Bab 3

12 1 2
                                    

"Ia bernyawa!"


"PELIK! Kenapa gelap saja ni?" omel Akashah seorang diri sewaktu keretanya menghampiri perkarangan apartmen.

Seluruh perkarangan apartmen termasuklah di pondok pengawal, bergelap. Sejak dia membawa keluarganya pindah ke apartmen yang baru dibelinya itu, kejadian sebegini belum pernah berlaku. Inilah baru pertama kali dia melihat bekalan elektrik di situ terputus.

Dia menyusur perlahan ke arah pondok pengawal yang hanya diterangi cahaya daripada beberapa batang lilin. Dia memberhentikan keretanya berhampiran pondok pengawal. Kemudian, dia melangkah keluar.

"Assalamualaikum, Pak Mad." Dia memberi salam.

Pengawal keselamatan shif malam bernama Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Mad di kalangan penghuni apartmen itu segera membalas salam yang diberikan.

"Seorang saja ke malam ni?" soal Akashah.

"Berdua dengan Ah Chong. Dia keluar beli lilin." Pak Mad memberitahu. Akashah terangguk-angguk.

"Dah lama ke black out ni?" Akashah menyoal lagi.

"Adalah dalam 20 minit gitu. Entah kenapa agaknya, tiba-tiba saja tak ada elektrik. Sebelum ni tadi kedua-dua blok bangunan ini black out secara tiba-tiba. Tak lama lepas tu bekalan elektrik pulih semula kecuali kat bahagian bawah ini saja yang masih bergelap." Panjang lebar penerangan yang diberikan Pak Mad.

"Tempat letak kereta macam mana? Bergelap jugak ke?"

"Encik jangan risau sebab kat tempat letak kereta ada letrik. Cuma banyak lampu yang rosak. Siang esoklah agaknya baru semua lampu yang rosak tu dapat ditukar," terang Pak Mad sambil memandang lurus ke arah Akashah.

"Lambat balik hari ni, encik?" tanya Pak Mad.

"Ya! Ada banyak kerja kat pejabat tadi. Okeylah Pak Mad, saya minta diri dulu," ujar Akashah. Pak Mad mengangguk. Hanya matanya saja yang mengekori langkah Akashah.

Akashah menghalakan keretanya ke tempat letak kereta yang terletak di bawah bangunan apartmen itu. Ketika menyusur masuk, dia berpapasan dengan beberapa buah kereta yang menderu keluar. Agak melulu pemanduan mereka. Hampir-hampir saja dia berlanggar dengan salah sebuah daripadanya. Mujurlah dia cepat-cepat membrek. Disebabkan terlalu terkejut, dia membunyikan hon dengan agak panjang.

Pemandu kereta itu langsung tak peduli untuk keluar meminta maaf atau sekurang-kurangnya menjernihkan keadaan. Sebaliknya, terus memecut pergi. Akashah menarik nafas panjang. Kesal sungguh dia dengan sikap pemandu yang agak biadap itu.

Akashah memakir keretanya di tempat biasa. Dia tak terus keluar dari perut kereta sebaliknya mengawasi kawasan sekitar dahulu sebelum melangkah turun. Pengalamannya beberapa tahun lepas yang pernah dirompak di tempat letak kereta menjadi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati.

Ketika nak mencapai bungkusan plastik berisi nasi goreng Cina yang terletak di sebelahnya, dia ternampak satu kelibat seolah-olah sedang berdiri memerhati dari kejauhan. Dia segera menoleh. Namun, dia tak nampak sesiapapun.

Argh, mungkin imaginasi aku saja. Dia memujuk hatinya sambil melangkah keluar dari kereta. Langkah diatur deras menuju ke lif. Tiba-tiba dia terdengar suara kanak-kanak sedang ketawa di belakangnya. Halus saja bunyinya.

Dia berpaling. Tak jauh di belakangnya melangkah seorang lelaki dan perempuan, mungkin sepasang suami isteri; disertai seorang kanak-kanak perempuan berambut perang yang tersangatlah comelnya. Dia menyapa mereka dengan melemparkan seulas senyuman mesranya. Namun, tiada siapapun yang sudi membalas senyumannya itu. Tiga sekeluarga itu langsung tak mempedulikan kehadirannya.

Rasa kecewa menyerbu ke benak. Kepulangannya disambut dengan black out. Selepas itu, keretanya hampir-hampir saja dirempuh sewaktu nak masuk ke kawasan letak kereta. Dan sekarang, senyuman mesranya langsung tak berbalas.

Akashah menyisih ke tepi lalu membiarkan 3 sekeluarga itu berjalan mendahuluinya. Dia mengekori langkah mereka. Dia ingatkan mereka juga seperti dirinya; nak naik lif. Tapi tekaannya meleset sama sekali apabila melihat mereka melangkah deras menuju tangga.

Dia terpacak di depan lif, sendirian. Suasana malam itu agak berbeza daripada malam-malam sebelumnya. Sunyinya agak melampau.

Hai lif! Kenapalah kau lambat sangat ni? Tolonglah jangan rosak. Dalam keadaan badan yang letih, tak larat rasanya nak memanjat tangga hingga ke Tingkat 13.

Tiba-tiba dia nampak susuk tubuh seorang perempuan berkebaya merah muncul dari ruang kegelapan lalu melayang ke arahnya. Pada pengamatannya, kaki perempuan itu seperti tak jejak ke tanah.

Matanya tak berkelip memandang. Setahu Akashah hanya makhluk halus saja yang boleh membuat aksi sebegitu rupa. Dadanya mula bergelombang diserang ketakutan.

Adui, apalah malangnya nasibku! Hatinya berbisik.

Namun, sebagai seorang lelaki yang sekian lama menetap di kota, bukan mudah untuk akal fikirannya menerima kewujudan makhluk-makhluk ghaib. Walaupun dia tak menafikan wujudnya jin serta syaitan tapi dia tak fikir entiti itu akan menampakkan diri mereka di depan matanya.

Setelah perempuan berkebaya merah semakin mendekat, baharulah Akashah menarik nafas lega. Rupa-rupanya perempuan itu cuma manusia biasa, sama seperti dirinya juga. Yang tadi itu hanyalah mainan perasaannya semata-mata.

Akashah terpesona memandang susuk tubuh serta wajah milik perempuan berkulit kuning langsat yang berdiri tak jauh darinya itu. Dia mengintai-intai pada seulas bibir yang ronanya senada dengan kebaya merah yang tersarung di tubuh. Kemudian, matanya beralih ke rambut yang sengaja disanggul tinggi. Perempuan itu langsung tak menoleh ke arahnya.

Setelah beberapa ketika, Akashah segera mengalih matanya ke arah lain. Risau juga dia kalau dituduh nak menggatal sekiranya terus-terusan merenung perempuan itu. Tapi lelaki manalah yang mampu menahan penglihatannya daripada memandang perempuan cantik?

"Encik nak ke tingkat berapa?" Tiba-tiba perempuan itu bertanya.

Terkejut Akashah dibuatnya. Masakan tak, seketika tadi perempuan itu menunggul dan membisu saja. Sangka Akashah, perempuan itu langsung tak berminat nak bertegur sapa dengannya.

"Tingkat 13," ujar Akashah sambil memakukan semula matanya ke wajah perempuan berkebaya merah.

"Oh, tingkat 13 jugak ke? Nampaknya kita berjiran. Kenapa agaknya selama ini kita tak pernah terserempak ya?" Perempuan itu bersuara. Tiba-tiba saja dia menjadi peramah.

Akashah ketawa kecil sambil jungkit bahu.

"Entahlah! Mungkin Tuhan belum mahu mempertemukan kita sehinggalah malam ini." Jawapan yang meluncur keluar dari mulut Akashah itu membuatkan perempuan tersebut ketawa.

"Hmmm, mungkin juga. Saya Hasnita. Panggil Nita saja."

"Saya Akashah. Panggil Shah cukuplah. Selamat berkenalan, Nita." Dia turut memperkenalkan dirinya kepada Hasnita. Rasa bosan menunggu lif seketika tadi mula beransur-ansur hilang setelah muncul seorang kawan yang menarik untuk diajak berbual.

"Nita dah lama ke tinggal kat sini?" soal Akashah.

Hasnita tersenyum nipis.

"Dah lama saya jadi penunggu bangunan ini." Selamba Hasnita menjawab.


*Hi pembaca yang budiman. Agak-agaknya siapakah Hasnita di dalam Apartment? Apakah rahsianya?

 * Terima kasih kerana sudi membaca. Untuk makluman, karya ini bakal menemui pembaca tidak lama lagi. Nantikan kemunculannya!

APARTMENTWhere stories live. Discover now