MALAM semalam papa berbuka seorang diri ke?" Seketul paha ayam masak merah diletak ke dalam pinggan Tan Sri Naufal. Nadanya kedengaran perlahan dan sedih. Kini Tan Sri Naufal mempunyai banyak masa dengan para pekerja di syarikat mahupun di rumah. Tiada ahli keluarga lain.
"Macam biasa lah papa ni, Elv. Lagipun kan hari sabtu, biar lah pekerja lain balik berbuka dengan keluarga masing-masing."
Dahi Elvina sedikit berkerut. Kali ini papanya degil lagi untuk tidak berbuka bersama Tuan Rizal dan Puan Emma. Mungkin tidak mahu menyusahkan mereka berdua juga.
"Kita kan lama jadi keluarga, pa. Mummy dan daddy sentiasa jemput papa untuk berbuka bersama macam selalu. Papa datanglah rumah selalu. Qish boleh hantarkan." Tuan Rizqish juga bersuara selepas meneguk air tembikai laici di dalam gelasnya. Dia juga faham kerisauan Elvina terhadap papanya.
"Eh, tak perlu lah. Susahkan Qish aje yang nak kena ulang-alik hantar papa pula. Insha Allah, nanti papa datang lagi. Tak perlu risaukan papa, papa okey je."
Tan Sri Naufal pamer riak wajah yang cukup tenang. Sesibuk mana pun sang anak dan menantu, mereka berdua pasti tidak akan pernah lupa untuk tanya keadaannya dalam seminggu. Elvish juga kerap datang ke rumah sewaktu mereka berdua bekerja.
"Daddy! Daddy datang kejap boleh tak? Elvish nak tunjuk something!" Suara anak kecil yang berlari ke arah dapur itu membuatkan Tuan Rizqish yang sudah habis makan terus bangun dari kerusi.
"Sekejap ya. Daddy nak bangun basuh tangan."
"Eh, abang. Pinggan tu tinggal aje. Sayang nak basuhkan." Elvina menahan Tuan Rizqish yang hendak membawa pinggan dan gelasnya ke ruang cucian.
"It's okay, darling. Abang buat. Sayang dan papa habiskan makan dulu. Sekejap lagi abang datang kemas." Bahu Elvina digosok lembut dengan sebelah tangan yang berbaki. Kaki mula mengatur langkah bersama Elvish yang bersemangat untuk menunjukan hasil lukisannya.
"Papa kena jaga kesihatan sekarang. Jangan kerap sangat ke pejabat. Kan dah ada orang lain yang tolong papa uruskan. Kalau papa sunyi, Elv boleh hantarkan Elvish teman papa. Setiap hari pun tak apa." Segelas air yang baru ditambah dihulur ke arah Tan Sri Naufal setelah papanya selesai makan.
"Boleh juga kalau Elvish nak datang tapi tak perlu lah setiap hari. Nanti rindu pula grandpa dan grandma dia. Walaupun masih awal nak dibincangkan tapi Elvish akan warisi Devyn dan Hayes kan? Jadi pemegang Devyn dan penjaga Hayes. Papa tertanya kepada siapa papa nak wariskan syarikat papa pula. Hayes pun mesti ada pemegang juga." Tan Sri Naufal mengalihkan pandangan ke arah anak tunggalnya.
"Papa risau Elv dan Qish memang berancang nak ada Elvish seorang aje ke?" Elvina cuba mentafsir maksud papanya. Mungkin kerana gaya mereka sendiri seolah-olah memang mahu seorang cahaya mata seperti ibu bapa masing-masing.
"Papa tak kisah pun tentang pewarisan tu, Elv. Saudara-mara kita yang lain pun boleh pegang tapi papa cuma nak tahu perancangan Elv dan Qish untuk masa hadapan."
Elvina terus mengukirkan senyuman lembut. Entah bagaimana dia hendak menerangkan situasi ini kepada Tan Sri Naufal sendiri.
"Elv... tak yakinlah, papa. Sebenarnya Elv dan Qish tak merancang pun. Mungkin sebab sibuk sangat sebelum ni. Papa jangan risau, okey? Kalau ada rezeki, insha Allah."
Tan Sri Naufal menghela nafas lega.
"Tak apa, apa-apa pun semua pilihan Elv dan Qish. Papa ikut aje. Cuma papa perlu buat persediaan. Elv faham keadaan papa kan?" Tan Sri Naufal mengukirkan senyuman setelah anak tunggalnya mengangguk laju. Elvina juga mengerti dengan kesihatan papanya yang semakin bertambah umur.