin lain. Dalam sekelip mata semua yang indah bertukar kelam...