BAB 5

166 6 0
                                    

KAIDEN meletakkan kunci kereta di atas meja. Baru punggung mahu mencecah sofa, namanya diseru seseorang. Kaiden mengeluh kecil apabila mendengar ada derap kaki menghampiri sofa tempat dia sedang duduk.

"Kai dari mana?"

Puan Sri Atilia bertanya seraya duduk di sisi si anak. Kaiden buat tidak endah. Matanya dipejam rapat sambil kepala direhat pada kepala sofa.

"Hotel." Dia menjawab sepatah.

"Kenapa you balik lambat? Kan mama dah pesan supaya balik awal. Hari ni Dilah makan malam di sini. Kesian dia tunggu tadi."

"Mama..."

Panjang Kaiden memanggil sambil mengeluh. Dia membuka kelopak mata dan beradu pandang dengan Puan Sri Atilia.

"What?"

"Kai tak suka Dilah. Dah banyak kali Kai cakap. Yang mama selalu ajak dia dinner dekat rumah ni dah kenapa?"

"Dia bakal isteri you, Kai."

Kaiden ketawa. Tidak habis-habis itu yang dicanang mamanya sedangkan dia tuan badan tidak pernah bersetuju akan perkara ini.

"Itu kata mama. Bukan Kai."

"Please, Kaiden Izaq! Jangan nak peningkan kepala mama malam-malam buta ni. Kita dah bincang, kan? Dilah tu bakal isteri you."

"Mama bincang dengan Dilah bukan Kai. Kai tak pernah setuju pun."

Kaiden mengangkat bahu. Dengan selamba dia bangun dan berjalan ke arah tangga. Sebelum menapak ke atas, dia berpaling memandang Puan Sri Atilia.

"Kai tak pernah halang mama untuk kahwin dengan semua suami baru mama. Jadi, Kai juga harap mama tak halang Kai pilih siapa yang Kai nak jadikan isteri. Dan orang itu bukannya Dilah."

Tegas suara Kaiden bercakap. Tanpa pamitan kakinya mengorak langkah naik ke tingkat atas. Kaiden sedar sejak arwah papanya meninggal dunia 20 tahun dulu, hubungan dia dan Puan Sri Atilia turut terkesan dek pemergian mengejut itu.

Lebih memburukkan keadaan sepanjang 20 tahun ini mamanya sudah berkahwin sebanyak empat kali. Perkahwinan barunya tidak kekal. Paling lama cuma lima tahun selepas itu bercerai dan berganti baru. Ayah tirinya sekarang adalah lelaki yang muda 15 tahun dari Puan Sri Atilia.

"Sabar honey. Nanti I cakap dengan dia."

Sebelum membolos ke dalam bilik telinga Kaiden sempat mendengar acara pujukan di tingkat bawah. Itu suara ayah tirinya Akmal. Sejujurnya Kaiden tidak percaya dengan lelaki itu. Lelaki muda berkahwin dengan mak datin kaya? Terlalu mencurigakan.

"Peninglah I dengan Kai ni."

"Janganlah pening. Mari I pujuk you. Wajah cantik you ni tak elok masam-masam. Mari I hiburkan you."

Kali ini terdengar Puan Sri Atilia ketawa. Sudahnya dua sosok itu menghilangkan diri ke dalam bilik bersama tawa yang masih bersisa. Kaiden menggeleng lalu pintu biliknya dihempas kuat.

"Parasite!"

++++

KEKOK. Haila memberanikan diri untuk turun ke bawah. Waktu itu Erman dan ibu bapa mentuanya masih ada di ruang tamu. Semua mata terarah kepadanya.

"Turun pun. Ingat nak merajuk sampai esok."

Haila terdiam mendengar sindiran daripada Puan Kamariah. Dia pekakkan telinga lalu terus masuk ke dapur. Pinggan kosong dicapai.

"Hidangkan lauk dekat dapur tu. Semua orang dah lapar. Dah lewat nak makan malam ni."

Terdengar ibu mentuanya berteriak dari depan. Haila menarik nafas dalam-dalam. Dia lihat lauk pauk sudah siap dimasak. Timbul rasa bersalah kerana sepatutnya memasak itu adalah tugasnya.

Dengan mata bengkak Haila menyiapkan meja makan secepat mungkin. Tidak mahu disindir lagi kerana itu hanya akan membuatkan hatinya lebih terluka.

"Berdosa marah lama-lama."

Suara Encik Madi memecah hening. Haila yang baru selesai menghidangkan lauk berpaling kepada lelaki itu. Erman, ibu dan ayah mentuanya masing-masing menarik kerusi lalu duduk. Hanya Haila yang masih berdiri.

"Duduk makan sekali." Erman pula mengajak.

Haila mengetap bibir. Satu keluarga ini buat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Seolah-olah hanya Haila yang berperangai buruk tidak tentu hala.

"Duduklah. Jangan buat perangai macam budak-budak. Hal boleh bincang dengan baik. Kenapa sampai nak bermasam muka."

Haila menelan sebiji-biji tutur ibu mentua. Sedaya upaya dia menahan diri agar tidak kurang ajar di sini. Walaupun dia tidak ada ibu bapa, dia tetap tahu adab sopan di hadapan orang tua. Perlahan tangan menarik kerusi lalu duduk.

"Makan ya, sayang."

Erman memegang dan meramas lembut tangannya di bawah meja. Pantas Haila menepis. Pegangan itu rasa menyakitkan kerana hati yang sedang membengkak. Panggilan 'sayang' itu juga tidak langsung membuatkan dia gembira bahkan menambah luka di hati. Erman... kejam! Mulut kata sayang, tetapi hati berlaku curang.

"Poligami ni bagus. Tengok ibu dan umi tak ada masalah pun. Dah lebih 10 tahun bermadu, bahagia saja. Ila janganlah rumitkan keadaan. Ikhlas kan hati tu untuk terima Katrina. Ibu jumpa dia, ibu nampak dia seorang wanita yang baik."

Puan Kamariah membuka mulut. Haila sekadar menjeling wanita itu kerana dia tidak ada semangat hendak membalas. Nasi di dalam pinggan dikuis sahaja. Seleranya mati.

"Ayah boleh adil kepada isteri-isteri ayah. Tentu saja Erman juga begitu. Dia akan berlaku adil kepada Haila dan Katrina. Erman ni tahu agama, suami yang mampu dan adil," tambah Encik Madi.

Kali ini Haila mematikan suapan. Selama setahun dia cuba menjadi menantu yang terbaik. Segala keperluan orang tua Erman ini dia lunasi. Duit barang dapur semuanya daripada dia, bukan daripada Erman!

"Ila tak sangka ibu dan ayah berkomplot dengan Erman di belakang Ila. Perempuan mana suka kalau suami dia curang? Ibu? Tipulah kalau ibu cakap tak rasa apa-apa masa ayah kahwin dengan umi dulu."

Sedaya upaya Haila menahan lidah dari bercakap kasar, namun akhirnya terlepas juga. Dia memandang wajah Puan Kamariah dan Encik Madi bersilih ganti.

"Jangan kurang ajar, Haila!"

Muka Puan Kamariah berubah kelat dan merah. Ini kali pertama Haila dengar suara ibu mentuanya tinggi dan keras. Mungkin wanita itu marah dengan kata-katanya tadi.

"Ila kecewa sangat. Orang yang Ila anggap keluarga, yang Ila percaya sanggup tikam belakang Ila begini. Kalau benar ibu dan ayah dah suka sangat dengan Katrina tu, ambillah dia jadi menantu. Tak perlu lagi Ila berada di sini."

Haila menolak kerusi lalu bangun berdiri. Pinggan makannya dibawa ke dapur. Sepantas kilat dia mencuci pinggan dan tangan sebelum kaki bergerak semula ke bilik. Cukuplah maruahnya dipijak keluarga Erman. Walaupun dia anak yatim piatu, tetapi dia masih punya harga diri! 

WANITA MILIK KAIDEN - SUDAH TERBITWhere stories live. Discover now