"MACAM mana aku boleh lupa sesuatu yang penting seperti ini? Macam mana... dan macam mana?!
"Macam mana ni Fat..."
"Ish, kan aku dah cakap jangan panggil aku Fat! Aku tak gemuk!" Di situ juga, Fatihah memilih untuk mengamuk. Dia mencubit kuat lenganku dan aku terus bertindak balas dengan menolaknya menjauh dariku.
"Apa ni... pakai cantik-cantik tapi bergaduh dekat majlis kahwin orang ni. Tenang Fat, tenang!" Aku berkata dengan pantas. Lebih kepada mahu menyelamatkan diri daripada Fatihah yang semakin ganas.
"Kaulah! Suka cari masalah dengan aku, kan?" Fatihah menyoal dengan nada menyampah.
"Aku cuma takut. Tengok rumah keluarga kak long ni buat aku teringat sesuatu. Kau tak ada teringat apa-apa ke?"
"Apa?"
"Ni rumah dialah!"
"Siapa? Maksud kau..."
"Ya, Hud!" Aku berbisik di tepi telinga Fatihah.
Mata sahabat aku itu sudah terbuka luas. Dia memandangku dengan riak tidak percaya.
"Yelah, macam mana eh kita boleh terlupa yang Hud itu adik kak long..."
Aku menarik nafas dalam. Aku sendiri pun terkelu, tak tahu apa yang patut aku lakukan saat ini.
"Tapi sahabat, kau kena hadap sajalah. Kita datang sebab kak long, kan? Jadi tak mahulah sebab Hud tu bekas kekasih kau... ada sesuatu yang terjadi pada hari bahagia kak long, kan?"
Aku mengangguk mengerti. "Betullah. Lagipun aku rasa dia dah lupa aku. Benda pun dah lama berlalu. Kalau terjumpa dia pun, kena buat biasa-biasa. Macam kawan lama... mungkin?"
Fatihah mengusap kepalaku.
"Bagus! Aku yakin kau boleh, sahabat!"
OLEH kerana suami kak long telah kehilangan kedua ibu dan bapanya maka, kenduri perkahwinan mereka berdua dijalankan sepenuhnya di rumah keluarga kak long.
Boleh tahan meriah juga. Setahu aku, memang saudara-mara kak long boleh tahan ramai. Bertambah meriah lagi dengan kehadiran saudara yang dekat mahupun jauh.
Dan sekarang, tanpa diduga aku dan Fatihah sudah tidak menjadi tetamu di kenduri ini. Sudah berubah pangkat. Entah macam mana kami telah ditarik untuk berada di belakang rumah. Menanti untuk melaksanakan arahan mereka yang lebih tua.
"Kau 'hidup' lagi tak?" Fatihah menyoal dengan sengihan.
"Alhamdulillah, atas jasa kau... aku masih hidup."
Aku berkata seraya mengelap peluh di dahi. Bukannya banyak pun kerja yang perlu dibuat. Setakat tolong angkat dan bawa ke depan, tolong asingkan lauk. Itu saja. Tapi dengan cuaca panas hari ini, penatnya terasa berganda.
"Aku tak tahu aku telan apa semalam. Kita makan apa eh semalam?"
Aku mengangkat bahu. Aku sendiri pun naik hairan kenapa perut Fatihah boleh meragam sehingga sebegini rupa. Kerana tadi aku menemani Fatihah di hadapan pintu tandas di dapurlah... aku dapat berkenalan dengan mereka yang di dapur ini.
"Boleh tolong mak ngah hantarkan besen ikan masin ni dekat depan tak? Mak ngah duk tunggu daripada tadi lagi budak lelaki datang ambil. Aih, tadi mengadu sangat ikan masin habis!"
"Itulah. Aku rasa budak-budak tu dah start curi tulang, ngah." Mak su menyampuk dengan kepala yang sudah tergeleng.
"Yang perempuan pula sibuk nak melawa," tambah mak long.

ANDA SEDANG MEMBACA
Noktah Yang Terhapus | C
RomanceOGOS 2023 Blurb: DALIYA menyangka kisah sepuluh tahun lalu akan terus bernoktah. Namun noktah itu telah terhapus. Atau hakikatnya, noktah itu memang tak pernah wujud? "Dah sepuluh tahun aku pendam dan selama itu, setiap detik aku berharap aku dapat...