BAB 2

41 2 0
                                    


CAHAYA mentari yang terang menerobos masuk melalui tingkap bilik buat aku terjaga. Jarum jam yang berdetik aku tenung ralit. Sudah pukul sepuluh pagi.

Selepas solat subuh pagi tadi, aku kembali melelapkan mata bagi mengganti tidur yang sebelum ini tidak cukup dek tugasan dan pembentangan yang menimbun.

Memandangkan hujung minggu kali ini merupakan minggu balik pilihan, jadi para pelajar boleh memilih jika mahu pulang ke rumah masing-masing atau menetap saja di asrama.

Aku mengambil keputusan untuk tinggal saja di asrama kolej dikeranakan malas mahu berulang-alik. Lagi pula, tiada apa yang beza. Di rumah mahupun asrama, keduanya sama sahaja. Jika aku pulang pun, di rumah bukannya ada sesiapa. Papa pasti sibuk dengan urusan perniagaannya. Mama tak habis-habis dengan kelab dan persatuannya. Kak Amna pula, memang jarang sekali hendak menampakkan muka dek pilihan kerjayanya yang tidak tetap masa.

Katil kosong di sebelah aku toleh. Asyira yang memang terkenal dengan perangai anak emaknya, awal-awal lagi sudah cabut. Tinggallah aku sendirian untuk dua hari ini. Meskipun begitu, sedikit pun aku tidak kisah kerana sudah terbiasa.

Lega juga aku jika Asyira si mulut murai itu tiada, tenang sikit suasana tanpa dia. Kalau tidak, hendak melelapkan mata untuk beberapa minit pun pasti akan dibebeli tak ingat dunia.

Sudah aku hafal ayat bebelannya. Yang paling sering diulang adalah 'Anak dara jenis apa membongkang sampai matahari tegak atas kepala?', atau paling tidak dia akan mengenakan aku dengan membawa nama Hans. 'Hans tak suka perempuan pemalas yang banyak tidur' dan bermacam lagi.

Untung saja kuping telinga aku sudah terbiasa dengan cecehan mak nenek Asyira, kalau tidak bingit juga hari-hari hendak menadah telinga.

Kebiasaan awal pagi sabtu dan ahad, Asyira akan memaksa aku untuk joging bersamanya di sekitar kawasan kolej. Konon hendak mengamalkan gaya hidup sihat katanya. Alih-alih, melantak nasi lemak gerai tepi rumah warden pula. Acah betul terpaling gaya hidup sihat si Asyira!

Leka termenung di atas katil, perutku tiba-tiba mula berdendang. Rasa lapar yang bertandang memaksa aku bangkit dari dudukan.

'Kalau dapat makan pasta panas-panas ni sedap juga.' Detik hatiku yang tiba-tiba teringin makanan yang menjadi kebanggaan dan identiti negara Itali itu.

Sedang berfikir-fikir akan aktiviti apa yang patut aku lakukan untuk mengisi hari, aku terpandang rak buku yang tersusun baris koleksi novel-novel kepunyaanku. Satu persatu aku belek, semuanya naskhah lama dan aku sudah khatam membacanya.

Bagai mendapat idea bernas, jari aku petik teruja. Tuala yang tersangkut pada penyidai aku capai lalu pantas memboloskan diri ke dalam bilik air.

Selesai mandi, wajah aku palitkan sedikit bedak asas bagi mengurangkan kusam. Bulu mata yang sudah sedia lebat aku kepit untuk menampakkan efek lentik. Diikuti dengan calitan gincu berwarna oren kemerahan untuk menaikkan seri. Puas dengan dandanan mekap, kini blaus berwarna merah jambu pastel yang tersarung elok di tubuh aku tilik di hadapan cermin.

Setelah dirasakan penampilanku memuaskan, beg selimpang dan kunci kereta aku capai. Keluar saja dari perkarangan kolej kediaman, pusat beli-belah ternama di negeri itu aku tuju dengan hati yang riang.

Dapat saja kotak parkir yang kosong, kedai buku adalah yang pertama aku tuju. Deretan buku novel pelbagai genre aku tenung dengan rasa teruja. Seronoknya, rambang sungguh mata. Tak tahu hendak pilih yang mana.

Setelah hampir setengah jam membelek dan mencari yang paling menarik, akhirnya aku sunting juga beberapa buah novel menjadi hak milik. Dengan senang hati aku melangkah keluar dari kedai buku.

Akibat terlalu ralit dengan hobi yang satu itu, aku jadi terlupa yang aku sebenarnya sedang lapar. Tanpa disebut, otak menghantar signal pada gerak tubuh membuatkan arah kakiku secara spontan menghala ke sebuah restoran.

Masuk saja ke dalam sebuah restoran beraneka masakan, aku mula mencari meja kosong untuk diduduki. Nampak saja ruang kosong di hujung sudut premis, laju aku menghayun kaki menghampiri. Baru saja hendak duduk, seorang gadis umur belasan tahun turut duduk di meja yang sama.

"Eh," Muka masing-masing jelas riak terkejut.

"Ohh, meja akak ya? Sorry, ingat kosong tadi." Ujarnya berura mahu bangun.

Serba salah pula aku melihatnya, padahal kebetulan kami sama-sama nampak meja ini kosong. Sudahlah hari ini sabtu, kena pula sekarang memang waktu makan tengah hari, memang padatlah restoran itu dikunjungi pelanggan. Hendak tunggu meja kosong pula pasti lama lagi.

"Err... kalau adik tak kisah boleh je duduk sekali, lagipun tengah penuh ni. Adik seorang je kan? Akak pun seorang." Pelawaku ramah.

"Saya dengan abang saya, sekejap lagi dia datang." Beritahunya.

Aku pun tersenyum seraya mengangguk kecil. Beberapa minit kemudian, seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan.

"Bagi saya Spicy Pasta Carbonara with sliced chicken dengan air laici satu."

Pelayan itu mengangguk sekilas lalu mencatat di atas buku nota kecilnya. Kemudian ibu jarinya dituding pada gadis yang duduk di depan aku. Fahamlah aku pelayan tersebut sedang menanti pesan dari adik ini pula.

"Adik tak nak order dulu ke? Ke nak tunggu abang awak juga?" Tanyaku bila dia hanya diam.

"Erm... tak apalah, saya tunggu abang saya. Saya tak bawa duit." Ujarnya dengan sengihan.

Aku ketawa kecil. Pasti dia takut tiada siapa yang akan membayar untuknya.

"Tak apa, order saja apa adik nak makan. Kalau abang awak lambat, akak belanja."

Terus bersinar mukanya bila aku tawar begitu. Dengan malu-malu kucing, dia pesan juga makanannya. Sempat dia ucapkan terima kasih padaku dengan senyuman manis.

Setelah pelayan itu beredar, aku keluarkan satu buah novel yang baru aku beli tadi dari beg plastik. Balutannya aku koyak dan elus dengan gembira. Sementara menunggu, sempat juga kalau baca dua tiga bab.

"Akak suka baca novel?" Baru ingin memulakan bacaan, soalan dari si gadis muda itu membuat aku kembali menutup helaian buku.

"Ha'ah, suka."

"Samalah dengan Abang Long saya."

Aku hanya senyum nipis dengan ujarannya. Jarang dengar lelaki suka baca novel, apatah lagi novel cinta dan yang seangkatan dengannya. Satu dalam sejuta betul abang budak ni, detik aku dalam hati.

"Ohh ya? Jarang akak dengar lelaki suka membaca, lagi-lagi novel cinta."

"Kan? Dia tu memang jiwang karat. Gaya je kerek, tapi hati tisu." Selamba badak si adik membahan abangnya buat aku ketawa lepas. Kelakar! Kalau dengar dek abangnya, mahu diluku kepala budak ini dekat sini juga.

Baru aku ingin bertanya lanjut, tangannya naik melambai seseorang dari jauh. Perlakuan itu buatkan aku turut berpaling. Nampaknya si abang yang dikutuknya tadi sudah muncul.

"Along! Lambatnya. Pergi tandas ke buat tandas?" Rungut si adik berbaur perlian.

"Halah, sekejap pun tak boleh nak sabar. Dah order ke? Ni siapa-" Ujarannya terhenti bila kedua pasang mata kami bertaut.

Aku terkesima. Jantung pula seakan berhenti berdegup. Haa sudah!

Surrogate [OG]Where stories live. Discover now