BAB 1

1.4K 34 1
                                    

Aku membuka mataku perlahan-lahan. Kawasan sekeliling aku pandang. Aku di mana?

Dalam keadaan pening-pening lalat, aku berusaha untuk bangun daripada pembaringan. Mata aku meliar melihat keadaan sekeliling yang kurang familiar pada pandangan aku. Kini, aku berada di atas katil.

Tidak berapa lama kemudian, deria pendengaran aku menangkap bunyi pintu dibuka. Secara refleks, kepalaku segera menoleh ke arah pintu tersebut. Kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan akhir 20-an berjalan menghampiri aku yang berada di atas katil.

"Kamu dah bangun?" Tanya perempuan itu. Di tangannya membawa sedulang makanan dan minuman.

"Saya kat mana?" Tanya aku dengan suara perlahan. Perempuan itu tersenyum mendengarkan soalan itu.

Tanpa menjawab, dia terus mendekati sebuah meja kecil di tepi katil sebelum meletakkan dulang tersebut di situ. Dia memandang ke arahku bersama senyuman kecil lalu melabuhkan punggung di sisiku.

"Makan dulu, ye. After makan, kita mandi," ujar perempuan itu. Tangannya mengusap perlahan rambutku.

"Kita?" Tanya aku dengan wajah keliru. Aku tak salah dengar, kan?

Dia hanya tersenyum sebelum meninggalkan aku seorang diri di dalam bilik. Pintu bilik kembali ditutup. Aku terpaku di atas katil. Siapa perempuan itu? Wajahnya belum pernah aku lihat.

Setelah puas berfikir, akhirnya aku mengambil keputusan untuk bangun menuju ke pintu bilik tadi. Tanganku mencapai tombol pintu lalu dipulasnya. Berkunci! Aku mencuba beberapa kali namun tidak berhasil.

Makin bertambahlah kerutan di dahiku.

Setelah berputus asa, aku kembali bergerak ke sebuah lagi pintu yang berada di penjuru bilik sebelah kiri katil. Pintu itu tidak berkunci. Aku membukanya luas. Mataku terbuntang apabila melihatkan sebuah tab mandi di dalam bilik itu. Baru aku sedar bahawa bilik yang aku duduki sekarang ini agak mewah.

Aku kat mana sebenarnya? Apa yang terjadi?

Saat mataku terpandang cermin di hadapan sinki, aku terus teringat akan sesuatu. Telefon yang selalu aku bawa di poket kiri, aku cari. Tiada! Tiada apa-apa di poketku! Kosong!

"Kenapa tak makan lagi?" Suara perempuan tadi kembali kedengaran.

Aku tersentak lalu berpaling ke belakang. Tidak pula telinga aku menangkap bunyi pintu bilik itu terbuka. Mungkin kerana aku terlalu sibuk mencari telefonku yang hilang.

"Tak lapar," balas aku, ragu-ragu.

Macam mana aku nak percaya yang makanan itu selamat untuk dimakan apabila identiti perempuan itu tidak dikenali?

"You're lying," balas perempuan itu dengan wajah yang serius. Dia berjalan perlahan ke arah aku.

Tangan aku dicapainya sebelum dia membawa aku kembali ke atas katil. Dia mendudukkan aku sebelum mengambil sepinggan nasi berlaukkan ayam masak merah di atas dulang.

"Meh aku suapkan," ujarnya seraya menggaulkan nasi dengan lauk ayam sebelum menghala ke mulutku.

Aku terpaksa membuka mulutku sebelum dia menyuapkan makanan tersebut. Dia tersenyum melihat aku yang mengunyah makanan dengan perlahan.

"Sedap, kan? Aku buat ni special untuk kau."

Aku memegang lengannya saat dia mahu menyuap lagi nasi tersebut. "Aku dah kenyang."

Aku cuba menolaknya dengan perlahan. Wajah perempuan itu yang tadi tersenyum mula berubah. Dia meletakkan pinggan itu ke bawah.

Aku mula serba-salah. "Aku betul-betul dah kenyang. Aku just nak rehat."

Obses (✔️)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang