AKU berdiri tegak sambil mata memerhati jejak kasih yang sedang berlaku di hadapan mata. Tercuit hatiku dengan gelagat umi dan abi yang berebut-rebut mahu memeluk tubuh anak gadis mereka itu. Comel sangat.
Hati aku lapang kerana dapat melihat mereka semua sentiasa berada dalam keadaan bahagia.
"Masuklah, anak dara umi yang lagi seorang ni. Kenapa tercegat dekat situ pula?" tanya umi seraya mendekati aku dengan langkah tergesa-gesa.
Aku menggaru hujung kening. Macam mana nak cakap yang sebenarnya aku dah nak balik ni?
"Cuba tanya anak umi tu dia nak pergi mana," ujar Fatihah dengan senyuman mengusik.
Aku memandang Fatihah dengan mata yang terjegil. Tadi di airport, dia dah bersetuju untuk bantu aku jawab soalan-soalan umi tapi ni lain pula jadinya. Patut aku biar je dia mereput di airport tadi.
Aku menarik nafas, dalam. Fatihah masih sama walaupun telah lima tahun berlalu dengan dia yang menetap di luar negara. Masih sama!
"Jangan cakap dekat umi yang Liya nak balik. Tak lengkap makan malam kita malam ni kalau Liya tak ada. Jangan mengada nak balik!"
Mataku meluas. "Eh, mana ada Liya nak balik. Apa umi ni cakap macam tu pula?"
Umi tersenyum lega. Dia menarik lenganku untuk masuk ke dalam rumah. Kelibat Fatihah dengan abi pun dah tak kelihatan di mana-mana. Itulah hakikatnya. Fatihah lebih rapat dengan abi. Dan aku, lebih rapat dengan umi.
Faktor utama Fatihah lebih rapat dengan abi adalah kerana abi tak mampu untuk membebel sebanyak mana umi membebel saat Fatihah melakukan kesalahan.
"Yang lain belum sampai ke, umi?"
"Belum. Abang Alif lambat sikit sebab Kak Mia ada temu janji di hospital. Abang Haziq pula macam biasa, kerja. Nanti sampailah tu dia orang."
"Oh, dah tak lama kan due date Kak Mia? Umi mesti dah tak sabar-sabar nak dukung baby, kan?"
"Ye, kalau boleh umi memang nak Kak Mia tu beranak sekarang juga. Tapi minta sangat dijauhkan, biarlah menantu umi tu dapat lahirkan anak dia dengan cukup bulan dan sihat sebaik-baiknya."
Aku mengangguk bersetuju. Biarlah Kak Mia dapat lahirkan anak itu pada waktu yang sepatutnya. Dah tak lama pun, tinggal lebih kurang sebulan!
"KAU pula... Sepanjang lima tahun ni, masih tak ada sesiapa ke? Dah lama dah aku simpan soalan ni sebab aku tahu kalau aku tanya dalam keadaan kita berjauhan, kau memang pandai nak mengelat!"
Hampir saja aku tersedak air saat bicara Fatihah itu menyapa pendengaran. Soalan yang langsung tak dijangka. Aku fikir malam ni hanya kisah cinta Fatihah, rupanya aku pun termasuk sekali?
"Tak ada. Siapa je yang nak aku ni?"
Muk yang terisi dengan milo panas diletakkan di atas meja bulat di hadapanku. Tangan naik memeluk tubuh dengan pandangan ditalakan tepat ke langit malam.
"Sebenarnya aku hairan, Liya. Bagi aku, kau terlalu hampir dengan makna sempurna. Tapi kenapa tak ada satu pun yang dekati kau... kau pun tak ada terfikir perkara yang sama ke?"
Aku angkat bahu. Jujur aku kata aku tak pernah terfikir. Juga tak pernah mengeluh dengan takdir hidup aku yang begini. Bagi aku, hidup aku sudah terlalu sempurna.
Tak ada lelaki dalam hidup aku, tak bermakna aku tak boleh bahagia.
Dah dua puluh lapan tahun hidup, hanya sekali sahaja hidup aku diisi dengan kehadiran lelaki. Itu pun hanya cinta monyet yang boleh dikata agak memalukan.
"Kau dah dua puluh lapan tahun. Kau tak risau ke?"
Aku mencebik. "Kita. Kita dah dua puluh lapan tahun. Bukan aku seorang!"
"Ya, tapi aku dah pernah putus tunang sekali. Kau, sekali pun tak pernah bercinta. Pernah... sepuluh tahun yang lepas. Tapi tu macam tak boleh dikira sangat, kan?"
"Kalau Allah belum izinkan, belum lagilah. Aku belum rasa nak buka hati dekat sesiapa. Allah pun tahu dengan hakikat itu, sebab itu Dia belum izinkan." Mudah aku membalas.
Fatihah terdiam. Lama kami diam sebelum Fatihah kembali bersuara. Dia berdeham perlahan.
"Atau sebenarnya, Allah tengah makbulkan doa seseorang? Doa seseorang, untuk kau... supaya kau tak bukakan hati kepada sesiapa."
"Tak mungkin. Dahlah, kau dah mula nak mengarut dah ni."
"Tak mustahil, Liya. Ramai lelaki yang minat kau tapi tak ada satu pun yang berani nak dekat dengan kau. Kau rasa kenapa?"
Aku menarik nafas dalam. "Tak ada rasa apa-apa!"
"Tch. Payah betul aku nak siasat apa yang ada dalam hati kau tu." Pasrah Fatihah bersuara kali ini.
"Tak payah susah-susah. Aku okey je, Fat."
"Kau yakin kau okey?"
"Ya, kalau tak okey aku akan cari kau."
"Baguslah kalau kau okey. Aku tak nak kawan aku murung."
"Beb, kau cakap elok-elok. Yang murung sekarang ni, kau. Bukan aku. Kau ni bukan baru lepas kena tinggal ke? Dah tak sedar diri?"
Aku mengetap bibir. Melihat wajah bengang Fatihah, terjentik rasa gembira. Gembira kerana berjaya memulangkan paku buah keras terhadap wanita bekerjaya di hadapanku ini.
Fatihah menghadiahkan jelingan yang tajam kepadaku. "Kau ni memang! Jaga sikit. Bukan aku yang kena tinggal, tapi lelaki tu. Aku yang tinggal lelaki tu. Tak mungkin aku nak stay lagi kalau dah perangai macam tu. Kau pun tahu yang jantan tu curang dengan aku..."
Aku mengangguk mengiyakan. Aku sendiri pun kecewa saat mendengar tentang ikatan pertunangan Fatihah yang telah putus itu. Kecewa dengan janji-janji lelaki itu kepadaku yang kononnya dia akan menjaga Fatihah dengan baik. Sampah.
Curang. Tak akan lari daripada manusia yang tamak dan tak mengerti makna menghargai.
"Kenapalah beberapa bulan sebelum aku balik ke Malaysia baru dia terfikir nak curang? Kalau dari awal dia cakap dekat aku yang dia tak boleh nak setia, dah tentu aku ada peluang nak bawa balik mamat mata sepet untuk jadi menantu umi dan abi. Kan?"
Aku memandang Fatihah dengan riak simpati. Kasihan juga sebenarnya dengan nasib sahabat baik aku ni. Hampir lima tahun hubungan mereka berjaya bertahan, tapi akhirnya roboh sekelip mata.
"Mungkin jodoh kau hanya dengan jejaka Melayu!"
"Aku dah penat dikecewakan dengan jejaka Melayu. Cakap boleh tunggu... alih-alih tunggu ke mana, jantan tu pula ke mana. Mungkin sekarang aku dah boleh guna ayat 'semua lelaki sama'!"
"Belum rezeki kau lagi untuk berkahwin. Allah sedang sediakan sesuatu yang lebih berharga untuk kau."
Hanya itu yang mampu aku katakan.
Aku berharap suatu hari nanti Fatihah akan bertemu dengan bahagia dia.
"Bila kau masuk kerja?" tanyaku cuba mengalih topik. Aku tak mahu Fatihah terlalu hanyut dalam emosi.
"Bos aku bagi aku cuti tiga bulan," jawab Fatihah dengan sengihan panjang.
"Biar betul? Lamanya!"
"Padanlah dengan dia yang campak aku ke Korea bertahun-tahun. Lagipun bos dah janji dengan aku sebelum aku pergi lagi. Setakat ni, janji bos aku je janji lelaki yang boleh pakai."
"Aku dapat rasa gaji kau mesti dah naik mendadak, kan? Bolehlah kau belanja aku apa-apa yang aku nak."
"Masih tak mampu tandingi gaji sebulan kau."
Aku berdecit kasar. "Tak kira, belanja juga."
Fatihah fikir gaji sebagai seorang pensyarah ni terlalu tinggi ke? Walhal tak banyak beza pun dengan dia yang merupakan seorang engineer. Alasan je lebih!
YOU ARE READING
Noktah Yang Terhapus | C
RomanceOGOS 2023 Blurb: DALIYA menyangka kisah sepuluh tahun lalu akan terus bernoktah. Namun noktah itu telah terhapus. Atau hakikatnya, noktah itu memang tak pernah wujud? "Dah sepuluh tahun aku pendam dan selama itu, setiap detik aku berharap aku dapat...