Bab 1

32 3 5
                                    

"... ia berdegup!"


"PAPA, Aiman laparlah." Rengekan Aiman menusuk ke telinganya.

Spontan matanya melirik jam berbentuk hati yang melekap di dinding. Jarum jam menuding ke angka 7.30 malam. Alamak! Dek tenggelam dalam kesibukan kerjanya, langsung dia tak sedar akan masa yang berlalu.

"Mama mana? Mama tak bagi Aiman makan ke?" Dia menyoal.

"Mama ada dalam bilik. Dah lama mama duduk dalam bilik. Papa, cepatlah balik! Aiman takut tinggal sorang-sorang."

Dia ketawa.

"Isy, anak lelaki mana boleh takut? Mama tidur ke? Cuba Aiman ketuk pintu bilik mama."

"Tak nak! Aiman tak nak! Aiman takut. Nanti mama marah." Protes Aiman. "Cepatlah balik, papa!"

"Okey... okey! Kejap lagi papa balik. Aiman nak makan apa?" Dia bertanya.

"Aiman nak nasi goreng Cina." Aiman petah menjawab.

"Baiklah. Nanti papa belikan. Okey Aiman, bye." Dia segera menamatkan perbualan dengan anaknya itu.

Selepas perbualannya dengan Aiman tamat, Dia cuba menghubungi isterinya pula. Lama dia menunggu namun Maya langsung tak menjawab panggilannya.

"Hai, ke manalah awak ni, Maya!" Sakit hatinya diperlakukan sebegitu rupa oleh si isteri.

Dia tak boleh berlengah lagi. Dia segera mencapai kunci kereta lalu bangkit dari tempat duduknya. Selepas itu, dia bergegas keluar dari biliknya dan mendapati suasana di luar sunyi sepi kerana semua staf dah pulang ke rumah masing-masing. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Telinganya terdengar suatu bunyi aneh datangnya dari arah pantri. Bunyi seolah-olah seseorang sedang menyediakan minuman.

Pelik! Dah lewat ni. Takkan Kak Kiah masih belum pulang ke rumah? Hatinya berbisik sambil membayangkan wajah tea lady berusia 45 tahun itu.

Kranggg!

Kedengaran bunyi pinggan terhempas. Terkejut dia dibuatnya. Dia mengatur langkah menuju ke pantri yang gelap.

"Kak Kiah, tak balik lagi ke? Takkan buat kerja over time kut?" Dia menyeru. Namun tiada siapa yang menjawab. Tiada lagi bunyi pinggan terhempas ke lantai. Hilang dah bunyi sudu berlaga dengan cawan. Suasana jadi sunyi sepi.

Dia melangkah masuk ke pantri. Suis yang melekap di tepi dinding dipicit. Serta-merta ruang pantri itu diterangi cahaya lampu. Dia naik hairan tatkala melihat tiada sesiapapun di situ. Semua peralatan seperti pinggan mangkuk serta cawan tersusun elok di tempatnya. Tiada juga pinggan yang tergeletak jatuh di atas lantai.

Walaupun dia tak mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ghaib yang dipanggil hantu tapi keanehan itu menerbitkan rasa seram. Dia menutup lampu lalu bergegas meninggalkan ruang pantri. Sejurus sebelum dia melangkah keluar dari pejabat yang lengang itu, bunyi sudu berlaga dengan cawan kedengaran semula. Pinggan mangkuk pula seolah-olah sengaja dibaling ke lantai.

Dia tak menghiraukan huru-hara yang terjadi di pantri. Dia membanting daun pintu dengan kuat lalu berlari menuju ke lif yang paling hampir. 


SAMBIL memeluk erat patung beruang berwarna cokelat, Aiman terkedek-kedek menuju ke bilik tidur papa dan mamanya. Dia berhenti di depan pintu yang tertutup rapat. Riak wajahnya jelas keliru, seolah-olah tak pasti sama ada dia perlu mengetuk pintu bilik itu ataupun tak.

"Mama... mama!" Aiman memanggil-manggil. Sambil itu tangan kecilnya mengetuk-ngetuk pintu. Puas dia memanggil, puas dia mengetuk namun pintu itu tetap juga tertutup rapat.

Akhirnya Aiman mengalah. Dia menuju ke ruang tamu lalu duduk di depan televisyen, tengok kartun.

"Hehehe... hahaha!" Pada babak-babak yang lucu, Aiman terkekeh-kekeh sendirian.

Tup! Tiba-tiba semua lampu terpadam ketika Aiman sedang seronok menonton. Televisyen yang tadinya terpasang juga turut mati secara tiba-tiba.

Suasana bertukar menjadi gelap gelita. Kesunyian meraja. Yang kedengaran hanyalah bunyi nafas Aiman yang turun naik.

"Mama! Mama!" Aiman yang ketakutan menjerit, memanggil mamanya.

Senyap! Panggilannya tak berjawab.

"Aiman takut! Mama!!!" Suara dikuatkan.

Teddy bear berbulu lebat tak dilepaskan dari pelukannya.

Kreekkk...

Di dalam kegelapan itu, dia dengar bunyi pintu bilik tidur mamanya terkuak. Pandangannya terbatas dek kegelapan yang membukat. Kemudian, dia dengar bunyi tapak kaki melangkah menuju ke arahnya.

"Mama!" panggil Aiman dengan harapan agar panggilannya dijawab. Dia mahu mendengar suara mamanya. Namun, Aiman hampa. Mama langsung tak menjawab panggilannya.

Bunyi langkah itu semakin mendekat. Aiman memeluk teddy bearnya seerat mungkin. Mukanya dibenamkan ke perut teddy bear yang gemuk itu.

"Boboi, Aiman takut." Adu anak kecil itu.

Kemudian, Aiman rasa rambutnya disentuh dan dibelai-belai.

"Aiman! Aiman sayang!" Satu suara garau kedengaran di belakangnya. Suara itu bukan milik mamanya, bukan!

"Eeeiii... takuuut." Aiman mengeluh. Dia menggeletar ketakutan sementara tangan yang entah milik siapa itu terus membelai-belai rambutnya.

"Janganlah takut, sayang. Mak cik saaayang Aiman!" Suara garau itu hinggap lagi ke telinga Aiman. Hampir saja terpancut kencing Aiman akibat ketakutan.

"Mama! Mama!" Aiman menjerit sekuat-kuat hatinya.

"Ya, Aiman. Kenapa terjerit-jerit ni?"

Aneh, sebaik-baik saja suara mamanya kedengaran, gangguan bekalan elektrik kembali pulih seperti sediakala. Seluruh apartmen itu terang-benderang semula.

Aiman menoleh ke belakang. Dia dapati tiada sesiapapun berdiri di belakangnya.

Aiman memakukan mata ke arah mamanya. Rambut mamanya tak terurus. Matanya merah, seolah-olah orang yang baharu saja terjaga dari tidur.

"Maaf ya, Aiman. Mama tertidurlah," Maya kelihatan bersalah. Dia duduk di sisi Aiman. Tubuh anak itu dipeluknya.

"Aiman takutlah, mama. Ada orang lain dalam rumah ni." Aiman mengadu.

"Mana ada? Kita berdua saja dalam rumah ini." Maya memujuk.

"Tadi Aiman dengar suara dia. Ada! Ada orang lain dalam rumah ini! Kenapa mama tak percayakan Aiman? Aiman takutlah, mama!" Aiman protes.

"Kalau betullah ada orang, cuba Aiman tunjuk pada mama di mana orang tu sekarang." Melihatkan Aiman diam dan hanya terkebil-kebil, Maya segera menyambung ayatnya, "sebagai anak lelaki, Aiman kena berani. Lagipun tak lama lagi Aiman nak dapat adikkan? Kalau Aiman penakut, siapalah yang nak tolong mama jaga adik nanti?"

Aiman tak menjawab. Ketakutannya mula reda setelah berada di sisi mamanya. Dia menyembamkan wajahnya ke paha Maya. Manja! Maya mengambil kesempatan itu untuk mengelus-elus rambut Aiman yang hitam lebat.

Ding... dong! Ding... dong!

Loceng pintu kedengaran bertalu-talu.

"Yeay! Papa dah balik!" Aiman terjerit gembira. Dia hanya berasa selamat ketika bersama dengan papanya. Walaupun mamanya berada di sisi, hatinya tak pernah berasa selamat. Entah mengapa!  - BERSAMBUNG...



APARTMENTWhere stories live. Discover now