"ADIK, janganlah merajuk. Abah minta maaf. Abah sibuk sangat tadi sebab tu abah bolehterlupa nak ambil adik."
Suasana yang diam sepi di dalam kereta tanpa suara aku mahupun abah sedari tadi kini terisi dengan suara abah yang mula mahu memujuk aku.
"Kan senang kalau abah bagi adik naik motosikal pergi sekolah? Adik pun dah ada lesen. Ni asyik kata nak ambil adik, tapi abah selalu je lambat sebab terlupa," rungutku.
"Bukan abah tak nak bagi. Abah risaukan anak abah. Macam mana kalau ada apa-apa jadi dekat adik? Abah tak nak anak abah sakit."
Aku terdiam. Mula bersetuju dengan bicara abah yang ada benarnya itu. Aku sendiri pun tahu yang jarak ke sekolah dari rumah bukanlah dekat. Ambil masa sehingga lima belas minit juga. Tak termasuk lagi dengan perlu lalu di jalan raya yang memang sibuk sepanjang masa.
Jadi, tak hairan pun kalau abah tak mampu nak lepaskan aku untuk ke sekolah dengan motosikal.
"Yelah, janji lepas ni abah tak akan lupa lagi?"
"Ya, janji." Abah membalas dengan senyuman. Mungkin lega kerana aku memilih untuk tidak keraskan kepala seperti selalu.
Aku keluar dari kereta dengan hati yang sudah terpujuk. Walaupun aku tahu masih ada kebarangkalian yang abah akan terlupa lagi... aku tetap akur saja. Biarlah. Sekurang-kurangnya, aku masih dapat pulang ke rumah dalam keadaan yang selamat.
Jejak sahaja kaki ini ke dalam rumah, deria bau terus menyapa satu haruman yang menusuk hidung. Wangi! Haruman yang aku idamkan sejak kelmarin lagi .
"Mak! Mak masak apa hari ni? Sedapnya bau!" Aku bergegas menuju ke dapur.
Langkahku terhenti saat mata sudah disapa dengan susuk tubuh mak yang sedang berdiri membelakangi aku tika ini. Langsung tak berganjak tubuh itu. Terlalu ralit memasak sehingga tak perasan akan aku dan abah yang sudah pulang.
"Mak?" Aku sudah berdiri di sisi mak. Aroma sup ayam semakin menusuk di hidung.
"Eh, dah balik?" Mak menyoal dengan lagak terkejut.
Bibirku memuncung kecil. "Boleh pula mak tak perasan anak mak ni dah balik. Mak masak apa tu?"
"Eleh, buat-buat tanya! Mak nak masak apa lagilah kalau bukan nasi ayam yang awak request semalam tu..."
Mataku terbuka luas. Bertambah gembira kerana mendengar jawapan itu daripada mulut mak sendiri.
"Terima kasih. Sayang mak!" Aku peluk dan cium lama kedua belah pipi mak. Mak hanya ketawa geli hati dengan tangan yang cuba menolakku agar menjauh.
"Amboi! Sayang mak je ke? Abah yang pergi beli bahan-bahan pagi tadi tak ada yang nak sayang ke? Apalah nasib jadi abah..."
"Sayang! Tapi Liya sayang mak lebih sikitlah sebab tadi abah ambil Liya sekolah lewat sangat," ungkitku dengan sengihan nakal.
Abah mula mencebik dengan riak tidak berpuas hati.
"Dah, Liya tolong mak cuci pinggan. Mak pun nak sambut suami mak balik kerja juga."
Mak berkata seraya melepaskan pelukan kami. Aku menurut dengan rela. Dah biasa diduakan oleh mak dan abah sendiri.
Mak dan abah yang kini sedang bersalaman dengan begitu mesra itu ditatap sekilas. Sinki dapur didekati. Tak banyak pun pinggan!
Mak punya suruh aku cuci pinggan tu macam apa dah. Ni mesti kes tak nak aku kacau pasangan suami isteri itu bermesra. Tahu sangat dah taktik mak!
Aku tak dapat daripada tersenyum lucu saat mendengar mak yang sudah terjerit kecil. Mungkin diusik oleh abah seperti biasa. Abah memang kuat mengusik orangnya dan mak pula, sensitif. Sama seperti aku.
Aku suka tengok hubungan mak dan abah. Tak pernah sekali pun aku tengok mereka bergaduh. Kalau ada pun, gaduh-gaduh manja yang biasanya akan terus pulih dengan pujukan manis abah.
Ya Allah...
Aku sayangkan mak dan abah. Aku sayangkan mereka... sepenuh hati aku. Dan aku berharap aku dapat hidup bersama dengan mereka sampai ke syurga-Mu. Selamanya.
YOU ARE READING
Noktah Yang Terhapus | C
RomanceOGOS 2023 Blurb: DALIYA menyangka kisah sepuluh tahun lalu akan terus bernoktah. Namun noktah itu telah terhapus. Atau hakikatnya, noktah itu memang tak pernah wujud? "Dah sepuluh tahun aku pendam dan selama itu, setiap detik aku berharap aku dapat...