𝐏𝐑𝐎𝐋𝐎𝐆

671 25 1
                                    

 MATANYA kosong merenung laut pantai yang terbentang luas di hadapan. Titisan-titisan hujan yang menimpa tubuh lampainya langsung tidak diendahkan. Perlahan, dia duduk bersila di pinggir pantai. Rambut hitam yang sedikit berserabai dan menutup sebahagian dahinya berayun ditiup bayu malam yang menenangkan.

Setitik air jernih jatuh mengenai pipi itu. Dia memejam mata seketika apabila segala memori indah bersama insan-insan kesayangannya berputar di ruang ingatan.

Dia... tidak pernah menyangka... kebahagiaannya lenyap dalam sekelip mata. Sungguh dia berharap semua yang terjadi ini hanyalah mimpi ngeri untuknya. Mimpi ngeri yang membuatkan jiwanya meronta-ronta mahu bangun dari lena yang panjang dan memeluk insan-insan tercinta.

Namun dia sedar. Apa yang dia harapkan itu semuanya hanyalah angan semata-mata. Seperti engkau baru bangkit dari mimpi yang indah, lalu realiti menghentak diri kau tanpa belas kasihan sehingga jiwa kau jatuh ke dalam lubang kegelapan yang tiada penghujungnya.

Sakit. Rasanya seperti ditikam oleh pisau belati dan membelah setiap sudut jantungnya. Tetapi malangnya, ia tidak berdarah. Hairan, bukan? Terluka tapi tak berdarah. Mungkin ia perlukan pisau yang lebih tajam... jadi baru boleh berdarah, bukan?

Dia meletakkan tapak tangan ke dada. Merasai di mana denyutan jantungnya terletak. Pandangannya menjadi kabur. Kelopak mata juga kian memberat. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dirinya terasa lemah. Tetapi... rasanya ini lebih baik. Dia dah tak punya sesiapa lagi. Dia lelah. Dan dia mahu tidur tanpa bangkit lagi menghadap dunia.

Perlahan, tubuh direbahkan ke atas pasir pantai. Helaan nafas berat dihembus lemah.

 Dan pada ketika itu juga, sebuah payung berwarna biru cair muncul di atas wajahnya. Melindungi dirinya daripada tangisan langit yang semakin melebat. Dia merenung kosong ke arah tangan yang memegang tangkal payung tersebut.

Apabila si figura yang berdiri di belakangnya itu bergerak sedikit ke hadapan sehingga iris hitam itu bertembung dengan iris coklat miliknya, dia tergamam untuk seketika.

Sepasang mata hitam itu menunduk, merenung dirinya dengan tatapan yang teduh.

"Life is cruel isn'it?" Suara itu menyoal. Cukup lembut dan sayu menyapa halwa telinganya.

Dia tidak menjawab. Hanya terpaku dan terdiam membalas renungan sepasang iris hitam tersebut. Sempat dia mengerling ke arah langit malam, menyedari hujan yang begitu lebat menyimbah bumi kini perlahan-lahan mereda. Namun, sekali lagi dia terpaku tatkala memandang ke arah bintang-bintang yang bertaburan di dada langit yang menghitam. Bintang itu terlihat sangat bersinar. Seperti tidak langsung berlaku cuaca buruk. Walhal sebentar tadi hujan boleh dikira agak lebat.

Ah... kuasa Tuhan tiada yang mustahil, bukan? Bintang-bintang itu bersinar dengan sangat terang. Terlalu indah buat tatapan si pencinta alam.

Seketika, dirinya merenung semula ke arah sepasang mata hitam jernih itu. Lama.

"Aku tak pandai pujuk. Tapi... aku harap... kau boleh jadi seperti bulan yang tetap akan bersinar walaupun berada di tengah-tengah kegelapan. Not easy but I know... you will be strong. Just percaya... Allah ada untuk kau dan bintang akan selalu temani bulannya. Jadi tetaplah tersenyum. Semoga setiap senyuman yang kau ukir dalam duka itu diberi ganjaran pahala yang tak terhingga oleh-Nya."

Selesai sahaja ayat itu diungkapkan, pemilik sepasang mata coklat itu berair. Bergetar anak matanya membalas renungan sepasang mata hitam redup itu sebelum tiba-tiba kepalanya diserang denyutan kuat. Dan perkara terakhir yang dia lihat adalah senyuman perih yang terukir di wajah mulus itu sebelum segala-galanya berubah menjadi gelap gelita.

𝐓𝐀𝐊𝐃𝐈𝐑 𝐀𝐊𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐃𝐈𝐀Where stories live. Discover now