"ABANG! Abang!" Sepasang kaki Elvina Naura melangkah jauh dengan laju sampai pintu bilik air kedengaran ditutup kuat.
"Ya Allah, sampai nak roboh pintu bilik air tu, sayang." Dia berpaling ke arah pemilik suara dari belakang. Belum sempat bangun dari sejadah, cik isteri sudah duduk di sebelah dengan bersemangat. Senyuman terukir lebar sebelum menunjuk objek di tangan dengan spontan.
"Dua garis? Biar betul, sayang?" Berkerut dahi Tuan Rizqish mereaksi. Alat uji kehamilan itu diambil dari tangan Elvina. Memang betul-betul dua garis.
"Betul lah."
"Alhamdulillah. Ya Allah, terima kasih, sayang." Dipeluk erat tubuh yang kurang ketinggian dari dirinya seolah tidak mahu lepas.
"Abang rasa macam mimpi. Kita baru terfikir nak cuba ada anak lagi dan Allah makbulkan. Ya Allah, sayang... abang gembira sangat." Tubuh Elvina dilepaskan. Dagu dipegang lalu ditolak sedikit ke atas untuk bibirnya mengucup lembut dahi isterinya.
"Tersepit dah sayang ni, abang." Elvina sempat merungut walaupun tangannya secara perlahan juga membalas pelukan itu. Wajah sendiri ditekup rapat pada dada Tuan Rizqish. Hangat. Selesa dan paling penting, rasa selamat.
"Tahu pun nak bermanja dengan abang. Sayang tahu kenapa abang suka bila sayang mengandung?"
Elvina sedikit angkat kepala kembali. Mata Tuan Rizqish direnung seolah menunggu jawapan. Apa lagi kalau bukan tentang anak? Bukti cinta mereka yang masih kekal hingga sekarang.
"Salah satu sebabnya ialah manja sayang tu luar biasa. Abang suka melayan. Macam Elvina yang dulu." Tuan Rizqish spontan meleraikan pelukan apabila Elvina tiba-tiba meronta. Terdengar cebikan sang isteri sebelum dia menghembus nafas kasar.
"Abang nak cakap sayang dah berubah ke sekarang?" Pinggang sendiri dicekak, garang. Mungkin sedikit. Elvina agak tegas dan serius sejak Elvish semakin membesar.
"Betul lah tu, berani marah abang pula tu."
"K."
Elvina terus memeluk tubuh. Mata meliar ke arah jam yang sudah berganjak ke arah angka sepuluh. Sepatutnya anak tunggal mereka sudah datang ke bilik untuk tidur. Entah ke mana hilangnya si kecil yang masih merajuk itu.
"Abang jujur pun nak marah ke, sayang? Ala, abang gurau aje. Abang faham kalau sayang semakin serius sebab baby boy makin besar. Sudahlah tu merajuk. Tak elok tahu tak kalau merajuk dengan suami?" Tangan Elvina ditarik lembut namun malah ditepis perlahan.
"Mood sayang tak berapa nak betul lah sekarang, abang. Perut pun rasa tak selesa. Rasa masuk angin. Lepastu, pinggang dan belakang sayang sakit." Satu per satu aduan diberi dengan nada kasihan.
"Biasalah berbadan dua kan? I'm so sorry, darling. Sayang kena hadap lagi benda ni. Esok kita ke hospital, ya? Abang roger dengan doktor untuk tak cucuk sayang. Ubat pun doktor tak kasi. Cukup doktor periksa keadaan sayang aje. Nak?"
Lama Elvina berfikir setelah mendengar. Bukan apa, dia betul-betul anti dengan perkataan hospital. Apatah lagi dengan si kecil Elvish. Si cilik itu masih trauma akan sebuah ambulans.
"Sayang?"
"Hmmm... boleh lah. Demi anak abang, sayang sanggup buat benda yang sayang tak suka. Ini aje cara sayang boleh berkorban untuk abang. Sudahlah abang aje yang asyik jaga sayang dan Elvish. Kadang sayang rasa sayang ni tak cukup untuk abang. Tuan Rizqish terlalu sempurna untuk seseorang yang keras kepala seperti Elvina Naura."
Tiba-tiba topik itu muncul dalam kotak fikiran. Hendak dikatakan seorang isteri yang baik, tidak juga. Dia pun tidak selalu berada dalam rumah kerana bekerja.