BAB 3

44 3 0
                                    


"SIR?"

"Mayra?"

Muka terkejut beruk Hans Lester Abdullah aku pandang balas.

"Along kenal akak ni? Akak kenal Abang Long saya?" Soal gadis itu memandang aku dan Hans silih berganti, meminta jawapan.

"Err..." Lidah aku jadi kelu. Tak tahu mahu jawab apa. Muncul saja wajah Hans, terus melayang segala ayat yang mahu keluar. Jadi, inilah si abang yang dimaksudkan? Pantasan gadis itu pun berwajah pan-Asia. Rupanya dia adalah adik kepada pensyarah yang mempunyai kacukan Melayu-Jerman ini. Ya Allah, kecilnya dunia.

"Awak buat apa kat sini? Awak kenal adik saya ke?" Tadi si adik, kini si abang pula mengaju soalan. Tergagap-gagap aku mahu menjawab.

"Tak... tak kenal. Kebetulan je tadi meja tak ada yang kosong, saya ajak dia duduk sekali." Terangku menceritakan hal sebenar.

"Ini ke girlfriend yang along igaukan siang malam tu?"

Soalan yang terlepas dari mulut adik perempuan Hans buat tekak aku rasa berpasir.

"Hany, jangan merepeklah. Ini student along." Tukas Hans tegas.

Entah kenapa, runtun hatiku mendengar Hans memperbetulkan persepsi adiknya. Padahal tiada apa yang salah pun. Memang benar aku dan dia tiada ikatan apa-apa, hanya sebatas pelajar dan pengajar. Tapi kenapa ucapannya terasa tajam seperti belati? Sehinggakan mampu buat aku berkecil hati?

Mungkin juga kerana baru hari ini aku mengetahui secara tak langsung bahawa dia sudah mempunyai kekasih hati. Oh sudah pasti, apa yang aku harapkan? Lelaki sekacak ini masih sendiri? Kerat sajalah jari.

Igaukan siang dan malam? Untungnya menjadi wanita itu. Dicintai lelaki sesempurna Hans. Andaikan aku orangnya, sudah pasti akulah manusia yang paling bahagia di muka bumi.

"Ohh... ingat akak ni. Kalau akak ni, Hany baru nak cakap 'approved'." Kata Hany dengan ibu jari yang diangkat tanda bagus. Konon dia sangat bersetuju jika aku yang menjadi pilihan abangnya.

Aku ingin senyum tapi sedar itu hanyalah sebuah mimpi. Realitinya aku harus berpijak di bumi yang nyata, bukannya sering berangan kisahku bakal seindah novel yang aku suka. Sempat aku jeling Hans untuk melihat reaksinya tapi dia hanya diam tak bersuara.

Makanan yang dipesan sudah sampai. Mahu tak mahu, aku berlagak seperti tiada apa. Walaupun situasi sudah berubah hambar dan tidak seceria pada mulanya.

Hany yang sepertinya perasan ketegangan antara aku dan Hans, cuma diam. Aku tahu dia ingin bertanya tapi menghormati privasi yang cuba dijaga.

Makan tengah hari itu Hans tawarkan untuk belanja. Walaupun aku menolak, dia tetap bertegas mahu membayar. Bukan lelaki budiman katanya kalau membiarkan wanita yang membayar. Tiada istilah bil asing bila bab makan dengannya.

Malas mahu memangkah ujaran lelaki itu, aku setuju saja walaupun perjumpaan kami pada hari ini hanyalah sebuah kebetulan. Bukannya aku berkencan dengannya pun yang dia perlu membayarkan untukku segala. Tapi bak kata orang, rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari. Hanya ucapan terima kasih yang mampu aku beri.

"Awak balik naik apa? Nak saya hantarkan?" Hans menyoalku setelah kami selesai bersantap.

"Tak apa, saya drive sendiri." Aku menjawab ringkas.

"Awak nak balik rumah ke asrama ni?"

"Asrama."

"Minggu ni bukan balik pilihan ke? Kenapa awak tak balik rumah?" Soalnya lagi.

"Saja." Sepatah-sepatah aku menjawab pertanyaannya. Canggung bila dia tiba-tiba bersikap baik begini. Selalunya bila nampak muka aku di dalam kelas, pasti ada saja benda yang dia tak puas hati. Tapi di luar, lain pula perwatakannya.

"Hmm ya lah, hati-hati." Pesannya dengan kedua tangan diseluk ke dalam poket seluar.

Aku mengangguk dengan wajah bersahaja walaupun sebenarnya hati perempuan aku ingin teruja dengan keprihatinannya. Cepat-cepat aku menyedarkan diri dengan mengingat kembali tembok yang berdiri gah di antara kami. Dia sudah punya yang teristimewa di hati, yang mungkin tak lama lagi bakal bergelar isteri. Masakan aku tidak menghormati hubungan mereka dan bertindak seperti orang tak sedar diri?

Hany yang berdiri di sebelah Hans dari tadi melempar senyuman padaku. Aku turut membalas senyumannya dan bersalaman. Setelah pamit, kami pun bergerak ke arah haluan masing-masing.

Aku melepas keluhan berat setelah beberapa tapak menjauhi dua beradik itu.

Kenapalah aku suka padanya?

Dalam berjuta lelaki, dia juga yang aku terjatuh hati.

Adakah kerana dia kacak dan memenuhi ciri-ciri idaman malaya? Atau aku hanya minat pada wibawa dan karismanya? Atau ini hanyalah sekadar permainan jiwa yang suka-suka? Argh! Stres. Hans Lester Abdullah, kau boleh buat aku gila.

Surrogate [OG]Where stories live. Discover now